Selasa, Oktober 02, 2007

Tabiat Pelik

Jika anda perasan, kita sering ketemu dengan seseorang yang bertabiat pelik dalam menjalani kehidupan seharian di mana kita tidak sedar tabiat pelik ini ditonjolkan ketika menjalankan kerja seharian, ketika makanminum atau menjalankan aktiviti-aktiviti lain. Ia berlaku samada secara spontan tanpa disedari atau mungkin tersasul dan lupa. Adakah kerana kita ini sering lupa dan leka, bernafsu dan sentiasa tamak haloba, tidak pernah puas dan ingin segala, tiada arah tujuan dan bersahaja, atau apa saja yang kesudahannya kita juga tiada mempunyai jawapannya.

Tabiat pelik yang berlaku di hotel:

Kebiasaan sesebuah hotel di tepi laut akan menawarkan harga sewa bilik yang berlainan antara bilik menghadap laut dengan bilik yang menghadap daratan. Jika tetamu mahukan bilik yang menghadap laut, beliau terpaksa membayar lebih mahal dari bilik yang menghadap daratan. Ada bilik menghadap laut tiada mempunyai apapun pandangan melainkan laut yang kosong jauh mata memandang tetapi perbezaan harganya lebih mahal agak ketara juga dengan harga bilik yang menghadap daratan yang dipenuhi hutan hijau segar. Bilik yang menghadap laut akan menjadi rebutan dan pilihan pertama kepada ramai tetamu sebelum memilih bilik yang lain jika sudah penuh. Sebahagian tetamu yang awalnya beria-ia untuk mendapatkan bilik yang menghadap laut walaupun terpaksa menambah bayaran sewa yang lebih mahal. Setelah mendapatkannya, mereka tidak kesah pun mengenai pandangan laut tadi malah ada yang terus tarik tirai menutup terus tingkap yang menghadap laut itu tadi. Mereka hanya membuka dan menonton tv dalam bilik sambil makan minum benda yang dibawa bersama sebelum masuk tidur. Tambahan pula ada tetamu yang check in sebelah malam langsung tidak dapat melihat apa-apapun di luar tingkap kerana kegelapan malam di laut. Ada hotel yang bertaraf beberapa bintang menawarkan bilik-bilik yang mempunyai rekabentuk yang menjadi tanda tanya. Rekaan dinding antara bilik air dan bilik tidur dipasang cermin telus (nampak kedua-dua belah) dan digantung tirai yang boleh dilaras (adjustable). Apabila pagi menjelang, ada tetamu yang bangun agak lewat sebelum pergi kerja atau berurusan. Mereka tidak berkesempatan pun menyingkap langsir untuk melihat keluar kerana sibuk di bilik air. Kemudian mereka bergegas keluar untuk breakfast yang disediakan di lantai bawah (biasanya ruang untuk breakfast di ground floor atau mezzanine). Sebahagiannya pula, ketika mengambil makanan secara buffet akan mengambil pelbagai makanan secara banyak dan diletakkan atas meja seolah-olah makan berhidang. Makanan ini dimakan hanya sedikit satu persatu malah ada makanan yang diambil tidak langsung disentuh. Makanan ini ditinggalkan begitu saja sebelum mereka pagi itu check out!.

Tabiat pelik yang berlaku di tempat kerja:

Kelihatan segelintir kakitangan pejabat (kerajaan) yang meninggalkan kereta di tepi jalan secara tergesa-gesa dan berlari-lari anak menaiki tangga atau lift untuk mengetik kad perakam waktu masuk kerja (pejabat). Kemudian mereka ini selamba turun semula ke kereta selepas selesai mengetik kad masing-masing (kebanyakan kad perakam tidak ada pegawai bertugas yang memantau kelakuan kakitangan yang tolong mengetik kad orang lain). Ada yang terus ke tempat letak kereta untuk meletak kereta di situ atau ke gerai makan berhampiran untuk sarapan pagi (ada kakitangan yang sarapan sampai melebihi had waktu sarapan).

Kita akan mendengar jawapan daripada seseorang kakitangan hadapan (kaunter) apabila bertanya mengenai seseorang pegawai yang kita ingin berurusan dengannya, kakitangan yang bertugas di situ akan menjawab pegawai berkenaan 'pergi minum' walaupun waktu itu bukan sepatutnya. Pegawai yang baru balik minum akan membawa bungkusan makanan (tapau) untuk kakitangan yang sedang bertugas atau yang tadinya menelefon meminta tolong mengetikkan kad perakam waktunya. (Nota Penulis: Perbuatan mengetik kad orang lain seperti diceritakan tidak berlaku lagi di pejabat kerajaan Putrajaya kerana sistem merakam kedatangan waktu kerja dan pulang adalah dengan menggunakan kad pengenalan kerja yang lebih canggih dan bermaklumat. Namun sikap tidak bertanggungjawab atau melakukan kerjasama dalam perkara tidak baik berlaku juga jika kad pengenalan kerja dikirimkan oleh tuanpunya kepada seseorang supaya menolong mengimbaskannya).

Waktu lain, ketika ingin mengangkat sesuatu barang dalam jumlah yang banyak, kita biasanya pergi ke tempat simpanan barang itu tanpa membawa sebarang alat bantuan untuk mengangkut barang-barang tersebut. Semasa mengangkat, kita sedar di mana barang-barang itu tidak boleh dibawa cukup dengan dua (2) tangan saja. Kita teringat bahawa kita perlukan bantuan trolley. Kita pun membawa sebahagian barang-barang itu dengan bersusah payah menggunakan tangan sehingga ke tempat simpanan trolley. Barang-barang tadi diletakkan atas trolley dan kemudian menolaknya ke tempat simpanan barang-barang tadi. Selepas itu, barulah semua barang-barang yang dikehendaki diangkat ke atas trolley dan menolaknya ke tempat lain.

Tabiat pelik yang berlaku ketika solat:

Ketika solat sunat terawih di Masjidil Haram umpamanya, kita dapat melihat orang-orang dari blok Arab dan Afrika akan menonjolkan pelbagai pergerakan seperti menggaru-garu, membetul-betulkan pakaian atau jubah, mendepangkan tangan menahan orang yang lalu di hadapannya, memegang sambil membaca kitab Al-Quran, menggamit-gamit seseorang atau mungkin anaknya untuk mengisi ruang saf sebelahnya yang kosong. Sementara yang lain, ada yang melangkah jemaah sedang sujud untuk keluar dari saf, memaut atau menarik jemaah yang sedang solat supaya menjadi rapat, membetulkan arah dada jemaah yang sedang sembahyang supaya tepat ke arah kaabah.

Tabiat pelik pemandu dan pengguna ketika di jalanraya:

Ada seseorang itu sikapnya ketika di rumah atau pejabat sangatlah baik tingkah laku dan tutur bicaranya, berhemah dan teliti dalam sebarang keputusan atau tindakannya tetapi sebaliknya ketika beliau sedang memandu kereta! Mereka memandu dengan laju melebihi had yang tertera di papan tanda, mereka memotong barisan ketika jalan agak sibuk, mereka memaki hamun pemandu lain yang mungkin tersalah pada pandangannya, menunjukkan isyarat lucah atau memandang panjang pada pemandu lain seolah-olah dia saja yang betul. Sebahagian pemandu yang lain, mereka menggunakan kereta yang cinonit kecilnya tetapi pecutnya...MasyaAllah. Bagi penunggang motosikal pula terutamanya jenis berkuasa rendah (kapcai), ketika menunggang mereka memakai jaket atau baju lengan panjang secara terbalik, semasa berhenti di lampu isyarat, sebahagiannya memutarkan minyak seolah-olah pelumba yang sedang menunggu untuk dilepaskan. Bingitnya bunyi enjin..Allahu Akbar!

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah