Rabu, Disember 31, 2008

Catatan 10 Hari Di Hujung Tahun 2008

20/Disember/08 Sabtu

8.00 pagi - 10.30 pagi

- Hadir baca doa Perasmian Program Bumi Hijau Perikanan di Maeps, Serdang.
- Lokasinya di Laman Perikanan dalam kawasan tapak pameran MAHA kepunyaan MARDI.
- Ada pasar tani setiap Sabtu.
- Setiap agensi kerajaan yang terlibat dengan pertanian, perikanan dan penternakan menyediakan pameran, jualan, promosi dan sebagainya secara berkala setiap minggu.
- Orang ramai boleh datang dan mendapatkan pelbagai maklumat dan keperluan berkaitan di sini.

Jika datang awal pagi, pemandangan sekeliling tasik sangat indah. Terasa masih ada kesegarannya.

22 dan 23/Disember/08

- Mohon cuti dan menemani kerja Mama [panggilan anak2 terhadap isteri] ke Lumut, Perak.

21/Disember/08 Ahad

10.00 pagi - 12.00 tengahari

- Hantar Adik [anak perempuan ketiga] balik kampus UIA, Nilai.

- Singgah Giant dekat situ beli barangan keperluan.

- Beri belanja makan serta yuran trip lawatan Gunung Jerai pada 28/12/08.

- Pesan jaga diri dan berhati-hati ketika ikut rombongan itu.
1.00 petang - 3.00 petang

- Hantar Kak Su [panggilan anak2 terhadap pembantu rumah] dan lawat Mak Seremban [emak mertua] di Taman Paroi Jaya, Seremban.
- Minta pembantu tolong kemaskan bilik Makdik [panggilan emak saudara isteri] yang ditinggalkannya tanpa terurus.
- Anad [anak lelaki bongsu yang membahasakan dirinya] minta belikan roti John yang dijual depan rumah mak.
- Sudah banyak gerai makan dibuka dan nampak meriah kawasan berdekatan.
- Berbual sebentar dengan jiran sebelah yang baru lepas mengadakan kenduri kahwin anak perempuannya pada awal bulan Disember. Pelamin dibuat di rumah tetapi jamuan makan diadakan di dewan Pusat Islam Paroi. Kami tidak sempat menghadiri jamuan itu kerana tersangkut dalam kesesakan jalan dari Bangi ke Senawang memakan masa 1.30 jam. Biasanya 1/2 jam sahaja. Jam 3.00 petang, dewan sudah dikemaskan untuk acara lain pulak. Buat kenduri di dewan terpaksalah mengikut jadual.
- Lepas zohor bergerak balik semula ke Bangi. Along [anak perempuan sulong] telefon beritahu jam 3.00 petang beliau habis tamrin di ILIM, Bangi.

4.00 petang - 5.00 petang

- Bersedia untuk ke Lumut.
- Along balik ke Kuantan menumpang senior [pasangan suami isteri]. Sebelum itu, sudah pesan supaya jumpa di rumah sebelum bertolak. Diberitahu, mereka akan ikut LPT [Lebuhraya Pantai Timur]. Pesankan supaya memandu dengan berhati-hati dan sebahagian dari laluan itu tiada liputan telefon.
- Mama tinggalkan kunci rumah kepada jiran [jiran juga sering tinggalkan kunci apabila hendak keluar daerah].
- Selepas 'asar kami keluar rumah mengikut Plaza Tol UPM...opps..! kereta berderet-deret menghala Plaza Tol Sg. Besi arah ke Kuala Lumpur. Oleh kerana tiket tol sudah ambil, kami tukar haluan keluar arah selatan dan masuk balik melalui Plaza Tol Bangi/Kajang seterusnya mengikut jalan LDP [Lebuhraya Damansara Puchong]. Keluar tol USJ melalui NKVE terus ke Plaza Tol Bidor.
- Cadangan nak berhenti makan di restoran Teratak [rumah lama yang bahagian bawahnya diubahsuai menjadi restoran]. Lokasinya dekat dengan simpang tiga pekan Bidor ke Teluk Intan. Ketika awal operasi iaitu lebih 5 tahun dahulu, restoran ini terkenal dengan mee udang dalam clay pot [mangkuk bertangkai dari tanah liat] dan jus durian belanda. Tetapi sekarang, menu tu dah tiada. Hari ini, restoran tu tutup pula.
- Dalam perjalanan, beritahu Mama dan Anad supaya niatkan jamak Takhir [solat Maghrib dihimpunkan dengan Isyak dan dilakukan dalam waktu Isyak].
- Berhenti makan di Mamak Bistro [restoran ada WiFi] tepi jalan lebih kurang 3 km sebelum sampai bandar Lumut.
- Check in di Marina Cove. 2 lagi kakak ipar sudah sampai petang tadi. Mereka menyewa 2 bilik tetapi tingkap menghadap daratan. Katanya, semua bilik habis ditempah. Musim cuti sekolah, memang nampak ramai keluarga yang datang bawa anak-anak bercuti menginap di sini.
- Bilik kami tidak sama level dengan bilik mereka [kami di tingkat 8, mereka pula di tingkat 9].
- Rasa penat, rehat atas sofa sambil tukar-tukar saluran tv pakai remote.

Kawasan laut yang ditambak kemudian dibina Water Park

22/Disember/08 Isnin [cuti rehat 1/2]

8.00 pagi - 12.00 tengahari

- pemandu dari TLDM datang ambil Mama pergi kerja.
- Anad minta nak pergi mandi water park depan hotel tetapi ajak pergi breakfast dulu kat floor bawah..meja makan hampir penuh. Ramai keluarga dengan kanak-kanak. Pool sebelah restoran dah bising dengan kanak-kanak yang mandi sambil ibu bapa tunggu kat tepi kolam.
- Lepas makan naik semula. Duduk dalam bilik. Anad dah tukar pakai seluar mandi dan ingatkan beliau supaya pakai goggle yang dibawa semalam.
- Dari bilik boleh lihat water park dan laut. Sesekali jengok tengok Anad tapi tak nampak pun.
- Hampir jam 12.00 tengahari, Anad balik bilik dengan Izat [anak saudara lelaki sebelah isteri].
- Ipar yang baru pulang dari bandar membawakan makanan segera ayam goreng. Kami makan tengahari dalam bilik sahaja.
- Hampir jam 5.00 petang, Mama telefon menyuruh check out.
- Kami bergerak ke tempat penginapan lain. Satu fishing resort yang baru dibuka. Ia dibina atas tambakan laut hadapan TLDM. Menarik juga, macam kabin yang menyediakan 2 bilik di dalamnya. Disediakan pelantar untuk memancing pada tiap kabin. Mereka check in di situ untuk satu malam lagi. Suaminya memang suka memancing.



Masih indah dan menarik di mana tambakan laut membentuk lagun baru.

- Anad meminta untuk tinggal bersama mereka sehingga 25/12/08. Malangnya, kereta tidak mengizinkan. Nampak air matanya tergenang!.



Fishing Resort yang menyediakan pelantar untuk memancing

- Kami pergi membeli hasil laut di kedai kenalan [kedai hasil laut Jamilah]. Habis beratus juga.
- Selepas itu, pergi cari tempat makan di Water Front dalam bandar Lumut. Selepas susah payah cari parking, kami kampuh 2 meja menghadap pentas public karaoke dan mula duduk order makanan. Medan selera ini sangat strategi lokasinya tetapi kenapa servis dan menunya tidak menarik?. Ada gerai yang kosong tidak dibuka. Susunan dapur dan meja makan tidak kemas. Ada kerusi yang sudah patah kaki tetapi masih dipakai dengan mengikat tali padanya.
Paling ketara, pelayan kemudiannya datang memberitahu, jus karot yang Anad order dah habis, nasi masih belum masak!. Kami ketawa...lantas membatalkan semua order dan beredar dari situ. Mengapa mereka tidak mengambil kesempatan musim cuti begini untuk mengaut keuntungan dengan berniaga dan memberi servis yang terbaik?
- Jam 9.00 malam, kami bertiga bertolak pulang ke Bangi. Ipar sekeluarga meneruskan percutian mereka di Pulau Pangkor.
- Jam 1.00 tengahmalam sampai rumah setelah bertarung dengan letih dan mengantuk ketika memandu.
23/Disember/08 Selasa [cuti rehat 2/2]

8.00 pagi - 8.00 malam

- Masih bercuti.
- Mama pergi kerja.
- Rutin basuh dan jemur pakaian [sekali-sekala ketika pembantu tiada].
- Jam 10.00 pagi baru sarapan [Anad relaks jer..buatkan Milo panas untuknya. Kalau ada Kak Su minuman ini disediakan awal pagi].
- Baiki lampu [tadi Mama pesan].
- Cadangan nak keluar pergi Imigresen [baharui pasport Kak Su]. Beliau ada menyuarakan hasrat nak balik pada April 2009 tetapi minta tunda hingga Disember 2009 kerana InsyaAllah, bawa keluarga sekali ikut hantar dan melancong Jakarta-Jawa Tengah. Beliau sudah bersama kami lebih sepuluh tahun. Tiada bezanya macam keluarga sendiri juga.
- Anad minta nak pergi rumah Arif [jiran sebelah 2 rumah]. Pesan nanti zohor terus pergi surau. - Makan tengahari lewat jam 3.00 petang. Restoran 1 km dari rumah. Lebih RM 14.00 untuk 2 orang. Anad ambil sikit nasi dengan peha ayam goreng + sikit sayur + Milo ais.
- Mama balik dekat Maghrib.

9.00 malam - 12.30 tengahmalam

- Pergi Seremban, bawa pulang Kak Su.
- Rumah Emak Seremban nampak lebih kemas. Tiada lagi sawang dekat langit-langit [siling].
- Emak Seremban beritahu jika panjang umur beliau nak berpuasa dan bertarawih di surau desa kami pada tahun 2009 nanti. Di rumahnya, masjid agak jauh untuknya pergi berjalan kaki melainkan ada orang yang boleh membawanya bersama. Desa kami masih ada suasana kampung di mana kami mengenal semua penduduk dan mesra. Selalu ada perjumpaan di surau dan aktif dalam aktiviti gotong-royong dan kemasyarakatan.
24/Disember/08 Rabu

8.00 pagi - 6.00 petang

- Pergi kerja
- Dimaklum 26/12/08 panggilan mesyuarat dan kerja luar di Tasik Banding, Grik.
- prepairation out station form dan kenderaan jabatan.

8.00 malam - 12.00 tengahmalam

- Tidak berani keluar rumah bimbangkan orang yang merayakan Krismas bawa kereta dalam keadaan mabuk.
- Rancangan dalam tv banyak yang berkaitan perayaan itu.
- Kadang kala rasa kesian juga melihat mereka ini...seolah-olah tercari-cari keseronokan.
25/Disember/08 Khamis [cuti umum]

8.00 pagi - 12.00 tengahari

- Pergi jumpa Adik dekat kampus Nilai. Hantar barang keperluan untuk travel tripnya.

1.00 petang - 12.00 tengahmalam

- Selepas zohor, berdua bertolak ke Grik.
- Tersentuh perasaan apabila pagi tadi, Mohd [adik dari keluarga angkat dari Grik] ada sms no hp Emak Grik [emak angkat yang sangat disayangi]. Seolah-olah terpanggil untuk menziarahinya. Sudah lama tidak ketemu. Ayah Grik ketika sakitnya sehingga meninggal, kami tidak dapat ketemu kerana masa itu Penulis juga sedang cuti sakit selama 4 bulan.
- Cadangan awal nak bermalam di Kuala Kangsar. Resort tepi sungai tetapi oleh kerana datang secara walk in..'maaf encik, bilik penuh'.
- Waktu lewat petang, pergi makan laksa dekat medan selera sebelah Bukit Chandan. Ramai beritahu laksanya sedap..tetapi nampak kuahnya jernih dan cair sahaja. Mungkin kebetulan bukan gerai yang sebenar.
- Bandar DiRaja Kuala Kangsar, nampak agak sibuk dan ceria. Lewat tahun 70an, Penulis menuntut Form 6 di sini. Ada satu restoran cina yang selalu kami lepak pada waktu itu [Restoran Jee King]. Kini dah tiada lagi. Masa dulu, bandar ini kerap banjir apabila datang musim tengkujuh [biasanya bulan Disember] namun setelah Empangan Temenggor dibina di bahagian hulu sungainya, kejadian itu tidak berlaku lagi. Juga terkenal dengan satu permainan lumur tepung dari seseorang yang meninggalkan bekas tersebut di depan pintu rumah dan pertunjukan pelita api [punjut] pada malam 27 likur. Sekarang ini, orang luar akan hanya mengenalinya sebagai bandar pengeluar Labu Sayung [Sayung adalah nama kampung seberang sungai berhadapan bandar ini] dan pembekal pembuatan perkakas berasaskan besi terutama mata pisau. Ada bot penambang dari bandar untuk menyeberang ke kampung ini. Bagaimanapun sekarang sudah ada sebuah jambatan besar yang menghubungkan antara keduanya. Istana sultan yang berada di atas bukit [Bukit Chandan] berhampiran bandar boleh dilawati ketika ulangtahun baginda [zaman pemerintahan Al-Marhum DYMM Sultan Idris].
- Kami meneruskan perjalanan ke bandar Grik. Jalan baru yang dibina semasa YAB Tajol Rosli menjadi MB telah menjimatkan masa berbanding jalan lama yang terkenal dengan bengkang bengkoknya. Bagaimanapun, pekan Lenggong dan beberapa pekan kecil lagi telah terpisah dan terpintas.
- Hampir jam 9.00 malam kami tiba di bandar Grik. Tasik Banding masih 40 km arah ke Jeli, Kelantan melalui Lebuhraya Timur-Barat. Kami ambil keputusan cari hotel untuk menginap. Tiada hotel berbintang di bandar ini bagaimanapun sekadar bermalam dan merehatkan badan, kita rasa amat bersyukur jika ada bilik untuk disewa.
26/Disember/08 Jumaat

8.00 pagi - 12.00 tengahari

- Check out dari hotel dan singgah sarapan dekat R&R dalam perjalanan ke Tasik Banding.
- Bandar Grik pada suatu ketika dulu terletak dalam kawasan keselamatan. Bagaimanapun ketegasan kerajaan membina lebuhraya ini boleh dianggap satu kejayaan membanteras anasir kominis dari terus menjadikan kawasan hutan sempadan negara sebagai transit dan pengkalan anasir tersebut.- Hutan tebal dan berbukit masih merupakan simpanan khazanah negara.
- Tasik Banding dan Hutan Belum diharap menjadi pemangkin khazanah yang bertahan untuk beberapa generasi lagi.
- Selepas mesyuarat di sebuah pusat ternakan airtawar, kami ditawarkan untuk melawat salah satu ternakan ikan dalam sangkar kepunyaan swasta.
- Jika hendak ke sana perlu naik bot lebih kurang 40 minit perjalanan sehala.
- Penulis tidak ikut dalam lawatan itu memandangkan jam sudah 12.00 tengahari. Penulis pernah melawat tasik ini 2 tahun lepas yang jauhnya perjalanan sehingga 3 jam menaiki bot yang lajunya lingkungan 15 knot.
- Ada perkampungan orang asli di tengah perjalanan itu.
- Ada pengkalan tempat persinggahan DiRaja serta kita perlu melaporkan diri pada setiap pos tentera yang mengawal tasik ini.

Sebahagian tasik buatan dimanfaatkan untuk sumber makanan dan pelancongan.

1.00 tengahari - 3.00 petang

-Singgah solat Jumaat di sebuah masjid kecil dekat Felda Bersia. Kita akan merasa seperti berada di dalam suatu daerah yang berlainan jika kita membandingkan rekabentuk masjid dan ahli jemaahnya dengan masjid-masjid di bandar-bandar besar. Masjid ini masih mengekalkan kolah tempah ambil wuduk, masih beratap zink, mimbar yang selari dengan lantai makmum, ruang solat untuk wanita terpaksa dibuka untuk makmum lelaki , kipas siling yang berputar hampir kepala kepada makmum yang tinggi dan sebagainya. Ada jemaah yang berpakaian seragam tentera yang menggambarkan ada kem tentera berdekatan. Di halaman kereta, kelihatan kenderaan berplat luar daerah yang turut singgah berjemaah. Setelah selesai solat, tirai yang memisahkan jemaah perempuan diturunkan. Orang perempuan dari luar yang singgah mula memasuki masjid untuk solat zohor atau jamak.
- Penulis mengambil kesempatan waktu makan ini untuk menziarahi Emak Grik yang berada di Kampung Bongor yang tidak jauh dari situ.
- Bukan main terperanjat adik dan emak apabila melihat Penulis muncul di depan pintu selepas memberi salam. Ketika itu, mereka sedang makan tengahari. Kelam kabut juga dibuatnya. Ditinggalnya nasi yang sedang dimakan...emak dan isteri adik Mohd sibuk mengambil pinggan dan menambah lauk. Tersentuh juga hati ini...melihat apa yang sedang mereka makan.
- Penulis tidak berbual mengenai perkara lain tetapi lebih menanyakan khabar dan kerinduan kerana agak lama tidak ketemu.
- Adik Mohd ada menyuarakan bahawa beliau bercadang nak ke Singapura untuk bekerja di kedai makan kenalannya. Penulis menasihatkannya supaya berhati-hati menjaga diri serta beringat agar pasport tidak diserahkan untuk orang lain yang memegangnya ketika berada di sana. Pelik juga kerana yang Penulis tahu orang Singapura yang ramai keluar pergi makan-makan di restoran-restoran di Johor Bharu malah mereka mudik sampai Skudai dan sekitarnya.

Keadaan geografi yang tersedia tidak menghilangkan keindahannya walaupun kita cuba mengubahnya dengan mewujudkan pelbagai pembangunan dan pembaharuan.

4.00 petang - 9.00 malam
- Selepas mengambil teman sepejabat, kami terus bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
- Kami singgah di R&R Tasik Raban untuk teman pejabat bersolat jamak dan makan...Penulis masih ingat kalau dulu, ada ikan bakar dari tasik ini terutama ikan kaloi yang besar!. Ada orang memburu ikan kaloi ini dengan menembak menggunakan senapang patah. Ikan kaloi akan muncul di permukaan air tasik beberapa saat dalam jarak 20 minit tiap kali untuk mendapatkan udara. Pemburu akan menunggu di lubuk yang kerap dilihat ikan tersebut muncul dan akan menembak ketika ikan itu dipermukaan air.
- Kawasan R&R ini sudah dibina baru. Sebahagian kedai makan menghadap tasik tetapi dilindungi oleh pokok-pokok. Ada tandas berbayar 30 sen sekali masuk. Ketika kami sampai, tidak ramai orang. Kurang pasti samada sambutannya sentiasa seperti yang kelihatan.
- Lepas makan kami bergerak semula. Kami singgah lagi di R&R Ulu Bernam di lebuhraya Utara-Selatan.
- Sekitar 8.00 malam, sampai di tol Jalan Duta.
27/Disember/08 Sabtu [29 Zulhijjah 1429]

8.00 pagi - 5.00 petang

Peristiwa besar berlaku hari ini.
- Kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan..Tuanku Ja'afar di Seri Menanti.
- TV1 dan Oasis [astro] menyiarkan bacaan Al-Quran.
- Dimaklumkan pemakaman pada hari Isnin...aduh..kenapa lambat sangat?
- Hadir kenduri kahwin kawan Mama di Taman Sri Andalas, Kelang..jamuan dari jam 10.00 pagi sampai jam 5.00 petang. Kami sampai jam 3.00 petang masih ada ramai lagi yang datang.
28/Disember/08 Ahad [30 Zulhijjah 1429]
5.00 petang

- Lepas solat 'asar, baca doa akhir tahun hijrah. Ramai yang lupa termasuk ustaz apabila habis solat jemaah 'asar...habis macam tu saja.

7.30 malam

- Lepas solat maghrib, baca doa awal tahun hijrah. Biasanya masjid Negara mengadakan bacaan yasin dan bertahlil.
- Sambutan tahun baru bagi umat Islam amat jauh bezanya dengan sambutan tahun masehi. Kiraan tahun baru hijrah bermula pada waktu lepas maghrib pada 29 atau 30 Zulhijjah. Berbeza dengan tahun masehi yang dikira bermula tengahmalam 31 Disember.
29/Disember/08 Isnin [1 Muharam 1430]

8.00 pagi - 6.00 petang

- Perhimpunan Ma'al Hijrah di PICC, Putrajaya..Mufti negeri Perak dianugerahkan Tokoh Ma'al Hijrah bersama Sheikh Wahbah dari Syria..hadiah RM100 Ribu cukup memberangsangkan!.
- Upacara pertabalan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan kepada Tunku Muhriz [anak saudara Al-Marhum Tuanku Ja'afar]. Perlantikan dilakukan oleh 4 Undang Luak dalam sistem Adat Perpatih. Diriwayatkan bahawa ketika kemangkatan Yang Dipertuan Besar [ayahanda Tunku Muhriz iaitu Tuanku Munawir] pada 1967 telah ditabalkan kepada Tuanku Ja'afar tampuk pemerintahan buat sementara apabila Tunku Muhriz ketika itu berumur 18 tahun dan masih tidak layak memegang kuasa. Namun kuasa itu dipegang oleh Al-Marhum hingga wafat ketika berusia 86 tahun selama 41 tahun.
- Upacara penuh istiadat pengebumian dijalankan selepas selesai pertabalan tersebut selepas 'asar.
30/Disember/08 Selasa [2 Muharam 1430]

8.00 pagi - 6.00 petang

- Kerja
- Ramai yang ambil cuti berkampuh.
31/Disember/08 Rabu [3 Muharam 1430]

8.00 pagi - 6.00 petang

- Kerja

8.00 malam - 12.00 tengahmalam

- Banyak saluran TV buat tayangan secara langsung.
- Ada pesta bunga api, ada perhimpunan kira detik jam, ada orang mabuk, ada orang rai hilang keperawanan, ada tawaran arak separuh harga dan macam-macam lagi hiburan yang tidak mendatangkan kebaikan. Pengalaman Penulis, ketika dulu kerap berulang dari KL-Taiping menaiki bas ekspres, seringkali singgah Puduraya. Aduhai...ketika tiba jam 1.30 atau 3.00 pagi di situ..kita boleh lihat anak-anak muda dan remaja bangsa kita..lepak dan tidur di bangku-bangku stesyen itu. Ramai daripadanya yang terlepas bas atau terlewat kerana menghadiri pesta atau perhimpunan seumpama itu. Biasanya show habis tengahmalam, bas pengangkutan awam paling akhir jam 11.30 malam.

...Siapakah yang bertanggungjawab atas semua moral dan hiburan seperti ini?

Isnin, Disember 15, 2008

matematika 1 + 1 = 27


Mari kita membaca dan mengira dalam kaedah agama.

1 + 1 = 27 [ seorang tambah seorang jadi dua puluh tujuh pahala ]

Jika bersolat 1 orang mendapat 1 pahala.
Jika bersolat berjemaah mendapat 27 pahala untuk setiap 1 orang.
1 imam perlu ada makmum begitu juga sebaliknya.
Rasulullah memimpin umat supaya berjemaah.
Kebaikan yang ada pada jemaah sangat besar.
Umat yang bersatu mendatangkan kekuatan.

Tapak tangan kanan ada garis angka 18 [baca dalam jawi]
Tapak tangan kiri ada garis angka 81 [baca dalam jawi]
Jika 18 + 81 = 99 [ jumlah nama-nama Allah SWT ]
Maha Suci Allah SWT mencipta manusia dengan kebesaran-Nya.
Manusia dianugerahkan kebijaksanaan akal bagi memimpin dunia sebagai khalifah.
Kerana itu manusia akan dipertanggungjawabkan atas segala amalannya sebagai pemimpin.
Memimpin ke arah kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi akhirat pada diri sendiri, keluarga di bawah tanggungannya, saudara dan jiran terdekat seterusnya berkembang mengikut kepentingan yang telah digariskan oleh agama.

Rukun Islam ada 5 perkara.

Mengucap 2 kalimah syahadah,
Mengerjakan solat fardhu 5 waktu x 1 hari,
Berpuasa 1 bulan dalam bulan Ramadhan,
Membayar zakat,
Mengerjakan haji di Baitullah.

Solat yang difardhukan ada 5 waktu.

5 waktu-waktu ini ada petanda yang berbeza-beza mewakili tanda masuknya waktu solat.


Awal pagi - Subuh [ 2 rakaat ]
Tengahari - Zohor [ 4 rakaat ]

Petang - 'Asar [ 4 rakaat ]
Awal malam - Maghrib [ 3 rakaat ]
Malam - Isyak [ 4 rakaat ]

Andaian 2 minit untuk 1 rakaat masa mengerjakan solat.
5 waktu solat = 17 rakaat
17 rakaat x 2 minit = 34 minit [1 hari 1 malam ]
# 34 minit x 365 [ 1 tahun ] = 12410 minit [ 206.83 jam ] [ 8.62 hari ]
Ditakdirkan 1 manusia hidup selama 65 tahun.
Sejak 10 tahun dari kelahirannya, solat menjadi wajib ditunaikan.
55 tahun bersolat, jika tidak meninggalkan solat walaupun 1 waktu,
55 tahun hidup wajib solat x 206.83 jam masa solat = 11375.65 jam [ 473.98 hari ] [ 1.3 tahun ]

Anggota tangan dan kaki mewakili masa hidup 1 hari 1 malam [ 24 jam ]
1 anggota tangan mempunyai 5 jari
1 anggota kaki mempunyai 5 jari
# [ 2 tangan = 10 jari ] + [ 2 kaki = 10 jari ] = 4 kakitangan + 20 jari [ 24 jam ]

Dalam solat fardhu 5 waktu mempunyai 34 kali takbir + 5 takbiratulihram.
2 rakaat solat Subuh = 4 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat Zohor = 8 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat 'Asar = 8 takbir + 1 takbiratulihram,
3 rakaat solat Maghrib = 6 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat Isyak = 8 takbir + 1 takbiratulihram.

Jika ada takbir ketika bangun dari tiap sujud diambil kira, jumlah takbir akan bertambah lagi sebanyak 12.

Untuk itu :-

34 takbir + 12 takbir bangun dari sujud + 5 takbiratulihram = 51 takbir

Jika angka 51 dipisahkan kepada 5 dan 1 kemudian dicampurkan semula bagi tiap angka yang mewakili seperti:-

5 + 1 = 6 maka hubungkait antara konsep keimanan dan hakikat rukun menjadi 1 orang Islam terungkup dalam 1 bulatan.

Takbir itu pasrah (menyerah) sambil membesarkan Allah SWT (Allahu Akbar).

Anggota atas (kepala) yang mempunyai otak tempat akal berfungsi mewakili keimanan.

Rukun Iman ada 6 perkara.

Percaya kepada Allah SWT
Percaya kepada Malaikat
Percaya kepada Kitab-kitab
Percaya kepada Rasul-rasul
Percaya kepada Qiamat
Percaya kepada Qadha dan Qadar

2 mata [ 1 pasang ] + 2 telinga [ 1 pasang ] + 1 hidung + 1 mulut = 6 pancaindera
Kesemua pancaindera ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan meletakkan diri manusia itu dengan kesan dan akibat dari perlakuan pancaindera tersebut.

Tiada siapa yang dapat memberi hidayah dan keimanan kepada seseorang. Hanya Allah SWT yang berkuasa dan berhak untuk memberi hidayah ke atas seseorang itu samada ia berakhir dengan keimanan yang benar atau pun sebaliknya.

Nilai keimanan seseorang itu sangat tinggi. Ia mengatasi akal dan logik. Ia tidak mempersoalkan melalui akal,

Mengapa Allah SWT menyuruh manusia membuat kebaikan.
Mengapa Allah SWT melarang manusia membuat kejahatan.
Mengapa Allah SWT mengadakan syurga?
Mengapa Allah SWT mengadakan neraka?

Jika kita bertanya...siapakah kita?
Kita juga yang menjawabnya bahawa...
Kita adalah hamba kepada Allah SWT...Tuhan Yang Maha Esa...Tiada sekutu bagi-Nya.

Rabu, Disember 10, 2008

Ibadah Korban Desa Makmur


Sebahagian penduduk Desa Makmur yang tidak pulang beraya di kampung telah melakukan ibadah korban sebanyak lima (5) ekor lembu. Semua lembu ini disembelih pada hari raya pertama.

Solat sunat AidilAdha dilakukan di surau Al-Makmur dengan berimamkan Ustaz Hasnan (Pensyarah UKM). Khutbah dibacakan oleh Pengetua Darul Fuqaha Ustaz Khairudin At-Takiri. Jemaah yang hadir lebihkurang 150 orang terdiri dari lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Solat jam 8.00 pagi.


Pada awalnya, masing-masing menaruh perasaan bimbang jika kerja dan proses penyembelihan seperti melapah, memotong, mengagih dan sebagainya tidak dapat dijalankan dengan pantas kerana kekurangan orang. Alhamdulillah, semua kerja itu selesai lebih kurang jam 12.30 tengahari.



Gotong royong orang perempuan dalam kerja-kerja memasak selesai jam 3.00 petang. 50 kg daging dimasak singgang (masakan Kelantan). 2 periuk besar masak sup tulang cicah air asam. Perut direbus satu periuk lain.



Daging korban berjumlah 300 kg diasingkan menjadi 3 bahagian di mana tiap satu bahagian masing-masing untuk peserta bawa pulang, sedekah mentah dan dimasak kenduri di surau.

Jumaat, Disember 05, 2008

TerimaKasih

Cabaran mengasuh anak-anak sangatlah mencabar!..

Anak-anakku...fasilitator-fasilitator Kem Ibadah surau Al-Makmur.

Azmar, 'Arif, 'Izzat, Khairuzzaman, Huzaifah, Nor Azim, Mardhiah, Nor Athirah, Nurul Sa'adah, Siti Fatimah dan Siti Khodijah.


Kenangan juga suatu penghargaan....!

Ayahanda berterimakasih kepada anak-anak semua.

Ayahanda tidak mampu membayar dengan wang ringgit dan hanya berharap Allah SWT sentiasa menganugerahkan semangat dakwah yang terpuji, kesihatan yang baik, kesabaran yang tinggi, kecerdasan akal, keikhlasan yang mutlak dan redha menerima keadaan kepada anak-anak semua.

Pengorbanan dan komitmen yang anak-anak berikan ketika mengendalikan kem ibadah tersebut sangat dihargai.

Ayahanda menganggapkan anak-anak telah berjaya menyampaikan tujuan dan kehendak kem tersebut diadakan.
Teori dan Praktikal Wudhu...Alhamdulillah, hampir 100% peserta mencapai kesempurnaan.

Teori dan Praktikal Solat...Alhamdulillah, hampir 100% peserta mencapai kesempurnaan.

Perihal bacaan doa dan hafazan...Bercampur-campur tahap pencapaian peserta..itu biasa kerana InsyaAllah, ia akan berubah ke arah pertambahan memantapkan kerohanian.

Konsep kendiri yang diterapkan juga berkesan dalam membentuk cara hidup peserta ke arah lebih baik dan berdikari.

Penyertaan yang sempurna diikhtiraf.

Keinsafan peserta ketika sesi muhasabah mencerminkan keberkesanan program (cuma pada masa hadapan pastikan peserta tidak menghubungi ibubapanya melalui handset supaya mengelakkan ibubapanya panik.)

Keseluruhannya Ayahanda berpuashati atas kesungguhan anak-anak terutama Azmar sebagai Ketua Program yang sering merujuk sebelum bertindak. Perbincangan dan post mortem yang selalu dibuat antara fasilitator sangat bagus bagi mencari kebaikan-kebaikan dan kelemahan-kelemahan. Walaupun penat, kita tidak seharusnya leka dan mengambil mudah perihal sahsiah diri sendiri kerana peserta menganggap anda adalah contoh terbaik.


InsyaAllah. Salam dan selamat bersyiar!.

Khamis, Disember 04, 2008

Yaasiin..ayat 60 hingga 68


60. 'Bukankah Aku memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu',

61. 'dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

62. 'Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antaramu. Maka apakah kamu tidak memikirkannya?

63. 'Inilah Jahannam yang dahulu kamu diancam (dengannya).

64. 'Masuklah ke dalamnya pada hari ini disebabkan kamu dahulu mengingkarinya.

65. 'Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka memberikan kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.

66. 'Dan jikalau Kami menghendaki pastilah Kami hapuskan penglihatan mata mereka; lalu mereka berlumba-lumba (mencari) jalan. Maka betapakah mereka dapat melihat(nya).

67. 'Dan jikalau Kami menghendaki pastilah Kami rubah mereka di tempat mereka berada; maka mereka tidak sanggup berjalan lagi dan tidak (pula) sanggup kembali.

68. 'Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya niscaya Kami kembalikan dia kepada kejadian(nya)*. Maka apakah mereka tidak memikirkannya?

Allah SWT hanya memberi amaran dan menyimpan 'jikalau' dalam peristiwa di mana manusia yang akan melintasi siratulmustakim pada hari pembalasan nanti. Indahnya ayat ini mengkhabarkan betapa Allah SWT bersifat Maha Mengasihani terhadap manusia yang beriman.
Allah SWT juga menemplak manusia yang tidak beriman, pada hari itu mereka diusir masuk ke dalam neraka Jahannam di mana mereka ini telahpun diancam dengan ayat-ayat yang menggambarkan dahsyatnya pembalasan api neraka Jahannam itu jika tidak beriman semasa hidup di dunia.

* maksudnya: kembali menjadi lemah dan kurang akal.

Al-Qur'an dan Terjemahnya hadiah dari Khadim al Haramain asy Syarifain (Pelayan kedua Tanah Suci) Raja Fahd ibn 'Abd al 'Aziz Al Sa'ud.

Jumaat, November 28, 2008

Hari Keluarga Desa Makmur



Hari Keluarga Desa Makmur 11/2008


Pendaftaran anak-anak Pertandingan Mewarna.
Pendaftaran Keluarga dalam Pertandingan Memancing.


Kaum ibu tidak ketinggalan menggunakan kemahiran memancing....tapi tak nampak pun ikan...



Ada tumbuhan spesis teratai yang ditanam hidup subur..
ada orang panggil Teliput Air.











2kg...besar tu..
malam tu kami semua makan ikan bakar...kepala patin buat masak tempoyak..aduhai.

depa tak puas hati kerana mancing tak dapat...depa turun dalam kolam...tangkap pakai jaring...














Memang sesuai dengan namanya...

Desa Makmur.

Sebuah taman perumahan kecil..mempunyai kurang seratus buah rumah. Kawasan kampung yang dikelilingi pembangunan seperti Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Bandar Baru Bangi dan Dengkil. Semua penduduknya, berbangsa Melayu yang datang dari beberapa negeri dan berugama Islam. Taman ini masih baru diduduki iaitu sejak penghujung 2005. Penduduknya saling kenal mengenali dan mesra. Terdapat sebuah surau yang baru siap dibina sebagai tempat ibadah, perjumpaan dan aktiviti.
Anda yang di luar sana...dialu-alukan datang berjemaah di surau ini disamping mengikuti program dan pengajian agama yang diadakan secara berjadual. Selamat Datang.

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah