Rabu, Oktober 17, 2007

Salam AidilFitri 1428H

Hari Raya Aidilfitri 1428H jatuh pada hari Sabtu (13/10/2007). Terbenamnya matahari pada petang sebelum itu maka sudah dikira malam Syawal di mana pada malam ini tiada lagi aktiviti sembahyang sunat Terawih. Biasanya malam ini adalah saat-saat akhir zakat fitrah dibayar meskipun waktu luput membayarnya adalah sehingga waktu pagi esok sebelum solat sunat hariraya didirikan.

Sehari sebelum 1 Syawal adalah hari yang paling kritikal kepada anak-anak perantau untuk pulang menyambut hari raya puasa di kampung masing-masing. Keadaan sesak di perjalanan sudah menjadi kemestian yang perlu dihadapi. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri dan strategi kononnya untuk mengelak bertembung dengan kesesakan jalanraya semasa pulang ke kampung. Ada yang berpendapat, elok memulakan perjalanan di awal pagi sebelum masuk subuh lagi, ada pula yang memulakan perjalanan sekitar jam sepuluh (10) pagi malah ramai yang bertolak pada malam hari raya kerana dapat makan minum semasa memandu. Tetapi tidak kurang pula yang bertolak pulang ke kampung selepas selesai sembahyang sunat hari raya di tempat kediaman sendiri.

Dalam apa keadaan pun kepulangan ke kampung untuk menyambut hari raya bersama sanak saudara menjadi lebih bermakna berbanding merayakannya di tempat perantauan. Cuma kebiasaan ini mungkin akan berubah apabila seseorang itu telah lama bermastautin di perantauan dan tiada lagi mempunyai ibu atau bapa di kampung. Anak-anak yang lahir di bandar tidak akan merasa kerinduan untuk pulang kampung. Namun kemeriahannya tetap ada walaupun ianya agak berbeza.

Suasana awal pagi di rumah ayahbonda agak kecoh apabila ramai anak menantu yang pulang dengan keluarga masing-masing. Bilik air umpamanya menjadi rebutan siapa masuk dulu. Pelbagai ragam dan perangai yang ditunjukkan oleh anak-anak yang baru pulang dari bandar. Cara didikan yang ditunjukkan oleh ibubapa masing-masing mewarnakan suasana pagi hari raya itu. Di luar rumah kelihatan beberapa kereta yang nombor pendaftarannya bukan dari tempatan membayangkan ramai anak menantu yang pulang.

Ketika masing-masing bersiap memakai pakaian baru tradisional (Melayu), menjadi perkara sunat apabila menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid atau surau berdekatan. Suami dan isteri serta anak-anak mengambil kesempatan bersalam dan bermaaf-maafan sesama mereka. Suara takbir yang mendayu-dayu kedengaran di udara menambahkan lagi keghairahan sambutan hari raya. Keinsafan yang lahir dari sanubari yang ikhlas dan rasa terharu tidak dapat ditahan lagi apabila airmata menitis bersama memohon keampunan. Perkarangan masjid atau surau dipenuhi kenderaan dari luar agak luar biasa banyaknya. Wajah-wajah ceria bertemu rakan dan taulan menggambarkan keikhlasan dan bertanya khabar antara satu sama lain. Kesyahduan inilah yang menggamit perantau supaya pulang menyambut salam AidilFitri di kampung!.

Sambutan hampir sama di seluruh negara di mana solat sunat AidilFitri akan dilangsungkan paling awal jam 8.30 pagi. Masjid dan surau yang sebelum ini tidak sesak akan kelihatan penuh dan melimpah keluar dengan orang ramai (jemaah) lelaki dan perempuan. Waktu solat sebenarnya telah pun dimaklumkan kepada jemaah pada malam sebelum itu. Takbir raya (bermaksud membesarkan Allah SWT, hari kemenangan dan melepaskan dari azab peperangan dengan orang-orang kafir) dilaungkan beramai-ramai dengan diketuai seseorang (bilal atau sesiapa saja yang bergilir ganti) di bahagian saf hadapan dalam masjid atau surau.

Sehingga tiba waktu solat, imam yang bertugas akan bangun memaklumkan kepada makmum (jemaah) iaitu memperingatkan semula cara-cara solat hari raya. Solat sunat hari raya adalah berbeza dengan solat-solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain. Ia mempunyai dua (2) rakaat sahaja tetapi jumlah takbiratul ihramnya tujuh (7) kali di rakaat pertama dan lima (5) kali di rakaat kedua. Setiap takbir disertai dengan membaca tasbih Subhanallahi Walhamdulillahi Wala Ilahaillallahu Wallahu Akbar! Oleh kerana solat ini hanyalah dua (2) kali setahun (solat sunat AidilFitri dan solat sunat AidilAdha), kadangkala ada imam yang terlupa mengangkat takbir pada rakaat kedua! Kecoh juga jika makmum yang tidak biasa akan tertanya-tanya samada hendak angkat takbir sendiri-sendiri atau diam saja! Namun ini adalah sunat sahaja, makmum perlu akur dan ikut sahaja imam di hadapan! Indahnya Islam, kita disarankan mengikut ketua atau pemimpin di dalam sesuatu kumpulan atau pemerintahan selagi mereka tidak melanggar hukum syarak.

Selesai solat, kebanyakan masjid atau surau mengadakan bacaan tahlil dan doa untuk kesejahteraan semua termasuk mereka yang sudah arwah. Sementara itu sedekah wang tunai dari jemaah akan disampaikan kepada kanak-kanak dan fakir miskin yang beratur di luar masjid (biasanya tradisi ini berlaku di daerah-daerah utara Semenanjung).
Keseronokannya sangat mengesankan! Kita yang telah dewasa ini masih terkenangkan pengalaman itu.

Sunah Rasululllah SAW, apabila keluar masjid hendaklah kita mengikut jalan lain dari jalan yang kita datang ke masjid tadi. Ziarah menziarahi bermula dengan kaum kerabat terdekat sehingga kesemuanya jika mampu berbuat demikian. Kesempatan ini kita berpeluang memohon ampun dan maaf kepada semua yang kita ketemui. Tidak perlu mengambil terlalu banyak makanan pada sesebuah rumah yang kita kunjungi, memadai merasai kuih muih yang berlainan dan hanya muncul sesekali pada hari raya saja. Kita yang berkeluarga ini, bawalah wang sedekah yang dimasukkan dalam sampul (jika ada) untuk disedekahkan kepada anak-anak yang berada di setiap kunjungan itu. Tidak perlu banyak jumlah wang yang dimasukkan dalam sampul tetapi biarlah dalam bilangan yang banyak supaya ramai yang dapat diberikan. Menjadi sebahagian kemeriahan apabila wang bersampul ini (kebanyakan daerah di negeri-negeri sebelah selatan Semenanjung)diberika kepada saudara mara termasuk menantu dan orang dewasa.

Tidak ketinggalan juga, ziarahlah kubur dengan mengajak anak-anak atau bersama-sama dengan saudara mara lain agar kita semua merasa insaf bahawa kematian pasti akan datang kepada semua insan yang hidup ini dan juga kita menghadiahkan bacaan tahlil atau sekurang-kurangnya Surah Al-Fatihah untuk kaum keluarga yang mendahului serta mendoakan kesejahteraan semua..Amin.

Takbir raya dan kemeriahan ini akan berpanjangan sehingga waktu petang kerana pada esok hari sebahagian umat Islam akan menyambung puasa sunat sebanyak enam (6) hari lagi dalam bulan Syawal. Diriwayatkan bahawa jika seseorang itu berpuasa penuh di bulan Ramadhan dan dituruti dengan enam (6) hari genap puasa sunat ini, ia mendapat pahala seolah-olah berpuasa selama setahun! Takbir raya hanya dikumandangkan selama sehari saja (tidak seperti hari raya Adha di mana takbirnya selama tiga (3) hari). Namun tempoh kemeriahan menyambut hari raya puasa agak berbeza antara negeri Pantai Timur, Pantai Barat dan Malaysia Timur. Ada negeri yang menyambut AidilAdha sebagai hari raya besar dan sangat meriah serta berpanjangan agak lama berbanding hari raya puasa. Ada negeri yang menyambut AidilFitri dengan sangat meriah dan berpanjangan sehingga seminggu iaitu masih memakai pakaian tradisional dan membuat rumah terbuka atau mengunjungi rumah siapa saja. Kemeriahan yang ditunjukkan melambangkan keharmonian dan warna budaya kita yang hidup bermasyarakat dan mengikat silaturahim dalam negara yang dirahmati. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilham.

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah