Selasa, September 23, 2008

Anak2ku Di Universiti

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr (Masa)..ada tiga (3) ayat sahaja.

'Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang'

1. Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,
3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.


Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...kenapa Allah SWT mengingatkan kita tentang masa?

Secara fitrahnya seorang manusia sejak lahir akan melalui beberapa peringkat usia pembesarannya. Proses perubahan usia akan berlaku mengikut masa yang berjalan tiada hentinya. Perubahan tahap pemikiran dan akal seseorang itu juga fleksibel. Ia mungkin berganjak dari satu tahap tidak baik kepada baik ataupun sebaliknya. Normalnya, Allah SWT telah menganugerahkan akal ke dalam otak kita yang asalnya kosong untuk manusia memilih sendiri bagaimana menggunakan akalnya.

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...kenapa Allah SWT bersungguh dalam perkara masa?

Setelah kita bertambah usia dan berakal, kita ada pilihan samada hendak menggunakan masa dengan bijak atau kita membiarkannya berlalu tanpa sebarang menafaat atau faedah. Kebijaksanaan akal yang cemerlang akan nampak kesan dan akibatnya dari sebarang penggunaan masa yang Allah SWT peruntukkan untuk kita. Jika kita menanam kemalasan, hasilnya tiada kejayaan. Jika kita tidak belajar, kita tidak akan lulus. Malah jika kita mensia-siakan hidup ini, penghujungnya kita akan mendapat kerugian yang besar.

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...ada dua (2) golongan manusia?

Manusia yang beriman dan manusia yang tidak beriman. Allah SWT hanya mengecualikan kerugian kepada manusia beriman yang sentiasa berpesan-pesan supaya taat atas kebenaran dan berpesan-pesan tetap atas kesabaran.

Taat atas kebenaran dalam memperkatakan kebenaran dan hak. Yang benar itu tetap diakui kebenarannya. Tidak akan merubah keputusan yakni berdiri teguh atas membenarkan perkara yang hak. Kukuh dan bertetap keimanan yakni tidak goyang dan tergoda dengan segala perkara yang tidak baik serta merosakkan.

Tetap atas kesabaran pula ada dua (2) keadaan iaitu bersabar dalam godaan yang merosakkan dan bersabar menanggung musibah.

Umpama, anak2ku yang sedang belajar, hendaklah bersabar dalam mentelaah ilmu yang kejayaannya tidaklah cepat dan semudah itu. Menggunakan masa dengan betul dan memenuhi tanggungjawab belajar adalah peluang yang masa datangnya hanyalah sekali. Harapan dan cita-cita hendaklah bertetap serta sabar dalam mengharungi kesusahan belajar. Kecewa, letih, tekanan dan seumpamanya adalah ujian yang menuntut kesabaran sehingga tiba waktunya, InsyaAllah kejayaan.

Anak2ku Di Universiti,

Belajarlah selagi ada peluang...kesinambungan ilmu pemangkin hayat keturunan berakal.

Isnin, September 15, 2008

Hafiz Jadi Imam Terawih

Kebanyakan masjid dan surau dalam kawasan perumahan di bandar-bandar mengupah imam dari pusat-pusat Tahfiz untuk mengimami solat sunat terawih di masjid atau surau tempat kediaman masing-masing. Mereka ini dibayar agak mewah juga dalam jumlah 4 angka selama sebulan menjadi imam solat ini. Ada masjid yang mengimpot imam (kebanyakan pelajar kita yang belajar) dari luarnegara terutamanya dari Mesir atau Arab Saudi khas untuk sebulan Ramadhan ini. Kemeriahan syiar ini menghidupkan malam-malam Ramadhan.

Ada masjid yang menghabiskan satu juzuk setiap malam. Solat akan selesai lebih kurang jam 10.30 malam. Mulanya, ramai dan banyak saf di belakang...tapi bila lepas 8 rakaat hanya tinggal yang jenis hardcore saja!. Jika bacaan imamnya yang lunak, makmum akan kusyuk juga walaupun tidak memahami ertinya.

Seorang yang hafaz Al-Quran sangatlah istimewa di mata masyarakat. Mereka ini dianggap seorang yang bersih dari segala segi kehidupan. Mereka sangat berhati-hati dalam menjaga halal dan haramnya makanan, memelihara mata dari memandang perkara-perkara syahwat, mengelak dari berfikir berkenaan perkara-perkara yang kotor dan sebagainya. Ayat suci yang disimpan di dalam dada sentiasa dibaca setiap hari berulang-ulang!.

Masjid atau surau yang tidak mempunyai imam yang hafaz, mereka meletakkan Al-Quran yang bersaiz besar di hadapan imam dan dibaca secara satu muka surat untuk satu rakaat solat terawih. Imam macam ini tidak perlu ada bantuan dari makmum belakang jika terlupa atau tersasul bacaan. Cuma setiap kali nak dirikan solat, helaian muka surat itu perlu dikepilkan atau disepitkan dengan sesuatu supaya tidak diselak angin kipas atau sebagainya...kalau tak gawat jadinya.!

Bagaimanapun, masjid dan surau di kampung-kampung masih mengekalkan tradisi membaca ayat-ayat lazim bermula dengan Surah At Takaatsur hingga Surah Al Lahab dengan diselangselikan Surah Al Ikhlash pada malam-malam setengah bulan pertama kemudian diselangselikan dengan Surah Al Lail pada malam-malam bakinya.

Khamis, September 11, 2008

Solat Witir vs Tahajud Malam Ramadhan

Kadang kita mendengar ada orang memberi pelbagai pendapat mengenai boleh atau tidaknya mengerjakan solat tahajud dan solat-solat sunat yang lain pada tengahmalam Ramadhan setelah kita sudah mengerjakan solat Witir semasa selesai solat sunat Tarawih pada awal malam.

Mungkin banyaknya pendapat menyebabkan kita keliru dan kabur... mana satu nak ikut. Ramai yang bercakap macam ustaz. Apa tidaknya, ada sesetengahnya tidak turut bersolat witir bersama jemaah lain ketika selesai solat sunat tarawih kerana hendakkan bangun tengah malam nanti untuk dirikan solat sunat tengah malam (Tahajud).

Ada yang berpendapat buat dulu solat witir itu tetapi hanya dua (2) rakaat saja sementara bakinya akan tutup selepas bangun tengah malam dan menyelesaikan solat-solat sunat yang lain.

Tetapi, yang ironisnya kerana berpegang pendapat solat witir itu adalah penutup solat sunat maka mereka terus tinggalkan solat witir semasa selesai jemaah solat terawih dengan harapan kononnya nak bangun tengah malam tapi kesudahannya hanya terjaga hampir habis waktu sahur. Tinggal niat sajalah....!

Isnin, September 08, 2008

Senang Kira Hari Berpuasa

Tahun ini umat Islam dalam negara kita mula berpuasa pada hari Isnin 1 September 2008. Jadi mudah bagi kita untuk mengira jumlah berapa hari sudah berpuasa. Oleh kerana kita dah biasa dengan bulan masihi, kita kerap kali lupa bulan hijrah iaitu takwim Islam yang seharusnya menjadi panduan. Namun tahun ini, takdirnya kita berpuasa selari dengan bulan September 2008. Bagaimanapun, haribulan takwim Islam akan terpisah apabila tiba penghujung bulan-bulan berikutnya. Bulan pada takwim Islam tidak pernah melangkaui 31 hari seperti bulan-bulan masihi seperti Januari, Mac, Mei, Ogos, Oktober dan Disember. Seolah-olah takwim Islam lebih laju malah kita pernah dapati beberapa bulan yang berada dalam takwim Islam boleh berada dalam kalendar masihi itu sebanyak dua (2) kali. Kita pernah menyambut Hariraya Haji dua (2) kali dalam tahun masihi. Uniknya, tarikh awal Ramadhan dan Syawal ditentukan dengan menggunakan kaedah rukyah (melihat anak bulan) pada penghujung Syaban dan Ramadhan. Ketentuan ini yang mendatangkan bilangan hari pada bulan dalam takwim Islam boleh jadi berubah-ubah pada setiap tahun.

Allah SWT merahsiakan bilangan hari bagi menutup bulan hijrah. Hikmahnya, umat Islam harus bersatu dalam kesatuan sejagat untuk selari dan serentak dalam membuat sebarang keputusan berkaitan maslahat ummah. Namun pada tahun ini kita masih dapati keseragaman di dunia Islam masih berpisah-pisah dan tidak bersatu padu. Libya berpuasa awal sehari manakala Iran pula berpuasa lewat sehari dari majoriti negara Islam yang berpuasa bermula 1 September 2008.

Bagaimanapun, berbanding tahun-tahun dahulu sekitar 80-an seringkali berlaku menyambut awal puasa dan hariraya berbeza-beza di antara negara-negara Asia Tenggara malah di dalam negara kita sendiri pun. Ketika itu, makmum terasa serbasalah terutama yang baru pulang dari perantauan samada mahu ikut yang mana satu. Kelakarnya, penduduk yang tinggal berhampiran sempadan negeri terpaksa menahan sabar masih berpuasa apabila melihat jiran sebelah negerinya sudah berhariraya.

Jumaat, Ogos 22, 2008

'Aku Nak Berhenti Merokok!'

'Aku nak berhenti merokok!',

Itulah kata-kata yang biasa kita dengar dari mulut kawan-kawan yang merokok sejak dulu lagi. Sudah beberapa tahun, masa berlalu sehari ke sebulan seterusnya bertahun hingga kini...kita melihat mereka masih menghisap rokok. Ucapan yang hanya tinggal ucapan sahaja yang tidak disertai dengan tindakan. Hanya bercita-cita tetapi tidak mencuba!.

Semangat yang longgar,
Tiada kekuatan diri,
Mungkir pada janji diri sendiri,
Sukar menahan godaan ketagihan,
Berpura-pura dalam memahami kesihatan,
Kurang perasaan sensitif orang sekeliling,

Tabiat perokok yang buruk:
Membuang puntung rokok merata-rata selain tempat khas atau astray
seperti;
pasu bunga, pinggan makanan, cawan minuman, kolam hiasan dalam taman atau bangunan, terus buang dalam bakul sampah tanpa mematikan dahulu api puntung rokok, tepi jalan dan lain-lain.
Kerap meminta-minta rokok kepada kawan-kawan atau paling teruk mengambil terus dari kocek baju kawan sebelum diberikan.
Menghisap rokok dalam mana-mana tandas sambil membuang air besar!.

Tabiat perokok yang membahayakan:
Menghisap rokok ketika baring hendak tidur dalam bilik tidur,
(Pengalaman penulis hampir terbakar rumah sewa apabila tilam tempat tidur terkena api puntung rokok yang jatuh dari tangan apabila terlelap semasa menghisap rokok, Penulis terjaga setelah terasa panas api marak yang membakar hampir keseluruhan tilam. Peristiwa ini berlaku lama dulu (awal 1983).

Kesan pada alam sekeliling:
Pokok bunga boleh mati kerana sisa candu dan segala macam kandungan dalam sebatang rokok itu tidak boleh menjadi baja tetapi sebaliknya menjadi racun,
Pinggan dan cawan jenis plastik atau melamine yang biasa digunakan di restoran atau gerai makan akan nampak berbekas tanda bakar kerana tenyehan puntung rokok.
Jika merokok dalam kereta atau bilik yang tiada banyak ruang udara keluar masuk, bau pahit asap rokok akan kekal dan melekat pada pakaian dan kusyen.
Jika puntung yang masih menyala dibuang tepi jalan boleh mengakibatkan kebakaran terutama lalang dan musim kering.
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Kesan pada kesihatan diri:
Nafas terasa sesak dan perit dalam dada ketika melakukan kerja menggunakan tenaga yang banyak,
Ketika bangun waktu pagi, kerongkong terasa kering dan mengeluarkan batuk dan bunyi lelah yang mengerikan kepada orang lain yang mendengarnya,
Bibir menjadi hitam kesan terbakar,
Celahan, belakang dan hadapan gigi terdapat kesan tar berwarna coklat kehitaman yang menutup keserlahan gigi yang sihat,
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Kesan pada pandangan orang lain:
Jika perempuan muda yang menghisap rokok di tempat awam akan dipandang semacam seolah-olah dianggap sudah rosak moralnya,
Jika budak-budak yang menghisapnya akan dianggap budak nakal yang menghabiskan wang saku sekolah atau mereka ini tidak boleh diharap kejujurannya dalam sesuatu perkara yang melibatkan wang,
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Rokok kena haram!
Negeri Selangor semasa bawah Allahyarham Mufti S.S. Dato' Ishak Baharom telah mengeluarkan fatwa iaitu merokok adalah haram!. Heboh satu negara...ada yang pro malah ramai yang menentang pengistiharan itu. Peliknya, jika mufti seorang yang dianggap boleh mengeluarkan fatwa hukum dalam kehidupan Islam tetapi ditentang serta fatwanya tidak digunapakai jadi kepada siapa lagi kita boleh harap dan dipercayai?
Lagi hairan apabila kita jumpa orang yang bergelar ustaz dan berkopiah putih (lebai) masih menghembuskan asap rokoknya di mana-mana majlis kenduri tahlil malah di beranda masjid sekalipun.
Budaya merokok di kalangan orang kita sangat sebati seolah-olah tidak dapat dipisah-pisahkan. Mungkin orang terdahulu menganggap menghisap rokok adalah perbuatan makruh yang tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan kesihatan yang besar. Namun anggapan terdahulu mungkin berbeza dengan anggapan sekarang di mana keterbatasan maklumat dan kajian terhadap kesan kerosakan yang boleh didatangkan dari tabiat merokok sekarang ini jika diambil peduli secara benar..semua orang takut untuk menghisapnya.

Ketagihan merokok yang melampau!
Seawal kanak-kanak berumur belasan tahun sudah ketagih merokok. Pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok akan memberi kesan menarik kepada kanak-kanak tadi untuk turut mencuba dan kemudian akan menjerumuskan mereka terus dalam masa tertentu sebagai perokok yang kerap.
Mungkin pada mulanya mereka hanya berkongsi sebatang rokok namun lama-lama kelamaan mereka sudah mula membeli sendiri. Apabila sampai peringkat ini, seorang kanak-kanak itu akan berada dalam zon ketagihan yang melampau. Keadaan yang terdesak untuk mendapatkan rokok sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan akan mendatangkan suatu lagi masalah dalam masyarakat sekeliling. Ketagihan melampau akan mendorongkan mereka membuat apasaja asalkan boleh mendatangkan duit. Alhamdulillah, jika mereka cuba mendapatkan wang dengan bekerja mencari dan mengumpul botol-botol untuk dijual, atau membantu dalam kerja-kerja restoran dan sebagainya.
Menghisap rokok selepas makan nasi tengahari atau selepas makan pedas-pedas adalah suatu kenikmatan yang amat sangat kepada perokok yang ketagihannya melampau. Ketika ini, perokok yang kehabisan rokoknya tidak akan merasa segan dan silu untuk meminta-minta rokok kepada kawan-kawan atau orang sekelilingnya.

Perokok lelaki nampak macho!
Mungkin itu adalah anggapan kanak-kanak lelaki yang terpengaruh!. Mereka merasa sudah lebih dewasa, nampak ketika merokok di mana-mana tempat terdedah dengan gaya rokok di celah jari serta menghembus asap ke atas seolah-olah...'inilah aku seorang lelaki!'.

Menahan dari mengantuk:
Mungkin..kesan nikotin.
1. Untuk memandu terutama waktu malam.
2. Untuk menulis dan membaca terutama mentelaah waktu malam.
3. Untuk mengusir nyamuk ketika berada dalam hutan atau sedang memancing dsb.

Pengalaman 20 tahun sebagai penghisap rokok!
(Pengalaman penulis ketika ke sekolah, waktu itu masih dalam tingkatan 3..membawa rokok di dalam pencil box Oxford beserta bilah-bilah mancis yang kotaknya diceraikan pada bahagian tepi untuk gores. Penulis menghisap rokok sejak berumur enam tahun (tahun 1965) iaitu sekadar sisa-sisa rokok orang tua atau abang-abang yang lain. Jenama rokok ketika itu jenis Rough Rider, Signal, 555, Gold Leaf dan lain-lain yang agak popular. Penulis mula membeli sendiri ketika darjah 3 dengan mengorbankan wang saku yang ayah beri sepuluh sen sehari. Harga rokok ketika itu lingkungan 25 sen sekotak jenis murah yang berisi sepuluh batang.

Tiada masalah jika ingin berhenti...
Penulis berhenti dari menghisap rokok pada tahun 1984. Ketika itu, hisap rokok jenama Benson & Hedges...sehari 2 kotak besar yang mengandungi 20 batang bagi setiap kotak. Harga RM 4.80 sekotak. Belanja untuk rokok setiap bulan jika simpan dah boleh beli rumah! Rokok pula kalau disambung-sambung, boleh lilit bumi beberapa kali..Dalam paru-paru, jika di x-ray..ngeri nak cakap!.

Petua nak berhenti.
Kalau nak berhenti..tak perlu bagi alasan. Terus saja berhenti. Jika ada orang pelawa selepas itu, minta maaf..kata dah tidak hisap lagi. Memang ketagihan agak mencabar. Jangan pula ganti dengan gula-gula atau benda lain sebagai mengisi ketagihan itu. Anggap macam sedang puasa saja. InsyaAllah, selepas 2 bulan..anda tidak rasa nak merokok lagi. Selepas itu..nekad dan jangan hisap lagi walaupun rokok daun (rokok daun nipah yang dibalut sendiri..biasanya dulu-dulu kebanyakan dihisap oleh orang tua-tua di kampung atau ada dalam bekas sireh yang diunjukkan pada tetamu).

Anda menjadi seorang yang lebih baik jika tidak merokok!
Anda membantu mengelakkan pencemaran udara,
Anda disenangi untuk duduk bersama kawan-kawan lain dalam zon tidak merokok ketika makan,
Anda tidak gelisah ketika berada lama dalam kapalterbang atau kenderaan lain semasa dalam perjalanan kerana tidak dibenarkan merokok,
Anda menepati menjadi seorang muslim yang tidak membazirkan wang untuk rokok,
Anda seorang yang sihat dan tiada masalah penyakit paru-paru.

Isnin, Ogos 18, 2008

MAHA2008 bernostalgia!






















Sabtu lepas 15/08/08 bawa isteri dan anak lelaki dan mak mertua pergi melawat pameran MAHA08 di tapak MARDI, Serdang.
Menarik di mana pameran buah-buahan nadir dapat mengimbau kenangan lama 30 tahun lalu pokok buah-buahan ini masih wujud lagi. Mungkin generasi kelahiran selepas 80-an tidak kenal dengan buah-buahan ini. Pokok-pokok jenis ini sudah semakin berkurangan atau kemungkinan pupus apabila ia tidak dianggap pokok buah yang bernilai.










Rabu, Julai 30, 2008

Logik Akal Perjalanan Israk Mikraj

Hari ini 30 Julai 2008 (27 Rejab 1429) ada negeri yang bercuti umum menyambut ulang tahun peristiwa Israk Mikraj. Kesempatan masa lapang ini saya mengajak anda untuk berkongsi fikiran mengenai peristiwa Israk Mikraj iaitu perjalanan Rasulullah SAW pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Mari kita melihat dari suatu sudut yang lain yang tidak perlu menjangkau terlalu jauh untuk membuktikan kebenaran peristiwa ini. Allah SWT menganugerahkan kepada kita akal dan kebijaksanaan untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi sebarang persoalan yang menguji akal atau minda itu sendiri.

Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan suatu perkara berkaitan keimanan yang sangat penting untuk difikirkan. Allah SWT sengaja melontarkan peristiwa itu sebagai suatu ujian keimanan seseorang umat manusia samada menerimanya sebagai sesuatu yang logik atau sebaliknya.

Ramai yang menganggap, peristiwa Israk Mikraj seperti diceritakan sejak kita kecil lagi bahawa ia suatu perjalanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan seterusnya diangkat naik ke langit bertemu dengan Allah SWT. Kita juga digambarkan kenderaan yang dinaiki oleh Rasulullah SAW adalah suatu makhluk seakan-akan kuda berwajah manusia yang dinamakan Buraq. Perjalanan ini hanya memakan masa satu malam di mana jarak di bumi antara Mekah dan Masjidil Aqsa di Palestin sejauh melebihi seribu kilometer.

Allah SWT menguji akal kita bahawa mana mungkin seorang manusia boleh bergerak dalam masa satu malam sejauh itu hanya dengan menunggang seekor kuda atau binatang seumpamanya? Adakah Rasulullah SAW hanya bermimpi dan kemudian menceritakannya kepada orang di hari keesokannya? Kita mungkin dapat membayangkan bagaimana sukarnya Rasulullah SAW untuk menghadapi suasana orang ramai ketika menceritakan peristiwa yang dialaminya itu. Diriwayatkan bahawa sebahagian penganut yang telah beriman sebelum itu telah kembali semula kepada kepercayaan asalnya apabila mendengar khabar ini. Mereka yang menggunakan kepercayaan akal semata-mata sudah tentu sukar menerima penceritaan seperti ini.

Dimanakah logiknya? Jika kita bertanya seperti itu..mungkin soalan itu telah pun dikemukakan kepada Rasulullah SAW lebih seribu tahun lalu. Seorang kanak-kanak, jika kita kemukakan persoalan ini, dengan penuh kepercayaan menganggap bahawa memang ada kuda yang boleh terbang seperti yang mereka tonton melalui cerita-cerita Harry Porter! Penceritaan peristiwa ini kepada mereka adalah sesuatu yang hebat dan memberangsangkan! Itulah kanak-kanak, mereka menerima penceritaan ini dengan kebenaran tanpa logik akal. Sesungguhnya, seorang kanak-kanak tidak dipertanggungkan dosa ke atas mereka sehingga mereka baligh. Maha Suci Allah SWT!

Namun, adakah kita akan menganggap Saidina Abu Bakar As-Siddiq seorang yang tidak mengguna akal seperti kanak-kanak apabila mempercayai cerita ini tanpa persoalan? Beliau amat dikenali sebagai seorang yang beriman yang tiada tandingnya, seorang khalifah pertama dari kalangan empat (4) Khalifah Ar-Rasyidin yang menjalankan pemerintahannya dengan teliti dan adil.

Allah SWT telah mengaturkan perjalanan ini untuk Rasulullah SAW melalui alasan yang berlandaskan akal dan keimanan manusia samada menerima sebagai kebenaran atau sebaliknya. Bukti dan penjelasan yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW adalah pelengkap kebenaran yang disampaikan baginda. Sesungguhnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq sangatlah tepat ketika membenarkan cerita Rasulullah SAW seterusnya Allah SWT mengesahkan peristiwa ini melalui Al-Quran:

Surah Al-Israa' (Memperjalankan Di Malam Hari) Ayat 1

'Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya*) agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'

(*) Maksudnya: Al Masjidil Aqsha dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah SWT dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya. (Al-Quran dan Terjemahnya cetakan Arab Saudi ke dalam makna dan loghat Indonesia)

Allah SWT mengesahkan lagi bahawa Rasulullah telah diperlihatkan pelbagai gambaran manusia yang mendapat pembalasan dari perbuatan dan amalan mereka semasa hidup di dunia. Sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah SWT telah diperlihatkan kepada Rasulullah SAW di mana Syurga dan Neraka itu diwujudkan semata-mata untuk tempat tinggal abadi manusia pada kehidupan selepas mati. Dinyatakan dalam Al-Quran pada surat 53:

Surah An Najm (Bintang) Ayat 13-18

13. 'Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu lain.

14. (yaitu) di Sidratil Muntaha*)

15. Di dekatnya ada surga tempat tinggal

16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya

17. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya

18. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.'

(*) Sidratil Muntaha yaitu tempat yang paling tinggi di atas langit yang ke 7, yang telah dikunjungi Nabi ketika Mi'raj. (Al-Quran dan Terjemahnya cetakan Arab Saudi ke dalam makna dan loghat Indonesia)

Kita pasti sampai pada suatu tahap penerimaan logik akal, bahawa perjalanan ini tiada yang tidak benarnya kerana kekuasaan Allah SWT tiadalah terhitung luasnya. Kita sendiri berada pada zaman ini, suatu zaman yang canggih dan berteknologi angkasa lepas serta dunia siber dan IT yang kita gunakan sudahpun menjadi mainan hujung jari anak-anak kecil di rumah sahaja. Kita boleh bergerak dari benua ke benua yang lain yang jaraknya beribu kilometer dalam masa beberapa jam sahaja. Kita juga boleh melihat siaran langsung yang jelas gambarnya dari bumi sebelah sana dan sebaliknya. Kita boleh bercakap secara jelas dan sahih dengan seseorang dari seluruh pelusuk dunia ini dengan pelbagai cara malah peralatan yang hanya sebesar beberapa jari. Allah SWT mengangkat Rasulullah SAW ke langit dalam perjalanan mikrajnya lebih seribu tahun lalu adalah sebagai memberi petunjuk kepada umat manusia supaya wajib beriman dan pasti akan mendapat pembalasan dari apa yang telah diamalkan samada yang baik atau sebaliknya.

Rabu, Julai 02, 2008

Keindahan Bunga Dan Pokok Hiasan Yang Ada Di Sekeliling Rumah Kita

Mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa di sekeliling rumah sendiri mempunyai banyak keindahan. Allah SWT menciptakan pelbagai tumbuhan hiasan serta mengeluarkan bunga bukan semata-mata untuk dilihat kecantikannya tetapi ia juga mempunyai pelbagai manfaat untuk makhluk-Nya. Keindahan yang boleh dinikmati oleh manusia seolah-olah memberikan suatu ketenangan, kedamaian dan terapi pada kesihatan. Apabila kita bangun awal pagi dan selepas selesai menunaikan kewajipan solat, cuba anda keluar ke halaman rumah sendiri ketika samar-samar pagi sehingga matahari meninggi waktu dhuha. Anda boleh melakukan senaman ringkas sambil menghirup udara segar waktu pagi. Walaupun rumah anda berada di tengah kota atau pinggir kota atau di mana-mana sahaja tempatnya, keadaan selepas subuh adalah suatu masa yang sangat menenangkan. Allah SWT telah menganugerahkan waktu ini sebagai penawar pada kesihatan umat manusia. Kesegaran dan kedinginan waktu pagi menjadi suatu terapi kesihatan yang baik serta membentuk minda agar berfikir dengan tenang dan sabar. Kita harus menghargai ruang sekeliling kediaman kerana kesegaran yang terhasil dari tumbuhan tersebut menyumbangkan oksigen atau udara segar untuk kita bernafas. InsyaAllah!.































Jumaat, Jun 13, 2008

Bulan, Bintang Dan Matahari Dicipta Dengan Bersendiri Orbit

Bulan

Ia beredar mengelilingi bumi yang dihuni oleh kita ini sebanyak 27.32 kali dalam sebulan. Ia berada pada jarak 384 400 kilometer dari bumi dan ia seolah-olah satelit bumi yang sentiasa bergerak menghantar cahaya indah jika dilihat pada waktu malam. Manusia mengaitkan peranan bulan terhadap bumi sebagai suatu tarikan graviti yang mengakibatkan pasang surutnya air laut, perubahan musim landas dan tengkujuh, aktiviti-aktiviti mengawan dan pembiakan, peneluran dan penetasan serta lain-lain.
Kejadian peredaran bulan ini telah disebut di dalam Al-Quran pada surat ke 21:

Surah Al-Anbia Ayat 33.

'Dan Dia-lah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya'.

Bintang

Ia berada sangat jauh malah ada yang bertahun-tahun kelajuan cahaya jaraknya dari bumi kita. Kegemerlapan dan kerlipan cahayanya yang bertaburan di langit pada waktu malam amat mengasyikkan. Jumlahnya berjuta-juta malah tidak terbilang namun ia juga beredar pada orbitnya tersendiri. Dinyatakan ada yang lebih besar saiznya dari matahari dan mempunyai kelompok galaksinya sendiri. Kehebatan ciptaan Allah SWT mengorbitkan semua peredaran bintang-bintang ini tanpa berlanggar antara satu sama lain. Peranan bintang kepada manusia di mana salah satunya menjadi petunjuk arah ketika bermusafir atau mengembara di padang pasir dan pelayaran di lautan luas.
Allah SWT ada menyatakan ini di dalam Al-Quran pada surat ke 16:

Surah An-Nahl Ayat 16.

'dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk'.

Matahari

Ia terletak di tengah-tengah sistem galaksi iaitu suatu kelompok sistem suria yang memancarkan cahaya keseluruhan cakerawalanya. Ia berada pada jarak kira-kira 149.6 juta kilometer dari bumi. Peranan dan faedahnya sangat banyak untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan di bumi.
Allah SWT telah menyebut perihal matahari ini di dalam Al-Quran pada surat ke 10:

Surah Yunus Ayat 5.

'Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak*). Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui'.

*) Maksudnya: Allah SWT menjadikan semua yang disebutkan itu bukanlah dengan sia-sia, melainkan penuh dengan hikmahnya.

Khamis, Jun 12, 2008

Islam Yang Relevan Hingga Akhir Dunia

Senarai negara yang berpendudukan Islam menguasai separuh muka bumi ini. Umat Islam bukanlah minoriti di dunia ini. Seharusnya, umat Islam yang mencapai bilion jumlahnya dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama rakan bukan seagama di mana-mana pelusuk bumi ini. Umat Islam terdiri dari pelbagai bangsa. Islam tidak hanya untuk bangsa Arab sahaja. Namun dunia barat sekarang seolah-olah menghadapi masalah dengan Islam. Diburukkan lagi apabila ada orang Islam sendiri yang mencemburui agamanya dengan menambahkan penentangan dan kecelaruan kesucian agama Islam.

Islam tidak pernah ketinggalan. Ia sentiasa ke hadapan dan relevan sepanjang masa sehingga berakhirnya dunia ini. Hanya mereka yang tidak mengerti menganggap Islam itu jumud dan ketinggalan. Allah SWT melengkapkan Al-Quran serta meredhai Islam sebagai agama yang wajib dianuti seluruh umat manusia termasuk makhluk jin. Al-Quran tidak pernah ketinggalan sebagai rujukan dan panduan, tiada naskhah lain yang dapat menandinginya walau sepotong ayat. Al-Quran menjadi naskhah yang mempunyai pelbagai ilmu yang merangkumi segalanya yang diperlukan oleh manusia.

Menjadi seorang Islam sangatlah mudah di mana dengan melafazkan dua kalimah syahadah serta disaksikan maka seseorang itu telah muslim yang tertakluk dengan peraturan beragama. Islam adalah agama yang mempunyai peraturan dan larangan. Penganutnya tertakluk dengan peraturan-peraturan hidup yang perlu dipatuhi serta larangan-larangan yang juga perlu dijauhi. Islam sangat berbeza dengan agama lain di dunia ini. Adalah salah jika ada orang mengatakan yang Islam itu sama juga dengan agama-agama lain yang mengamalkan kebaikan dan kedamaian. Allah SWT hanya meredhai Islam sahaja sebagai agama di mana penganutnya akan dipertimbangkan segala amalannya semasa hidup di dunia ini. Manakala manusia yang menganuti agama lain tidak mempunyai pertimbangan lagi melainkan pembalasan buruk kesudahannya.

Ibadah dan amalan Islam tidak mempunyai pengantara. Ia dilakukan secara terus antara seorang manusia mukmin dengan Tuhannya iaitu Allah SWT. Umpama seorang mukmin itu berdoa, ia memohon secara terus kepada Tuhannya. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa ada had masa. Kekusyukan serta rendah diri ketika mengabdi diri diharapkan mendapat pertimbangan serta keampunan dari Allah SWT.

Allah SWT adalah Tuhan yang menjadi tempat bagi orang beriman mengadu. Segala kesakitan dan ketakutan, resah dan gundah, kekecewaan dan kedukaan, kecelaruan dan kebuntuan malah apasaja tujuannya, akan meredakan serta menjadi penawar dan pengubat jiwa. Keberanian dan semangat akan bangkit dan kembali pulih apabila seseorang beriman itu yakin bahawa Allah SWT sentiasa disampingnya serta mendengar doanya.

Islam tidak akan musnah meskipun ditentang atau diperangi dari pelbagai sudut. Mungkin penganutnya yang tewas dan rebah tersungkur namun sebaliknya pula Islam akan semakin berkembang bercambah di bumi penentangnya. Kita boleh mendalami bagaimana hikmah sejarah perjanjian Hudaibiyah yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan pemimpin Quraisy Mekah pada tahun tujuh (7) hijrah. Secara kasarnya kita menganggap betapa Rasulullah SAW diperkecilkan dan tidak diberi pilihan dalam perjanjian itu yang menampakkan kerugian pada pihak Rasulullah SAW. Namun Allah SWT Tuhan Maha Perancang memberikan keuntungan jangka panjang kepada pihak Rasulullah SAW. Hikmahnya, sebahagian isi perjanjian itu yang mengatakan semua orang Islam yang berada dalam kota Mekah (pihak Quraisy) tidak perlu diserahkan kepada pihak Rasulullah SAW berbanding sebaliknya. Kunci kekuatan Islam adalah di mana orang Islam yang kuat imannya pasti tidak tumpas meskipun berada dalam kelompok bukan penganutnya malah dalam jangkamasa panjang ia pula akan menjadi rebakan dahwah terhadap kelompok tersebut.

Selasa, Jun 03, 2008

Kita dengan solat

Apabila kita ingin memulakan perjalanan jauh yang memakan masa dan jarak lebih dari 96 kilometer (ada pendapat yang mengatakan satu marhalah itu bersamaan 96 km) samada kita berkenderaan dengan kereta, kapalterbang atau sebarang kenderaan sekalipun, biasanya kita akan menghadapi waktu-waktu tertentu yang menuntut kita menunaikan solat wajib lima (5) waktu.

Perjalanan yang bertujuan baik akan mendapat anugerah dari Allah SWT sebagai seorang yang layak dianggap sebagai seorang musafir yang berhak mendapat pilihan bersolat secara jamak ataupun qasar. Kelonggaran ini seharusnya memudahkan seseorang itu menunaikan kewajipan semasa dalam perjalanan jauhnya. Seorang lelaki Islam tidak mempunyai alasan untuk meninggalkan solat walau dalam apa keadaan dirinya.

Solat menjadi tiang agama seorang muslim di mana jika ia tidak mengerjakan solat seumpama ia tidak membina apa-apa perlindungan di hari pembalasan. Allah SWT akan membicarakan manusia pada hari itu mengikut keutamaan di mana solat adalah penghakiman awal sebelum diikuti pembalasan lain.

Bagaimanapun, perbuatan menunaikan solat menjadi terlalu berat atau alpa jika kita tidak mengambil berat mengenainya. Kita akan mengambil mudah serta leka terhadap waktu-waktu solat malah sehingga membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa rasa apa-apa dan takut. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa seseorang yang meninggalkan satu waktu solatnya, Allah SWT akan menjadikan satu titik hitam di hatinya. Sesungguhnya, jika ia berterusan tidak solat, hatinya akan diselaputi titik hitam yang akan menggelapkan sebarang cahaya keimanan. Dibimbangi ia berakhir hayat dengan kekufuran di mana pembalasan neraka menantinya di akhirat kelak.

Sebenarnya solat itu mudah sahaja tetapi kita jangan pula mengambil mudah terhadapnya. Menunaikan solat hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan suci. Allah SWT akan melapangkan kita dengan waktu solat jika kita sentiasa ingat untuk bersolat. Percayalah, walau sesibuk mana sekalipun kita dengan kerja atau kehidupan ini, kita masih ada waktu untuk menunaikan solat.

Allah SWT menguji manusia dengan kesibukan dunia sehingga manusia itu lalai dari menunaikan tanggungjawab terhadap solatnya. Kita akan melihat ramai orang yang leka dan tidak menunaikan solat di merata tempat dan suasana seperti kompleks beli belah, pasar malam, stadium bola dan tempat-tempat keramaian lain terutamanya waktu Maghrib yang singkat akan berlalu begitu sahaja seolah-olah tiada apa perlu dipedulikan.

Allah SWT mencukupkan kepada kita dengan tugas untuk menunaikan solat sebanyak lima
(5) kali dalam sehari. Waktu-waktu tertentu ini adalah yang difardhukan ke atas manusia setelah beberapa kali Rasulullah SAW turun naik mengadap Allah SWT semasa peristiwa Israk dan Mikhraj. Jumlah ini adalah sangat sedikit berbanding nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia. Umpama kita menghitung waktu solat yang dikerjakan oleh seseorang itu secara kasarnya iaitu lima (5) minit bagi setiap satu solatnya didharabkan dengan lima (5) kali sehari. Ini bermakna kita hanya dituntut sebanyak dua puluh lima (25) minit sahaja sehari untuk kita mengerjakan solat di mana pahala solatnya dikembalikan kepada kita juga sebagai bekalan akhirat nanti.

Solat fardhu yang telah ditentukan sentiasa diseru apabila tiba masanya dengan azan dilaungkan. Kalimah azan yang melaungkan kesaksian kepada Allah SWT serta kesaksian kepada Rasulullah SAW selain menyeru manusia menunaikan solat, ia juga menyeru manusia ke jalan kejayaan. Ini maksudnya, manusia yang mengerjakan solat adalah manusia yang mencapai kejayaan di mana secara fitrahnya manusia yang mencapai kejayaan adalah manusia yang memperoleh kegembiraan kerana dalam ukuran hakiki ia bermaksud telah mendapat matlamatnya.

Apakah peranan kita dalam perkara seruan solat ini?

Semua orang mempunyai tanggung jawab tertentu dalam memainkan peranan bagi menyeru manusia supaya mengerjakan solat.

Pertama
Kita perlu menyeru kepada diri sendiri dengan menanamkan perasaan takut atas pembalasan akhirat apabila meninggalkan solat di samping kita menjadikan solat suatu keseronokan, damai dan lega umpama kita telah membayar suatu pembelian dengan tunai. Kita perlu sentiasa ingat sebelum memulakan sebarang perjalanan, apakah kita akan bertembung dengan waktu solat di dalam perjalanan itu maka kita hendaklah sudah bersedia dengan keadaan diri yang bersih dan bekalan pakaian ganti yang cukup. Ketika perjalanan, jika terpaksa membuang air besar atau kecil, pastikan kebersihan diri dan pakaian dalam keadaan terjaga kesuciannya. Apabila kita sentiasa berhati-hati, kita akan sentiasa bersedia untuk menunaikan solat tanpa rasa ragu dan was-was terhadap kebersihan dan kesucian semasa masuk waktu solat.

Kedua
Kita perlu menyeru kepada keluarga sendiri terutama ahli keluarga yang secara langsung berada di bawah tanggung jawab seperti isteri dan anak-anak. Sebagai seorang bapa umpamanya sudah diletakkan amanah dan tanggung jawab oleh Allah SWT bagi menjaga ahli keluarga dari api neraka. Beliau akan dipersoalkan pada hari pembalasan nanti. Selagi tanggung jawab ini masih tertunggak atas dirinya, maka keluarganya akan menuntut pada hari itu. Mereka akan mengadu kepada Allah SWT sebagaimana hak mereka di dunia tidak dilaksanakan. Ketika bangun awal pagi, menjadi tugas ibubapa untuk mengejutkan anak-anak supaya turut menunaikan solat terutama sama-sama berjemaah jika tidak ke surau atau masjid berdekatan. Apabila berpergian bersama-sama keluarga ke mana-mana tempat di luar daerah, pastikan semua sekeluarga mengerjakan solat. Jika memandu, berhentilah di mana-mana masjid atau tempat perhentian umpama perhentian Rehat dan Rawat (R&R) yang menyediakan tempat solat. InsyaAllah, kita akan merasa keseronokan dan menikmati kehidupan yang tenteram apabila kita masih sempat bersolat walaupun sedang melakukan perjalanan yang jauh.

Ketiga
Kita perlu menyeru kepada orang-orang disekeliling kita seperti saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya. Ada pelbagai cara bagi menjalankan peranan ini. Supaya kita sentiasa disenangi, seruan ini hendaklah dijalankan secara bijaksana. Masyarakat sekeliling yang sudah semakin celik, terpelajar dan kritis seharusnya tidak sukar menerima seruan solat dan tidak memperlecehkannya. Kita hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan sedia mendengar sebarang persoalan berhubung kejiranan dan kemasyarakatan. Kita turut ke surau atau masjid berdekatan pada kadar kekerapan yang mampu untuk solat lima (5) waktu secara berjemaah. Contoh peribadi yang baik sentiasa dikekalkan dan istiqamah boleh melembutkan pandangan dan anggapan masyarakat sekeliling serta secara tidak langsung menarik mereka untuk turut serta bersama kita.

Islam telah menetapkan bahawa orang Islam itu adalah bersaudara. Prinsip ini jika diamalkan akan mewujudkan satu ummah yang murni dan kuat. Solat secara berjemaah pada tiap kali masuk waktu sangat digalakkan sehingga dijanjikan dengan ganjaran yang sangat besar berbanding mengerjakan solat secara sendirian. Kekerapan waktu solat yang difardhukan menunjukkan bahawa pertalian manusia beriman dengan Allah SWT sangat erat. Rangkaian ini menjadikan seorang muslim itu sangat berbeza kehidupannya berbanding orang bukan Islam.

Solat juga boleh menjadi pengubat dan penawar segala penyakit jiwa. InsyaAllah, keresahan dan kecelaruan jiwa akan terhapus apabila seseorang itu mengambil wuduk dan bersolat dengan penuh keikhlasan dan rendah diri. Ketika bersolat, kita berhubung terus dengan Allah SWT tanpa sebarang perantaraan. Kita seolah-olah berhadapan satu sama satu, berhadapan dengan-Nya. Kekusyukan seseorang dalam mengerjakan solatnya menghasilkan tingkat dan tahap penerimaan Allah SWT terhadap pekerjaan solat tersebut.

Kebersihan dan kesucian anggota badan seseorang yang beriman semasa mengerjakan solat adalah sebagai syarat yang menentukan sah atau tidak solat yang dilakukannya. Syarat ini memberi tekanan terhadap orang muslim supaya meletakkan kebersihan dan kesucian adalah sesuatu yang utama dalam kehidupan.

Untuk itu, seseorang yang beriman sentiasa berada dalam kebersihan dan kesucian di mana kebersihan dan kesucian mencerminkan akal yang sihat. Seseorang yang mempunyai akal yang sihat boleh mengeluarkan idea-idea yang bernas dan bermanafaat. Seseorang yang mempunyai idea-idea yang bernas dapat membantu menjana dan membangunkan ummah sehingga menjadi ummah yang beragama, maju, dan kuat.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah
Aku bersaksikan bahawa nabi Muhamad itu pesuruh Allah
Wahai, marilah mengerjakan sembahyang
Wahai, marilah menuju kejayaan
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Tiada tuhan melainkan Allah.

Sabtu, Mei 31, 2008

Kepada siapa kita bertanya?

Kita asyik bertanya,
Kenapakah kita...sedangkan kita ada jawapan..siapakah kita.
Kita asyik kritik,
Kenapakah kita...sedangkan kita ada jawapan..siapakah kita.
Kita asyik bertanya dan kritik...sedangkan jawapannya ada pada kita.
Apakah kita tidak menjawabnya?
kerana kita tidak tahu atau sengaja?
Kita bertanya kepada siapa?
Kita kritik siapa?
Kenapa kita bertanya?
Kenapa kita kritik?
Kerana kita asyik bertanya,
Kerana kita asyik kritik,
Jawapannya tiada kerana kita tidak menjawabnya,
atau siapa yang kita bertanya tidak menjawabnya..
Kita menjadi siapa yang bertanya pada tempat bertanya di manakah tempat bertanya?
Kita menjadi siapa yang kritik kepada siapa yang dikritik,
Sehingga suatu titik, kita tidak juga ada jawapannya.

Ahad, Mei 11, 2008

Berkelah di Hari Ibu



Hari ini 11 Mei 2008 (Ahad), kebetulan ada sambutan Hari Ibu. Aku mengambil kesempatan cuti rehat hari minggu membawa keluarga termasuk ibu mertua dan keluarga ipar ke Sg Congkak untuk berkelah dan mandi manda. Selepas menunggu anak lelakiku pulang dari aktiviti taekuando di sekolahnya, kami bertolak dengan tiga (3) buah kereta. Kami mengambil jalan kampung melalui Bangi lama terus ke Semenyih dan dari situ kami melalui Dam Semenyih yang luas terbentang airnya. Jalan agak jauh tetapi aku cukup terpesona dengan hutan dan kebun buah-buahan sepanjang perjalanan.

Terasa suatu kedamaian apabila kita melintasi kampung-kampung yang dihuni orang-orang Melayu. Meskipun terdapat semak dan tumbuhan tidak dijaga namun ketenangan dan kedamaian tetap ada. Keadaan yang bersepah dan seolah-olah tidak terurus tetap tidak menjejaskan kedamaian tadi. Kita rasa kesuciannya yang lahir menutupi kesemuanya dengan mewujudkan sesebuah kampung atau desa orang Melayu tetap terpelihara.

Sebuah kampung yang di dalamnya mempunyai penghuni yang ikhlas dan berserah akan terpelihara kehidupannya. Jika di dalamnya wujud masjid atau surau, Allah SWT akan menganugerahkan kedamaian dan kecukupan kepada penghuninya yang tidak lupa kepada-Nya. Hanya kita yang melihat orang kampung hidup dengan dhaif namun mereka masih mampu menghantar senyum kepada kita. Allah SWT membentukkan peribadi mereka ini melalui alam sekeliling. Keindahan dan kesegaran mendatangkan kelapangan fikiran dan dari situ timbul keperibadian yang mulia dan keredhaan.

Apabila kita sudah berusia tua, biasanya kita akan mencari kedamaian begini. Kita akan melihat kepulangan orang tua ke desa-desa setelah sebahagian hidupnya telah dihabiskan di bandar. Sebab itu suasana balik kampung pada hariraya masih berlaku kerana di sana terdapat ibu dan ayah kita samada masih hidup atau hanya kubur sahaja.

Seorang tua yang dipanggil Ibu,
menjengok muka di celah bilah dinding rumahnya,
tiap kali mendengar derum kereta,
'Apakah anakku pulang?'
'akan ku petik pucuk salang dan pucuk kaduk di belakang rumah'
'tak apa ada anak seluang yang aku tangguk petang semalam'
'ia, masih ada di situ mainan cucuku yang rosak tahun dulu'
Sketsa ini berulang,
seolah-olah layar pentas yang dibuka dan tutup,
penontonnya kita...
Di mana pada suatu ketika...
kita akan pulang..
samada ke desa menjengok ibu tua..
atau hanya pusara?


Khas Untuk Mama

Ayah hanya mampu melihat bintang namun tidak Ayah jadikan hadiah untuk Mama!
Ayah hanya mampu memandang ke hadapan namun tidak Ayah tinggalkan Mama di belakang!
Andai kerlipan bintang itu menjadi ukuran, Ayah tiada daya menyinarinya!
Namun Ayah masih di sini, mengutip sisa perjalanan hidup yang Ayah tak pasti bila kesudahannya!
Yang Ayah sedar, Mama sentiasa di sisi hingga kini!
Kebahagiaan Mama mampu merobohkan segala tembok keresahan!
Tidak Ayah....Hari ini untuk ibu!

Isnin, Mei 05, 2008

Cerita Bukan Berita

Pernahkah anda berfikir bahawa sebarang maklumat dari pembacaan anda terhadap suratkhabar, buku, majalah dan pelbagai sumber pembacaan mempunyai pilihan maklumat yang mempunyai pelbagai bentuk dan tujuannya?

Selama mana kita menjadi seorang pembaca maka kita harus sedar bahawa apa yang dihidangkan kepada kita itu tetap menggambarkan motif dan tujuannya. Seorang wartawan atau penulis berita hanya bergantung atas etika kewartawanan dengan melaporkan atau menulis apa yang dilihat dan dialaminya sendiri ketika sesuatu peristiwa itu berlaku. Atas kefahaman beliau dari pengalaman peristiwa itu maka beliau terjemahkan ke akhbar untuk tatapan pembaca mengikut berapa banyak edarannya. Pembacaan ini akan berkembang menjadi berita yang mungkin panjang kesudahannya. Secara teknikalnya, berlaku peristiwa kemudian beliau berkejar ke sana dan mengambil berita kemudian hantar berita itu ke pejabat kemudian diedit dan disiarkan! Titik.
Sepatutnya!

Namun, kita manusia yang dianugerahkan akal mampu berfikir secara rasional atau sebaliknya malah mampu memanipulasikan kehendak berfikir bagi menawan sesiapa sahaja bagi mempercayai apa yang dikhabarkan. Kebijaksanaan ini akan digunakan oleh seseorang itu bagi kepentingan tertentu untuk mencapai perancangan dan matlamat besarnya. Ketika tahap ini, keadaan berita mungkin sudah tidak seratus peratus lagi keasliannya. Peringkat ini juga keaslian beritanya boleh bertukar menjadi cerita malah dimeriahkan lagi dengan fitnah, tohmahan, dusta, adu domba,hasutan dan sebagainya.

Allah SWT memberi amaran pembalasan neraka kepada mereka yang menyebarkan fitnah dan seumpamanya. Keaslian berita yang menjadi cerita akan melibatkan manusia berada dalam kepalsuan. Manusia akan berfikir dengan tidak betul atau cacat malah membuat keputusan-keputusan yang salah serta mewujudkan keadaan yang gawat dan pembohongan. Jika kepalsuan ini besar, ia juga akan melibatkan ruang yang lebih besar malah boleh menjejaskan keputusan-keputusan sesebuah pemerintahan.

Siapakah sebenarnya yang bercakap benar? Tiada orang yang akan mengiakan pembohongannya. Kebijaksanaan akal yang disalahgunakan oleh seseorang itu akan menyukarkan kita untuk menentukan yang mana benar salahnya. Bukan seperti seorang kanak-kanak yang secara fitrahnya akan bercakap benar dari apa yang dilihat olehnya tanpa ada keraguan kejujurannya. Allah SWT mengangkat Rasul-rasul bagi menyampaikan risalah kebenaran untuk umat manusia agar beriman dan menjalani kehidupan dengan baik serta beribadat kepada-Nya. Allah SWT menjanjikan pembalasan Syurga kepada mereka yang mengumpul pahala dan Allah SWT juga akan membalasnya dengan Neraka jika manusia berbuat dosa.

Risalah Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah merupakan risalah kebenaran yang mutlak dan tidak dapat dinafikan walaubagaimana bijaksananya manusia hendak menyelewengkannya. Al-Quran yang lengkap telah mendapat janji Allah SWT bahawa kesahihannya terpelihara sampai kiamat. Allah SWT yang menjaganya dan demi Allah, sesiapapun tidak akan menang jika mereka ingin menentang kebenaran ini. Allah SWT membuktikan kepada manusia bahawa Nabi Muhammad SAW itu seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) untuk manusia meyakini bahawa Al-Quran tidak ditulis oleh Nabi sendiri. Diri Rasulullah sendiri adalah sebagai contoh tauladan untuk diikuti oleh umat. Rasulullah SAW tidak melakukan sebarang kesilapan atau pembohongan walau sekecil mana sekalipun. Rasulullah SAW terpelihara dan dibekalkan dengan empat (4) sifat terpuji yang ada dalam diri baginda. Satu daripadanya adalah sifat Siddiq (benar) selain sifat-sifat lain seperti Amanah, Tabliq (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana).

Rasulullah SAW mengajar kita supaya bercakap benar meskipun kebenaran itu pahit. Perkara yang benar mempunyai penyelesaiannya. Ia akan menjadi penamat terhadap sebarang keputusan. Ia akan melahirkan kebaikan dan keadilan untuk semua. Apabila keadilan tertegak, kepuasan pasti terpancar pada sesiapa yang terlibat. Umat akan berada dalam kehidupan murni, saling mempercayai dan tidak perlu bimbang serta ragu dalam menjalani kehidupan di alam yang fana ini.

Rabu, April 02, 2008

Kecamuknya Manusia

Kita mendengar sekeliling kita berita yang sukar kita percaya bahawa ada orang yang tergamak membunuh anaknya sendiri kerana pertelingkahan untuk belajar ke luar negara, membunuh emak sendiri kerana desakan wang untuk dadah, perdagangkan isteri untuk sara hidup dan lain-lain berita yang amat menyayat hati untuk diperkatakan.

Jika kita bertanya, apakah kita kembali semula ke zaman jahiliah iaitu zaman akhir sebelum muncul cahaya Islam di tanah Arab?.

Kecamukan yang digambarkan ini seolah-olah manusia dalam keadaan hilang punca dan arah bagi mengatasi sesuatu masalah yang dihadapinya. Manusia sudah berada terlalu jauh dari simpang jalan yang membahagikan antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Manusia hanyut tiada tentu arahnya. Ibarat hanyutnya sampan koci tanpa dayung di laut yang luas tanpa ketahuan di mana daratannya.

Kita akan mendapat pelbagai jawapan dari pelbagai orang jika persoalan ini dikemukakan untuk diperbincangkan. Ia seolah-olah semua orang mampu menjawab membetulkan diri masing-masing. Tiada sesiapapun yang sesat atau mengaku bahawa mereka berada dalam kesesatan. Jalan hidup yang mereka tempuh adalah betul dan benar serta yakin itulah jalan terbaik malah mengharapkan orang lain pun ikut seperti itu.

Jumaat, Mac 21, 2008

Pekong Politik

Selepas PRU12 pada 8 Mac 2008 sehingga hari ini (20/3/08), pelantikan MB bagi negeri Terengganu masih belum selesai. MB sebelum PRU12 telah pun menyatakan pendirian bahawa akan redha dan menerima Qada dan Qadar atas sebarang pelantikan oleh DYMM Tuanku Sultan. Namun tidak sampai dua (2) minggu, pernyataan itu tidak bermakna lagi apabila beliau telah menolak pelantikan MB baru oleh DYMM Tuanku Sultan. Seolah-olah terdapat suatu persepakatan hampir semua ADUN yang menang dari BN untuk memboikot pilihan Tuanku.

Pergolakan pemilihan calon MB Terengganu membentangkan betapa pekong politik yang ada pada para pemimpin dan wakil rakyat yang menang atas tiket parti BN. Sejarah juga memaparkan betapa parti pembangkang dari BA yang mempunyai perbezaan ideologi yang sangat nyata malah boleh dikatakan seumpama langit dan bumi namun mereka boleh awal-awal lagi menyelesaikan kaedah pelantikan MB di negeri-negeri yang mereka mendapat majoriti pemerintahan.

Sandiwara dan apa saja yang boleh kita bandingkan kepada mereka ini yang bergelumang dengan permainan politik yang pada asalnya adalah suatu muslihat kepemimpinan sesebuah kerajaan dan negara namun telah dicemari pelbagai kehendak nafsu dan ketamakan kuasa serta kepentingan diri untuk kekal memegang kerusi pentadbiran.

Segala pernyataan, ikrar dan sumpah yang dibuat sebelum itu dilanggari seolah-olah mereka tidak pernah berbuat sedemikian. Segala berita yang dipaparkan melalui media perdana menambahkan lagi kekeliruan yakni siapakah yang sebenarnya berada di kedudukan yang betul dan boleh diharap. Sultan sebagai raja yang memegang tampuk pemerintahan seringkali dipandang sebagai patung hidup yang hanya menandatangani sebarang syor atau usul dari pihak kerajaan baru yang ketuanya adalah MB.

Persoalannya, Sultan tidak berkenan senarai calon MB yang dikemukakan oleh parti BN malah mengemukakan calonnya sendiri dari senarai ADUN BN yang menang juga. Titik pergolakan timbul dari sini apabila masing-masing tidak mahu menerima calon yang dikemukakan bukan dari pilihan sendiri. Perpecahan sokongan mula terjadi ekoran peristiwa pelantikan MB ini. Sultan mempunyai alasan tertentu serta menggunakan kuasa yang ada dalam perlembagaan. Ia menggambarkan tradisi Sultan sebagai puppet sudah tidak boleh dipakai lagi. Sultan juga gagah berhadapan dengan mereka yang berpolitik!.

Semua orang sudah mula bercakap di mana-mana termasuk pengamal undang-undang kononnya membetulkan keadaan. Namun suara-suara ini berkumandang di media secara terbuka yang menampakkan lagi kecelaruannya. Parti bangsa Melayu (UMNO) khususnya dari negeri Terengganu yang berteraskan kedaulatan institusi beraja menunjukkan belang kesetiaan dengan mempertikaikan pelantikan pihak istana itu. Kesepakatan 22 ADUN dari BN menentang calon pihak istana dengan mengangkat MB terdahulu sebagai ketua menampakkan seolah-olah ada agenda persetujuan yang mungkin membawa kesan perpecahan lebih besar ke atas umat melayu terhadap parti UMNO ini.

Penentangan ini menampakkan betapa amalan double standard diamalkan oleh mereka sedangkan sebelum itu mereka juga menunjukkan kemarahan sehingga menganggap biadap terhadap seorang pemimpin tertinggi DAP yang memprotes pelantikan MB negeri Perak. Perkara yang sama juga berlaku di negeri Perlis apabila mereka pula akur dengan pelantikan oleh pihak istana atas calon bukan favourite.

Rakyat akan terus melihat kemelut ini yang menjadi semakin serabut dan kalut di mana calon yang diperkenankan oleh Sultan telah menerima watikah pelantikan sementara calon yang satu lagi juga menerima watikah dari Perdana Menteri malah dikhabarkan tindakan tatatertib akan dikenakan ke atasnya kerana menerima watikah dari Sultan. Persoalannya, siapakah yang lebih berkuasa dalam tindakan ini? Adakah engkar kepada Perdana Menteri lebih besar kesannya dari derhaka kepada Sultan?

Ahad, Mac 09, 2008

5 Negeri Pembangkang

Pilihanraya ke 12 (PRU12) pada 8hb Mac 2008 sudah pun selesai. Kelantan kekal diterajui PAS malah menambah kerusi. Pulau Pinang jatuh kepada DAP. Kedah bertukar kepada PAS. Selangor dijangka bertukar Menteri Besarnya kepada PKR. Sementara Perak masih dalam perbincangan siapa yang akan menjadi ketua antara DAP dan PAS (waktu teks ini ditulis jam 10.33 malam 9hb. Mac 2008).

Keputusan-keputusan yang diperolehi ini adalah terjemahan suara rakyat terhadap kerajaan BN yang sebelum ini sangat cemerlang mendapat mandat pemerintahannya. Kali ini BN hanya memperolehi mandat majoriti mudah yang boleh menubuhkan kerajaan namun dalam beberapa perkara agak sukar bagi mendapat persetujuan berkaitan pindaan akta dan undang-undang dalam parlimen.

Kedengaranlah pelbagai suara-suara dari pengalisis dan orang ramai dalam percakapan-percakapan berkaitan kekalahan teruk BN dalam pilihanraya ini. Pelbagai faktor dikaitkan termasuk kenaikan harga barang terutama minyak petrol dan barangan keperluan hidup malah pemimpin tertinggi dalam kerajaan BN juga dipersalahkan serta dipertanggungjawabkan.

Secara umumnya, kita dapat melihat perubahan undi ini sebagai suatu mesej dari rakyat terhadap kepemimpinan negara. Rakyat sudah bijak dalam membuat keputusan di mana mereka menganggap satu undi boleh menentukan tegak atau tumbangnya sesuatu kerajaan. Namun selama ini kita disogokkan dengan analisis dari beberapa pengalisis di media perdana yang ramai rakyat sedar bahawa analisis yang diperkatakan adalah terjurus dalam ruang lingkup terbatas seolah-olah analisis yang menyedapkan barisan kepemimpinan kerajaan sahaja.

Sekarang rakyat telah menyampaikan sendiri dengan kertas undi untuk menyedarkan kepemimpinan kerajaan ini bahawa suara dan sentimen tidak puas hati dengan pelbagai isu semasa yang menghimpit keselesaan hidup rakyat perlu diambil tindakan wajar. Undian orang-orang muda dan pengundi baru seumpama penentu arah jatuh atau terus mentadbir oleh BN. Kita harus sedar golongan ini adalah pengkritik dan sentiasa bersikap protes.

Mungkin ada pengundi lama BN yang tidak keluar mengundi atas alasan tidak puas hati dan secara langsung memberikan undi protes yang boleh mendatangkan kemenangan berpihak kepada parti lawan. Sesungguhnya, pengundi-pengundi tegar parti lawan akan kekal dan keluar mengundi walaupun dalam cuaca buruk sekalipun. Dibantu dengan pengundi atas pagar, pengundi senyap dan pengundi belot akan menterjemahkan keputusan BN tumbang di beberapa negeri termasuk kononnya beberapa kubu kuat yang rekodnya tidak pernah kalah sebelum ini.

Rakyat sudah semakin nampak betapa peranan mereka di dalam sistem negara demokrasi berparlimen sangat besar kuasanya meskipun dari hanya satu undi. Tuduhan kewujudan pengundi hantu dan ketidakadilan SPR masih menjadi misteri tiada berjawab dan bukti. Namun pengumuman dan pembatalan sesuatu perkara pada saat-saat akhir menampakkan kerja yang dijalankan oleh pihak SPR mendatangkan tanda tanya yang menjejaskan kredibiliti badan itu sendiri.

PRU12 telah mencatat sejarah besar dalam negara sejak negara ini menjalankan sistem demokrasi. Sebagai rakyat dan kerajaan harus akur kehendak pengundi di mana pengundi juga harus ingat bahawa pilihannya adalah terbaik yang difikirkannya. Undi pilihannya akan mencorakkan pemerintahan sehingga berakhir penggal selama lima (5) tahun akan datang.

Jumaat, Februari 22, 2008

Mereka Ingat Siapakah Kita?

Ketika datang musim pilihanraya..suasana kelihatan meriah dengan stiker dan notis ceramah kempen parti yang ditampal pada tempat-tempat strategik lagi mudah mendapat perhatian orang ramai. Bendera parti dan kain rentang dipasang merata-rata. Atas pokok, tiang lampu, puncak bukit dan sebagainya. Ada bendera parti dipasang terlalu banyak hingga menenggelamkan bendera parti lawan yang lain. Kempen untuk memancing pengundi dijalankan dengan pelbagai cara. Mungkin calon yang mempunyai peruntukan yang banyak akan membelanjakannya mengikut fikirannya bagaimana nak menawan hati pengundi.

Bagi calon dan petugas parti, ketika ini adalah waktu untuk bekerja kuat melobi bagi menawan hati pengundi supaya mengundi parti yang mereka wakili. Siri ceramah dan perjumpaan dibuat satu persatu dari satu tempat ke satu tempat. Sibuk sekali!. Ada calon yang kita kenal jika dia adalah anak tempatan atau agak terkenal sebelum itu atas beberapa sebab namun ada calon yang langsung kita tidak kenal popularitinya.

Pelbagai strategi dan cara digunakan bagi memenangi pilihanraya ini. Kuasa satu undi untuk majoriti amat bernilai dalam sistem demokrasi. Majoriti undi adalah pemenangnya!. Dalam keadaan sekarang, apakah yang diimpikan oleh seorang calon yang masuk bertanding dalam parti yang diwakilinya. Samada dari parti pemerintah atau pembangkang ataupun parti bebas. Kita boleh lihat bagaimana mereka masing-masing mempamerkan kelebihan-kelebihan parti mereka dari ceramah dan manifesto umpama bau gula-gula madu yang terdedah untuk hidangan. Ada juga di kalangan mereka ini yang memburuk-burukkan calon dan parti lawan dengan mengharapkan pengundi-pengundi menolak dari memilih lawannya. Taktik kotor begini seolah-olah tiada salahnya digunakan ketika ini.

Masih adakah lagi antara calon-calon ini yang berperibadian umpama khalifah-khalifah ternama Islam terdahulu? Mengutamakan amanah dan tanggungjawab memimpin dari perkara-perkara lain. Takut dengan beban dosa yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT jika tidak menjalankan kepemimpinan dengan benar, amanah dan adil. Masih adakah lagi pemimpin yang sanggup meredah malam gelap memantau kehidupan rakyatnya umpama Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak boleh tidur sehingga masalah rakyatnya diselesaikan terlebih dahulu.

Apakah gambaran kemewahan yang ditunjukkan semasa memegang kuasa atau menjadi wakil rakyat itu yang menghambat nafsu untuk masuk bertanding dalam arena politik ini. Kuasa dan kekayaan adalah kesukaan manusia di mana mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dengan pelbagai cara. Sempadan keperibadian manusia akan diserlahkan apabila dua (2) tampuk ini dapat dipegang oleh seseorang itu. Kita dapat melihat kegembiraan dan ketawa besar terserlah serta terpampang di akhbar apabila nama mereka dicalonkan untuk bertanding. Apakah gambaran ini sama dengan suasana dan riak wajah seseorang yang mengerti betapa besarnya tanggungjawab dan harapan rakyat perlu pembelaan?

Jika pemimpin diancam dengan neraka sekiranya menjalankan pemerintahan tanpa keadilan maka kita sebagai rakyat yang berada di bawah kepimpinannya juga mempunyai tanggungjawab yang sama, dituntut kesetiaannya pada kepemimpinan yang benar, adil dan beriman. Pengundian yang kita lakukan adalah suatu amanah dan pengesahan ke atas seseorang calon yang dipilih dan jika beliau menang dan memimpin, kesannya akan diterima semasa pemerintahannya juga dosa pahalanya akan turut tertanggung atas kita.

Persoalannya, ketika musim kempen ini...sedarkah siapakah kita?

Rabu, Februari 20, 2008

Doa Anak







Diriwayatkan bahawa:

1. 'Seseorang itu diangkat darjatnya ketika di akhirat kerana doa anaknya'

2. 'Diampun dosa ibubapa kerana doa anaknya begitu juga seseorang anak itu
diangkat darjatnya di akhirat kerana kebaikan ibubapanya'

3. 'Terputusnya pahala ketika matinya seseorang melainkan tiga (3) perkara
yang membantunya iaitu:-

i) Ilmu baik darinya yang dimanfaatkan.
ii) Amal jariah semasa hidupnya.
iii) Doa anaknya yang soleh

Fitrah seorang anak yang baru lahir adalah sejernih air embun (air embun sering dikaitkan dengan kesucian dan bersih) namun ibubapanya sahaja yang bertanggungjawab membentuk keperibadian anak itu menjadi air apa kemudian hari. Islam mengajar ibubapa supaya mendidik anak-anaknya menjadi seorang yang beriman dan beramal soleh. Keindahan Islam di mana Allah SWT memberi ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat kepada bukan sahaja ibubapa yang mendidik itu tetapi kepada anaknya juga jika anaknya itu beriman dan soleh.

Seseorang itu tetap menjadi anak kepada ibubapanya dari satu generasi ke satu generasi sehingga datangnya kiamat. Pertalian anak dan ibubapanya adalah kekal begitu selagi mereka beriman kepada Allah SWT. Doa seorang anak yang soleh dijanjikan sampai kepada ibubapanya yang telah pun berada di alam barzah.

Penulis ingin menceritakan suatu kisah mimpi seorang yang benar terjadi seperti diceritakannya:

Suatu malam ia bermimpi melihat sekumpulan orang yang telah mati berebut-rebut mendapatkan seumpama anugerah keperluan namun terdapat seorang tua di kalangan itu yang tidak ikut serta. Beliau bertanya kepada orang tua itu, "mengapa tidak ikut berebut-rebut mendapatkan pemberian itu?". Jawab orang tua itu, "Saya tidak perlu lagi kerana saya telah mempunyai cukup pemberian dari anak saya yang masih hidup di dunia". Orang tua itu memberitahu siapa anaknya dan di mana tempat tinggalnya. Keesokannya, orang yang bermimpi itu telah bergegas pergi mencari anak itu seperti yang digambarkan dalam mimpinya. Ketika berjumpa beliau bertanya apakah amalan yang dilakukannya sehingga orang tuanya digambarkan dalam keadaan senang di alam lain itu. Anak itu menjawab bahawa beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk bapanya sepanjang masa.

Tidak lama selepas itu, orang itu bermimpi lagi namun kali ini beliau melihat orang tua itu turut berebut-rebut mendapatkan pemberian bersama-sama orang-orang lain. Beliau kehairanan, lantas bertanya kenapa terjadi sedemikian. Orang tua itu menjawab bahawa beliau tidak lagi mendapat anugerah pemberian dari anaknya seperti terdahulu.

Selepas terjaga, orang itu dengan perasaan amarah segera mencari anak itu bagi mendapatkan penjelasan. Dipendekkan cerita, beliau diberitahu bahawa anak yang dicarinya itu sebenarnya telah meninggal dunia tidak berapa lama sebelum itu.

Kesimpulannya, mimpi itu menggambarkan hakikat bahawa doa seseorang anak itu sampai kepada orang tuanya yang telah meninggal dunia dalam bentuk kebaikan. Untuk itu sedarlah bahawa kita hendaklah sentiasa mendoakan ibubapa kita yang sudah tiada sepertimana kita juga mengharapkan anak-anak kita nanti turut mendoakan untuk kita.

Wallahualam.

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah