Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur.
Pengertiannya:
Meskipun tajuk surah ini bermaksud lebah tetapi pada ayat ke 14, Allah SWT membentangkan kepada kita betapa laut yang mengandungi air adalah suatu anugerah kepentingan kepada semua makhluk. Hikmah disebaliknya yang menceritakan betapa Allah SWT 'menundukkan' lautan di mana mengikut keluasan geografi bahawa lautan menguasai keluasan melebihi dua pertiga (2/3) muka bumi ini. Mengapa ia lebih banyak dari daratan? Sedangkan manusia dan sebahagian haiwan lain tidak dapat hidup secara normal dan bernafas di dalam lautan?. Kenapa airnya masin dan tidak tawar supaya makhluk boleh menggunakannya sebagai air minuman?.
Setiap kejadian yang dicipta oleh Allah SWT mesti mempunyai kelebihan dan kepentingan tertentu. Secara saintifik, lautan tidak banyak berubah sejak bertahun-tahun dahulu (mungkin sejak wujud kejadian manusia) sedangkan rupabentuk daratan telahpun berlaku evolusi di kebanyakan tempat malah ada yang telah lenyap tidak berpeta lagi. Kemasinan air laut tidak menjejaskan makhluk yang hidup di dalamnya. Contoh ikan yang kita makan itu tidak pun rasa masin isinya apabila ia baru ditangkap dari lautan. Lautan tidak akan menggelegak kepanasan apabila sepanjang hari terbentang di bawah terik matahari. Ikan yang dipunggah keluar sejak manusia tahu menangkap ikan di lautan tidak pernah kehabisan sumber protein itu walaupun manusia tidak membenihkannya semula.
Semua persoalan ini mempunyai hikmah jawapan sekadar apa yang kita fikirkan secara akliyah. Sedangkan lautan mempunyai banyak rahsia yang masih belum dibongkar oleh manusia. Ayat yang memberitahu bahawa Allah SWT 'menundukkan' lautan semata-mata untuk kita di mana lautan yang luas ini adalah sebagai penyejuk dan penyeimbang cuaca di bumi dari kepanasan matahari. Lautan berperanan membekal pusingan hujan untuk tumbuhan di daratan setelah berlaku proses pemelowapan di awan dan turun sebagai air hujan yang tawar untuk hidupan di daratan. Lautan yang luas, dalam dan masin dapat meneutralkan semua bahan kumbahan, kekotoran, sampah sarap dan segala-galanya yang mengalir dari daratan. Kita boleh bayangkan bagaimana keadaan manusia jika air laut yang menguasai sebahagian besar muka bumi menjadi busuk dan kotor.
Putaran ombak dan pusingan musim tengkujuh sebenarnya adalah rahsia lautan di mana ketika ini proses pembenihan hidupan laut terutama ikan sedang berlaku. Musim tengkujuh yang biasanya terjadi selama tiga (3) bulan di penghujung tahun adalah mencukupi bagi anak-anak ikan membesar sejak ia bertelur. Pusingan evolusi ini berulang-ulang sejak berzaman mengikut ketundukan lautan atas perintah Allah SWT.
Tiga (3) perkara besar yang Allah SWT maksudkan mengenai lautan untuk kepentingan manusia.
Pertama: Allah SWT menganugerahkan hidupan laut terutama ikan yang dijadikan makanan untuk manusia. Nikmat makanan ini tidak akan putus selamanya dan mencukupi walaupun manusia tidak perlu menternak ikan di laut.
Kedua: Allah SWT menganugerahkan perhiasan dari dalam lautan di mana bukan semata-mata perhiasan batu mutiara yang diperolehi itu tetapi banyak lagi kepentingan dan manfaat lautan yang boleh dikeluarkan seperti bahan galian, minyak, logam, karang-karangan selain keindahan dalam lautan itu sendiri masih banyak belum diterokai. (Penulis pernah mengikuti trip scuba diving ke beberapa tempat terumbu dan pulau dalam negara...keindahan di dalam laut dan kehidupannya sangat mengasyikkan).
Ketiga: Allah SWT menganugerahkan permukaan lautan itu sendiri sebagai jalan perhubungan dan perdagangan bagi kepentingan manusia. Kapal-kapal besar yang kulitnya diperbuat dari pelbagai bahan terutama besi atau keluli tidak pula tenggelam dan elok belayar menuju ke destinasinya.
Sesungguhnya, Allah SWT menciptakan lautan untuk manfaat manusia sebagai pembekal makanan, perhiasan dan jalan perhubungan sebagaimana lautan itu tunduk di bawah kuasa Tuhan Yang Maha Menguasai. Manusia juga perlu bersyukur atas limpahan kurnia ini dan wajib patuh dan tunduk menyembah Allah SWT Yang Maha Esa sepertimana ketundukan lautan ke atas perintah Tuhan RabbulAlamin.
(Nota: Sebahagian isi tulisan telah digunakan oleh Penulis dalam Pertandingan Pidato Peringkat Kebangsaan di jabatan tempat kerja dan mendapat Tempat Ketiga pada tahun 2004).
Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Jumaat, November 02, 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan