Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita sebagai umatnya supaya ingat lima (5) perkara sebelum datang lima (5) perkara. Kita akhirnya ketemu juga dengan perkara-perkara yang dimaksudkan. Usahlah kita merasa begitu bongkak dan takbur dengan pesanan ini seolah-olah ianya tidak ada kait mengait dengan kita. Lima (5) perkara yang lengkap untuk kita menyedari betapa kita tidak sekuat mana sebagai manusia berbanding selalu engkar dan cuai terhadap kekuasaan Allah SWT.
Lima (5) perkara pesanan Rasulullah SAW iaitu:
1. Beringat ketika muda sebelum datang ketika tua
2. Beringat ketika lapang sebelum datang ketika sibuk
3. Beringat ketika sihat sebelum datang ketika sakit
4. Beringat ketika kaya sebelum datang ketika miskin
5. Beringat ketika hidup sebelum datang ketika mati
Penulis hanya ingin berkongsi membicarakan berkaitan perkara tiga (3) di atas.
Kita sentiasa leka dengan nikmat kehidupan seharian. Sementanglah tubuh badan kita yang sihat (mungkin tidak pernah pergi periksa kesihatan), kita bisa makan minum apa saja asalkan kita suka. Ramai orang yang sibuk dengan kerja misalnya akan mengambil makanan dari restoran atau gerai-gerai yang menjual makanan atau lebih tepat hanya membeli makanan siap tanpa memasak di rumah. Perkara mudah ini berlaku setiap hari samada kita berulang dengan mengambil makanan yang sama atau berubah-ubah. Citarasa yang menarik ini adalah sebagai mengisi perut yang mungkin mempunyai pelbagai selera.
Kita beli apa saja terasa nak makan! Kita sental sampai licin pinggan! Kita kekenyangan sampai tersandar! Mata jadi mengantuk sampai malas nak kerja semula!. Semua itu adalah nikmat makan yang kita perolehi ketika masih berselera. Namun kita tidak sedar bahawa nikmat ini adalah perangkap untuk kita sebenarnya jika kita tidak mengendalikannya secara kesederhanaan seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Manusia perlukan makanan untuk hidup dan bukan sebaliknya. Makanan yang dimakan akan dihadhamkan sebagai suatu enzim yang membekalkan peranan tertentu dalam tubuh badan. Di dalam setiap makanan yang diambil mengandungi zat dan protein yang membina atau racun yang bertindak sebaliknya. Pengambilan makanan yang melampau juga akan melibatkan tubuh badan menanggung kesan sampingan yang memudharatkan. Bukan hanya racun dalam makanan yang membunuh pembinaan kesihatan tubuh badan yang baik tetapi diet yang tidak seimbang juga menyumbang kepada pembentukan tubuh badan yang tidak normal.
Jika kita sedar, cuba lihat senarai makanan yang panjang dalam hidup kita. Secara umumnya, kita perlu juga mengambil tahu asal usul makanan yang kita ambil itu datangnya dari mana sumber dan tempatnya. Makanan yang diambil secara berulang sepanjang hidup umpama kita memasukkan segala-galanya ke dalam tubuh kita juga secara berulang-ulang. Kita boleh bayangkan betapa bertimbunnya sesuatu apabila kita melakukannya setiap hari. Maha Kuasa Allah SWT menciptakan tubuh badan manusia dan makluk lain dengan keistimewaannya tersendiri. Tubuh badan akan mencernakan segala makanan yang diambil serta menjadi darah dan daging bagi membina kesihatan untuk hidup.
Kita tidak ingat pun kepada orang lain yang tidak sihat! Mereka ini mungkin terpaksa membataskan selera makan atau terpaksa melupakan terus makanan yang sebelum itu adalah makanan kegemarannya. Mereka sudah sampai pada salah satu dalam lima (5) perkara seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Ketika ini perasaan keinsafan mungkin muncul sebagai memujuk hati walaupun agak terlewat. Mengharap untuk kembali semula atau pulih selalu diimpikan. Keadaan yang mendesak ini nampak ketara apabila segala ubat yang dikhabarkan mujarab...terus dibeli!
Untuk itu hanya seseorang yang ditimpa kesakitan atau penyakit akan benar-benar merasai betapa nikmatnya 'ketika sihat'.
Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan