Memaparkan catatan dengan label Info. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info. Papar semua catatan

Isnin, Jun 14, 2010

Cabaran Madu Lebah Tualang







Pokok Tualang (macam dialog dalam filem lama P.Ramlee cerita Sumpah Orang Minyak..dengar sini semua..hai..penduduk kampung Tualang Tiga...) yang tinggi boleh mencapai 100 meter dan boleh hidup lebih 100 tahun. Ukur lilit batangnya 4-5 pemeluk orang dewasa. Pokok ini menjadi kegemaran kepada lebah madu membuat sarang pada dahan-dahannya.
Pencari madu lebah menggunakan keberanian dan kemahiran memanjat pokok ini dengan membuat tangga dari batang-batang buluh kecil yang diikat pada potongan akar pokok jejawi kemudian dipaku dengan 2 batang paku berukuran 5 inci.
Keberanian kita teruji apabila mencuba pokok ini.
MasyaAllah!...
Separuh jalan...bagai nak tercabut lutut.
Jangan tengok bawah...fikiran mula kacau...kalau tercabut tangga ni...Inna..
Sebenarnya...masih ada orang yang sanggup ambil risiko kerja-kerja ini.
Mereka jual sebotol besar dengan harga RM120.00. Setiap sarang yang besar boleh mengeluarkan madu sehingga 4-5 botol besar.
Ini madu betul-betul asli...yang kita jumpa samada orang asli jual atau ada yang datang bawa seberkas botol ke opis-opis tu..dah campur gula!..haha. Itupun dia jual dengan harga RM25-RM60 setiap botol kecil.

Khamis, Januari 08, 2009

Bubur Asyura [Menu Tok Guru]

Tiap tahun pada 10 Muharam, budaya menyediakan bubur sempena Hari Asyura diadakan di masjid atau surau dalam kawasan kampung dan taman yang ada komuniti Islam yang prihatin terhadap hari tersebut. Penyediaan menu bubur ini sedikit berbeza antara sesuatu negeri.

Penulis hanya ingin mengongsi pengalaman menyediakan menu bubur mengikut menu Tok Guru [asal beliau dari Pattani, Thailand] seorang ulama di negeri sebelah utara Semenanjung yang hidup penghujung tahun 1890an hingga 1993.

Bubur dimasak di dalam kawah [kuali besar]. Guna kayu api [tapi sekarang di taman tempat Penulis tinggal masak pakai gas].

Masa kecil dulu, Penulis paling suka ketika bubur sudah masak iaitu masih panas berada dalam kawah sebelum dituang dalam dulang [talam] untuk dikeraskan...pakcik-pakcik yang mengacau bubur akan memberikan bubur yang masih lembik dan panas dalam daun nenas [pelepah] yang dipotong seperti sudu.

Ada 2 rasa bubur tersebut di mana bubur akan dimasak dalam 2 kawah yang mempunyai rasa yang berbeza iaitu masin dan manis. Bubur yang masin mempunyai isi daging sementara bubur yang rasanya manis tidak dimasukkan tambahan daging tersebut. Penulis tidak berapa gemar yang rasanya masin tetapi jika yang rasanya manis, lebih sedap dimakan ketika sudah sejuk.
Menu
Bubur Asyura [Tok Guru]

Bahan-bahannya:

1. Beras 1 gantang [lebihkurang 6 kg] - rendam malam & kisar
2. Ubi keledek 3 kg - buang kulit & potong kecil-kecil
3. Kacang hijau 2 kg - rendam malam & rebus berasingan dan simpan satu bekas
4. Kacang tanah 1 kg - ambil saiz kecil & rebus dan simpan satu bekas [buang kulit]
5. Isi jagung 5 tin - lagi baik [jika ada] jagung mentah - rebus dan ambil isinya sahaja.
6. Serai 20 batang - kisar & tapis ambil airnya sahaja
7. Lengkuas muda 500 gm - kisar & tapis ambil airnya sahaja
8. Halia 300 gm - potong kecil-kecil/cincang
9. Bawang merah 500 gm - buang kulit & potong kecil-kecil
10. Jintan manis 50 gm
11. Rempah biji [Ketumbar] 50 gm } bahan 9 hingga 13 - Goreng kemudian kisar jadi halus dan simpan dalam satu bekas.
12. Lada hitam 50 gm
13. Bunga lawang 50 gm
14. Kunyit hidup 100 gm - kisar hancur
15. Daun pandan 10 helai - kisar & tapis ambil airnya sahaja
16. Santan 4 kg [10 biji]
17. Garam - secukup rasa
18. Gula - secukup rasa.

Cara memasaknya:

- Beras dimasukkan dalam kawah yang apinya dalam keadaan sederhana.
- kacau jangan berhenti dalam 1/2 jam dan elakkan menjadi ketul-ketul.
- masukkan air daun pandan - kacau perlahan-lahan.
- masukkan bahan 9-13 - kacau perlahan-lahan.
- apabila beras yang dimasak nampak hampir masak segera masukkan ubi keledek.
- masukkan kacang hijau - kacau perlahan-lahan.
- masukkan kacang tanah - kacau perlahan-lahan.
- masukkan santan sedikit demi sedikit.
- air ditambah mengikut keadaan likatnya [pastikan tidak berketul-ketul].
- masukkan garam mengikut rasa.
- masukkan gula mengikut rasa.
- kacau sehingga kira-kira 2 jam.
- setelah masak, tuangkan dalam talam atau dulang untuk membekukannya.
- setelah hampir keras taburkan tepung beras + udang kering goreng kisar atasnya.

Biarkan ia beku di dalam dulang [talam] kemudian boleh dipotong-potong mengikut kesukaan.

Selamat Mencuba!

Isnin, Disember 15, 2008

matematika 1 + 1 = 27


Mari kita membaca dan mengira dalam kaedah agama.

1 + 1 = 27 [ seorang tambah seorang jadi dua puluh tujuh pahala ]

Jika bersolat 1 orang mendapat 1 pahala.
Jika bersolat berjemaah mendapat 27 pahala untuk setiap 1 orang.
1 imam perlu ada makmum begitu juga sebaliknya.
Rasulullah memimpin umat supaya berjemaah.
Kebaikan yang ada pada jemaah sangat besar.
Umat yang bersatu mendatangkan kekuatan.

Tapak tangan kanan ada garis angka 18 [baca dalam jawi]
Tapak tangan kiri ada garis angka 81 [baca dalam jawi]
Jika 18 + 81 = 99 [ jumlah nama-nama Allah SWT ]
Maha Suci Allah SWT mencipta manusia dengan kebesaran-Nya.
Manusia dianugerahkan kebijaksanaan akal bagi memimpin dunia sebagai khalifah.
Kerana itu manusia akan dipertanggungjawabkan atas segala amalannya sebagai pemimpin.
Memimpin ke arah kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi akhirat pada diri sendiri, keluarga di bawah tanggungannya, saudara dan jiran terdekat seterusnya berkembang mengikut kepentingan yang telah digariskan oleh agama.

Rukun Islam ada 5 perkara.

Mengucap 2 kalimah syahadah,
Mengerjakan solat fardhu 5 waktu x 1 hari,
Berpuasa 1 bulan dalam bulan Ramadhan,
Membayar zakat,
Mengerjakan haji di Baitullah.

Solat yang difardhukan ada 5 waktu.

5 waktu-waktu ini ada petanda yang berbeza-beza mewakili tanda masuknya waktu solat.


Awal pagi - Subuh [ 2 rakaat ]
Tengahari - Zohor [ 4 rakaat ]

Petang - 'Asar [ 4 rakaat ]
Awal malam - Maghrib [ 3 rakaat ]
Malam - Isyak [ 4 rakaat ]

Andaian 2 minit untuk 1 rakaat masa mengerjakan solat.
5 waktu solat = 17 rakaat
17 rakaat x 2 minit = 34 minit [1 hari 1 malam ]
# 34 minit x 365 [ 1 tahun ] = 12410 minit [ 206.83 jam ] [ 8.62 hari ]
Ditakdirkan 1 manusia hidup selama 65 tahun.
Sejak 10 tahun dari kelahirannya, solat menjadi wajib ditunaikan.
55 tahun bersolat, jika tidak meninggalkan solat walaupun 1 waktu,
55 tahun hidup wajib solat x 206.83 jam masa solat = 11375.65 jam [ 473.98 hari ] [ 1.3 tahun ]

Anggota tangan dan kaki mewakili masa hidup 1 hari 1 malam [ 24 jam ]
1 anggota tangan mempunyai 5 jari
1 anggota kaki mempunyai 5 jari
# [ 2 tangan = 10 jari ] + [ 2 kaki = 10 jari ] = 4 kakitangan + 20 jari [ 24 jam ]

Dalam solat fardhu 5 waktu mempunyai 34 kali takbir + 5 takbiratulihram.
2 rakaat solat Subuh = 4 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat Zohor = 8 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat 'Asar = 8 takbir + 1 takbiratulihram,
3 rakaat solat Maghrib = 6 takbir + 1 takbiratulihram,
4 rakaat solat Isyak = 8 takbir + 1 takbiratulihram.

Jika ada takbir ketika bangun dari tiap sujud diambil kira, jumlah takbir akan bertambah lagi sebanyak 12.

Untuk itu :-

34 takbir + 12 takbir bangun dari sujud + 5 takbiratulihram = 51 takbir

Jika angka 51 dipisahkan kepada 5 dan 1 kemudian dicampurkan semula bagi tiap angka yang mewakili seperti:-

5 + 1 = 6 maka hubungkait antara konsep keimanan dan hakikat rukun menjadi 1 orang Islam terungkup dalam 1 bulatan.

Takbir itu pasrah (menyerah) sambil membesarkan Allah SWT (Allahu Akbar).

Anggota atas (kepala) yang mempunyai otak tempat akal berfungsi mewakili keimanan.

Rukun Iman ada 6 perkara.

Percaya kepada Allah SWT
Percaya kepada Malaikat
Percaya kepada Kitab-kitab
Percaya kepada Rasul-rasul
Percaya kepada Qiamat
Percaya kepada Qadha dan Qadar

2 mata [ 1 pasang ] + 2 telinga [ 1 pasang ] + 1 hidung + 1 mulut = 6 pancaindera
Kesemua pancaindera ini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan meletakkan diri manusia itu dengan kesan dan akibat dari perlakuan pancaindera tersebut.

Tiada siapa yang dapat memberi hidayah dan keimanan kepada seseorang. Hanya Allah SWT yang berkuasa dan berhak untuk memberi hidayah ke atas seseorang itu samada ia berakhir dengan keimanan yang benar atau pun sebaliknya.

Nilai keimanan seseorang itu sangat tinggi. Ia mengatasi akal dan logik. Ia tidak mempersoalkan melalui akal,

Mengapa Allah SWT menyuruh manusia membuat kebaikan.
Mengapa Allah SWT melarang manusia membuat kejahatan.
Mengapa Allah SWT mengadakan syurga?
Mengapa Allah SWT mengadakan neraka?

Jika kita bertanya...siapakah kita?
Kita juga yang menjawabnya bahawa...
Kita adalah hamba kepada Allah SWT...Tuhan Yang Maha Esa...Tiada sekutu bagi-Nya.

Jumaat, Jun 13, 2008

Bulan, Bintang Dan Matahari Dicipta Dengan Bersendiri Orbit

Bulan

Ia beredar mengelilingi bumi yang dihuni oleh kita ini sebanyak 27.32 kali dalam sebulan. Ia berada pada jarak 384 400 kilometer dari bumi dan ia seolah-olah satelit bumi yang sentiasa bergerak menghantar cahaya indah jika dilihat pada waktu malam. Manusia mengaitkan peranan bulan terhadap bumi sebagai suatu tarikan graviti yang mengakibatkan pasang surutnya air laut, perubahan musim landas dan tengkujuh, aktiviti-aktiviti mengawan dan pembiakan, peneluran dan penetasan serta lain-lain.
Kejadian peredaran bulan ini telah disebut di dalam Al-Quran pada surat ke 21:

Surah Al-Anbia Ayat 33.

'Dan Dia-lah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya'.

Bintang

Ia berada sangat jauh malah ada yang bertahun-tahun kelajuan cahaya jaraknya dari bumi kita. Kegemerlapan dan kerlipan cahayanya yang bertaburan di langit pada waktu malam amat mengasyikkan. Jumlahnya berjuta-juta malah tidak terbilang namun ia juga beredar pada orbitnya tersendiri. Dinyatakan ada yang lebih besar saiznya dari matahari dan mempunyai kelompok galaksinya sendiri. Kehebatan ciptaan Allah SWT mengorbitkan semua peredaran bintang-bintang ini tanpa berlanggar antara satu sama lain. Peranan bintang kepada manusia di mana salah satunya menjadi petunjuk arah ketika bermusafir atau mengembara di padang pasir dan pelayaran di lautan luas.
Allah SWT ada menyatakan ini di dalam Al-Quran pada surat ke 16:

Surah An-Nahl Ayat 16.

'dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk'.

Matahari

Ia terletak di tengah-tengah sistem galaksi iaitu suatu kelompok sistem suria yang memancarkan cahaya keseluruhan cakerawalanya. Ia berada pada jarak kira-kira 149.6 juta kilometer dari bumi. Peranan dan faedahnya sangat banyak untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan di bumi.
Allah SWT telah menyebut perihal matahari ini di dalam Al-Quran pada surat ke 10:

Surah Yunus Ayat 5.

'Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak*). Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui'.

*) Maksudnya: Allah SWT menjadikan semua yang disebutkan itu bukanlah dengan sia-sia, melainkan penuh dengan hikmahnya.

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah