Selasa, Oktober 23, 2007

Hak Berpendapat

Kita berhak memberi sebarang pendapat dalam perkara-perkara yang berlaku di sekeliling. Perkara-perkara yang timbul daripada perbualan orang ramai, media cetak dan elektronik atau mana-mana sumber termasuk internet dan alam siber akan menjadi buah mulut percakapan seseorang tidak kira masa dan tempat.
Kita juga berhak mendengar sesuatu percakapan yang disampaikan atau kita juga berhak untuk tidak mendengar walau sepatah perkataan sekalipun. Pendirian seseorang itu berbeza-beza samada suka atau tidak adalah bergantung dari pendapat yang dikemukakannya. Mungkin ada orang yang hanya memberi pendapat tetapi pada dasarnya , beliau sendiri tidak menampakkan sebarang komitmen terhadap pendapatnya sendiri. Cuma kita mungkin tidak benar-benar tahu bahawa apa yang disampaikannya itu adalah pendapat yang jujur atau tidak, hanya Allah SWT Yang Maha Tahu.

Jika ia manusia, sudah tentu ia mempunyai akal yang boleh berfikir (jika waras), selagi ia boleh mencari kehidupannya, ia akan menggunakan taraf ketinggian akalnya bagaimana hendak memberi pendapat. Namun tidak kurang juga, seseorang itu tidak memberi sebarang pendapat walaupun dalam keadaan sepatutnya. Mereka hanya diam seolah-olah akur dan menerima sahaja keadaan. Mungkin mereka takut kepada sesuatu, bimbang diperlekeh, tiada idea, malu dan sebagainya. Tetapi apabila sesuatu keputusan telah dibuat, kita ada mendengar cakap-cakap tidak puas hati yang tersebar.

Allah SWT menjadikan manusia sejak Nabi Adam AS, pertelingkahan pendapat memang wujud. Manusia bertelingkah dan mempunyai pendapat sendiri. Sudah pasti seseorang itu menganggap pendapatnya betul malah orang lain patut mengikutnya. Pendapat yang mahu orang lain mengikutinya itulah yang akan menimbulkan pelbagai masalah jika berlaku perselisihan atau masing-masing bertegas dan tidak mahu mengalah. Keadaan ini boleh mendatangkan pertelingkahan pada tahap yang serius sehingga berlaku pergaduhan, bermusuhan malah peringkat perang sekalipun.

Pendapat yang berbeza juga terdapat di kalangan anak-anak dalam sesebuah keluarga yang mempunyai seorang ibu dan seorang bapa. Benar seperti kata pepatah Melayu iaitu Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Namun perbezaan pendapat di kalangan para ulama menjadi suatu hikmah dan anugerah untuk umat manusia yang beriman. Empat (4) mazhab umpamanya yang diikuti oleh sebahagian besar umat Islam di dunia mempunyai perbezaan pendapat di dalam beberapa perkara malah sehingga peringkat sah dan batal dalam beberapa perkara amalannya. Tetapi kita tidak pula dibenarkan mengamalkan ajaran agama mengikut pendapat dan kesesuaian sendiri sehingga ia telah difatwakan atau ijtihad dan disepakati oleh para ulama. Ketika hampir wafat, Rasulullah SAW telah berpesan kepada seluruh umat manusia supaya menjadikan Al-Quran dan Sunah sebagai panduan hidup. Manusia tidak akan sesat dan sentiasa berada di atas jalan yang benar sehingga hari kiamat selagi ia berpegang dan berpandukan pada pesanan itu.

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah