Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Rabu, Februari 20, 2008
Doa Anak
Diriwayatkan bahawa:
1. 'Seseorang itu diangkat darjatnya ketika di akhirat kerana doa anaknya'
2. 'Diampun dosa ibubapa kerana doa anaknya begitu juga seseorang anak itu
diangkat darjatnya di akhirat kerana kebaikan ibubapanya'
3. 'Terputusnya pahala ketika matinya seseorang melainkan tiga (3) perkara
yang membantunya iaitu:-
i) Ilmu baik darinya yang dimanfaatkan.
ii) Amal jariah semasa hidupnya.
iii) Doa anaknya yang soleh
Fitrah seorang anak yang baru lahir adalah sejernih air embun (air embun sering dikaitkan dengan kesucian dan bersih) namun ibubapanya sahaja yang bertanggungjawab membentuk keperibadian anak itu menjadi air apa kemudian hari. Islam mengajar ibubapa supaya mendidik anak-anaknya menjadi seorang yang beriman dan beramal soleh. Keindahan Islam di mana Allah SWT memberi ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat kepada bukan sahaja ibubapa yang mendidik itu tetapi kepada anaknya juga jika anaknya itu beriman dan soleh.
Seseorang itu tetap menjadi anak kepada ibubapanya dari satu generasi ke satu generasi sehingga datangnya kiamat. Pertalian anak dan ibubapanya adalah kekal begitu selagi mereka beriman kepada Allah SWT. Doa seorang anak yang soleh dijanjikan sampai kepada ibubapanya yang telah pun berada di alam barzah.
Penulis ingin menceritakan suatu kisah mimpi seorang yang benar terjadi seperti diceritakannya:
Suatu malam ia bermimpi melihat sekumpulan orang yang telah mati berebut-rebut mendapatkan seumpama anugerah keperluan namun terdapat seorang tua di kalangan itu yang tidak ikut serta. Beliau bertanya kepada orang tua itu, "mengapa tidak ikut berebut-rebut mendapatkan pemberian itu?". Jawab orang tua itu, "Saya tidak perlu lagi kerana saya telah mempunyai cukup pemberian dari anak saya yang masih hidup di dunia". Orang tua itu memberitahu siapa anaknya dan di mana tempat tinggalnya. Keesokannya, orang yang bermimpi itu telah bergegas pergi mencari anak itu seperti yang digambarkan dalam mimpinya. Ketika berjumpa beliau bertanya apakah amalan yang dilakukannya sehingga orang tuanya digambarkan dalam keadaan senang di alam lain itu. Anak itu menjawab bahawa beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk bapanya sepanjang masa.
Tidak lama selepas itu, orang itu bermimpi lagi namun kali ini beliau melihat orang tua itu turut berebut-rebut mendapatkan pemberian bersama-sama orang-orang lain. Beliau kehairanan, lantas bertanya kenapa terjadi sedemikian. Orang tua itu menjawab bahawa beliau tidak lagi mendapat anugerah pemberian dari anaknya seperti terdahulu.
Selepas terjaga, orang itu dengan perasaan amarah segera mencari anak itu bagi mendapatkan penjelasan. Dipendekkan cerita, beliau diberitahu bahawa anak yang dicarinya itu sebenarnya telah meninggal dunia tidak berapa lama sebelum itu.
Kesimpulannya, mimpi itu menggambarkan hakikat bahawa doa seseorang anak itu sampai kepada orang tuanya yang telah meninggal dunia dalam bentuk kebaikan. Untuk itu sedarlah bahawa kita hendaklah sentiasa mendoakan ibubapa kita yang sudah tiada sepertimana kita juga mengharapkan anak-anak kita nanti turut mendoakan untuk kita.
Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan