Siang harinya kita akan dapati orang yang berpuasa suka berludah-ludah tidak kira di mana-mana sahaja. Gerai menjual juadah berbuka puasa tidak ada di merata-rata atau hampir tiada langsung. Ada yang menghabiskan sebahagian siang harinya dengan bermain dam dan daun terup. Sebelah petangnya di persimpangan jalan atau tempat-tempat tertentu ada orang menjual air batu secara potong berbentuk kiub dengan harga sepuluh (10) dan dua puluh (20) sen seketul. Jika anda ada membaca siri komik 'kampong boys' yang ditulis oleh Datuk Lat, cerita ini ada persamaannya. Jemputan berbuka di rumah agak kerap malah hampir setiap hari tetapi sembahyang sunat terawihnya tetap dijalankan di masjid atau surau cuma sembahyang fardhu Maghrib sahaja yang didirikan di rumah jemputan itu. Siang hari puasanya dirasakan sangat panjang. Terdapat gerai atau kedai kopi kepunyaan orang India Muslim (mamak) dan Cina yang menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Mereka memasang kain langsir atau bidai buluh menutup bahagian hadapan gerai atau kedainya supaya orang ramai yang lalu lalang tidak nampak tetapi jika ada serbuan pihak berkuasa agama, orang-orang ini bertempiaran lari ikut pintu belakang. Malam awal Ramadhan, ada tilawah (disebut sebagai pertandingan kemudian musabaqah membaca) Al-Quran Peringkat Kebangsaan dijalankan secara bergilir-gilir negeri yang menganjurkannya. Malam pertengahan Ramadhan pula dijalankan pertandingan Peringkat Antarabangsa pula tetapi dianjurkan di ibu negara. Ada surau atau masjid yang mendirikan solat sunat terawih agak lewat selepas selesai tilawah itu. Pertandingan ini sangat popular dan menjadi berita penting di surat-surat khabar harian. Gambar qari atau qariah yang memperdengarkan bacaannya malam itu akan tersiar keesokannya. Ada orang-orang kampung yang menyewa (charter) bas sekolah untuk menghadiri tilawah ini. Pada pertengahan bulan, orang perempuan atau suri rumah mula sibuk membuat kuih raya. Kita akan dapati hampir setiap rumah membuat kuih rayanya sendiri. Ketika itu orang-orang kita kurang berkecimpung dalam bisnes jual kuih raya jadi kita sukar mendapati kuih raya dijual di mana-mana kedai (waktu itu pula supermarket masih tiada di bandar-bandar kecil). Sehingga malam-malam terakhir bulan Ramadhan, kaum hawa ini menjadi sibuk dengan persiapan raya. Sementara itu, orang lelaki akan berpakat dua tiga rumah berkongsi membakar lemang, mengacau dodol, merebus ketupat dan sebagainya. Kesibukan persiapan menyambut raya ditambah lagi dengan munculnya orang menjual daging lembu yang baru disembelih sehari sebelum hari raya. Pelita minyak tanah yang di pasang dengan jumlah yang banyak dipasang sekeliling rumah pada malam-malam 27 puasa hingga malam raya. Kaum bapa pula sibuk membawa beras ke rumah amil atau guru-guru agama untuk membayar fitrah (ada yang memperaktikkan jual beli beras di rumah amil/guru agama dengan membayar tunai mengganti beras). Kanak-kanak bermain mercun secara sekelompok atau bersendirian. Mercun boleh didapati secara mudah dan tidak menjadi suatu kesalahan menjual, membeli dan bermain waktu itu. Kanak-kanak yang mempunyai abang atau kakak atau saudaramara yang baru pulang kampung dari perantauan biasanya mewah bermain mercun kerana dibekalkan oleh mereka yang baru pulang ini sebagai buah tangan.
Hari akhir puasa adalah hari yang paling kritikal penantian untuk raya kerana penentuan raya adalah dengan cara melihat anak bulan (rukyah). Kuasa agama terletak kepada Majlis Agama Negeri masing-masing maka berlaku beberapa perbezaan menetapkan dan pengumuman hariraya. Ada negeri yang mengisytiharkan raya esoknya dan ada negeri yang masih berpuasa. Peristiwa yang melucukan apabila ramai yang sudah bakar lemang dan beli daging untuk buat rendang tetapi esoknya tidak diisytiharkan sebagai hariraya kerana anak bulan tidak kelihatan!
Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Sabtu, September 29, 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan