Rabu, Oktober 10, 2007

Cuti Raya Balik Kampung

Perayaan Hari Raya Puasa (AidilFitri) yang akan disambut tiga (3) atau empat (4) hari lagi sudah mula terasa kepada anak-anak desa yang berada di perantauan. Perasaan untuk pulang berhariraya bersama ayahbonda dan sanak saudara di sana sangat membuak seolah-olah menjadi suatu kemestian. Ramai yang bekerja di bandar-bandar sudah awal-awal lagi mengira cuti atau sebulan sebelum itu sudah menempah tiket bas bagi yang tiada mempunyai kereta sendiri. Perasaan sedih yang tidak dapat digambarkan kepada mereka yang tidak memperolehi cuti atau mempunyai sebab-sebab lain. Kepiluan beraya di perantauan sangat mengesankan, seruan takbir raya dan ditambah lagi lagu-lagu yang dimainkan di radio-radio meruntun jiwa. Pengalaman tidak dapat balik berhari raya menjadi igauan kerana terasa sunyi yang amat sangat apabila bandar dan tempat kerja menjadi kosong serta ramai teman yang pulang berhari raya di kampung masing-masing. Sesiapa pun pasti berusaha mencari jalan pulang kampung jika mempunyai peluang bercuti.
Saban tahun budaya pulang kampung sudah menjadi suatu fenomena yang unik dan kemestian. Orang ramai yang mampu mempunyai kereta sendiri telah meningkat akan mendatangkan suatu kesan kesesakan di jalan-jalan raya utama seluruh negara. Apabila kenderaan banyak di jalan raya, kita akan mendengar laporan kemalangan yang berlaku diikuti berita menyayat hati dan ngeri. Jumlah kemalangan tiada banyak bezanya dari setahun ke setahun. Jalan dan lebuhraya dipertingkatkan kualiti serta diperbanyakkan tempat perhentian rawat dan rehat untuk kegunaan dan keselesaan pemandu.
Pemandu dinasihatkan bersedia dengan tahap fizikal dan emosi yang baik apabila ingin membuat perjalanan jauh seperti tidur yang cukup, segar dan tidak dalam keadaan letih. Kenderaan pula perlu berada dalam keadaan terbaik seperti telah membuat pemeriksaan kondisi dan servis.
Persediaan untuk meninggalkan rumah untuk pulang bercuti juga perlu diambil perhatian di mana pastikan rumah dan 'gate' dikunci dengan sempurna, pintu dan tingkap ditutup kemas, langganan surat khabar dihentikan sementara waktu, pastikan barang-barang atau peralatan taman disimpan pada tempat tidak terbuka, lampu luar yang menggunakan 'timer' boleh dipasang (jika ada), semua suis dan 'plug' untuk peralatan elektronik dimatikan, punca air di meter hadapan rumah ditutup dan jiran yang dekat dimaklumkan.
Kita akan berasa selamat dan gembira untuk pulang berhari raya di kampung jika semuanya telah kita laksanakan sewajarnya. Jiwa yang lapang dan badan yang sihat mendorongkan perjalanan yang baik dan berhemah semasa di jalanraya. Biarpun memandu dalam keadaan yang sesak dan lembab, kita tetap ceria dan waras.

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah