Ahad, September 30, 2007

Surah Al-Baqarah (Sapi Betina) Ayat 1-5

Terjemahannya:

Ayat 1. Alif Laam Mim<10>

Ayat 2. Kitab<11> (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa<12>.

Ayat 3. (Iaitu) bagi mereka yang beriman<13> kepada yang ghaib<14>, yang mendirikan solat<15> dan menafkahkan sebahagian rezeki<16> yang Kami anugerahkan kepada mereka.

Ayat 4. dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu<17>, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat<18>.

Ayat 5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung<19>.

Pengertiannya:

10) Ialah huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surah-surah Al-Quran. Hanya Allah SWT yang tahu maknanya walaupun ada sebahagian ahli-ahli tafsir yang menafsirkannya sebagai nama surah atau untuk menarik para pendengar supaya memperhatikan Al-Quran atau mengisyaratkan bahawa Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang tersusun abjadnya.

11) Tuhan menamakan Al-Quran sebagai Al-Kitab yang bererti 'yang ditulis' sebagai isyarat bahawa Al-Quran diperintahkan untuk ditulis.

12) Takwa bermaksud memelihara diri dari siksaan Allah SWT dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya tidak cukup diertikan sebagai takut sahaja.

13) Iman ialah kepercayaan yang teguh disertai kepatuhan dan penyerahan jiwa. Tanda keimanan seseorang itu apabila ia menjalankan atau mengerjakan tuntutan iman itu sendiri.

14) Yang ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Kepercayaan kepada yang ghaib seperti mengiktikadkan adanya sesuatu 'yang maujud' meskipun ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini berdasarkan adanya dalil yang menunjukkan kepada wujudnya Allah SWT, Malaikat-malaikat, Hari Akhirat dan sebagainya.

15) Solat menurut bahasa Arab adalah doa. Menurut istilah syarak ia adalah ibadat yang sudah dikenali iaitu perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Perbuatan yang dilakukan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah SWT. Solat didirikan dengan tertib, melengkapi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, adab-adabnya dan memahami apa yang dibaca serta khusyuk.

16) Rezeki ialah segala apa yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki ialah memberikan sebahagian dari harta yang telah direzekikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang disyariatkan menerimanya seperti orang-orang fakir, miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan lain-lain.

17) Kitab-kitab yang diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW ialah kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran seperti Kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Syuhuf-shuhuf yang tersebut dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Rasul-rasul. Allah SWT menurunkan kitab dengan wahyu melalui perantaraan Malaikat Jibril AS dan disampaikan kepada Rasul.

18) Yakin ialah kepercayaan yang kuat dengan tidak mencampuri walau sedikitpun keraguan. Akhirat lawannya dunia. Kehidupan akhirat ialah kehidupan sesudah dunia berakhir. Yakin akan adanya kehidupan akhirat ialah benar-benar percaya akan adanya kehidupan selepas dunia berakhir.

19) Beruntung ialah orang-orang yang memperolehi apa yang dimohonkannya kepada Allah SWT sesudah mengerjakan amalan baiknya.

Rujukan: Al-Quran dan Terjemahnya
Kerajaan Arab Saudi tahun 1419H

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah