Jumaat, Jun 13, 2008

Bulan, Bintang Dan Matahari Dicipta Dengan Bersendiri Orbit

Bulan

Ia beredar mengelilingi bumi yang dihuni oleh kita ini sebanyak 27.32 kali dalam sebulan. Ia berada pada jarak 384 400 kilometer dari bumi dan ia seolah-olah satelit bumi yang sentiasa bergerak menghantar cahaya indah jika dilihat pada waktu malam. Manusia mengaitkan peranan bulan terhadap bumi sebagai suatu tarikan graviti yang mengakibatkan pasang surutnya air laut, perubahan musim landas dan tengkujuh, aktiviti-aktiviti mengawan dan pembiakan, peneluran dan penetasan serta lain-lain.
Kejadian peredaran bulan ini telah disebut di dalam Al-Quran pada surat ke 21:

Surah Al-Anbia Ayat 33.

'Dan Dia-lah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam garis edarnya'.

Bintang

Ia berada sangat jauh malah ada yang bertahun-tahun kelajuan cahaya jaraknya dari bumi kita. Kegemerlapan dan kerlipan cahayanya yang bertaburan di langit pada waktu malam amat mengasyikkan. Jumlahnya berjuta-juta malah tidak terbilang namun ia juga beredar pada orbitnya tersendiri. Dinyatakan ada yang lebih besar saiznya dari matahari dan mempunyai kelompok galaksinya sendiri. Kehebatan ciptaan Allah SWT mengorbitkan semua peredaran bintang-bintang ini tanpa berlanggar antara satu sama lain. Peranan bintang kepada manusia di mana salah satunya menjadi petunjuk arah ketika bermusafir atau mengembara di padang pasir dan pelayaran di lautan luas.
Allah SWT ada menyatakan ini di dalam Al-Quran pada surat ke 16:

Surah An-Nahl Ayat 16.

'dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (petunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk'.

Matahari

Ia terletak di tengah-tengah sistem galaksi iaitu suatu kelompok sistem suria yang memancarkan cahaya keseluruhan cakerawalanya. Ia berada pada jarak kira-kira 149.6 juta kilometer dari bumi. Peranan dan faedahnya sangat banyak untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan di bumi.
Allah SWT telah menyebut perihal matahari ini di dalam Al-Quran pada surat ke 10:

Surah Yunus Ayat 5.

'Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak*). Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui'.

*) Maksudnya: Allah SWT menjadikan semua yang disebutkan itu bukanlah dengan sia-sia, melainkan penuh dengan hikmahnya.

Khamis, Jun 12, 2008

Islam Yang Relevan Hingga Akhir Dunia

Senarai negara yang berpendudukan Islam menguasai separuh muka bumi ini. Umat Islam bukanlah minoriti di dunia ini. Seharusnya, umat Islam yang mencapai bilion jumlahnya dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama rakan bukan seagama di mana-mana pelusuk bumi ini. Umat Islam terdiri dari pelbagai bangsa. Islam tidak hanya untuk bangsa Arab sahaja. Namun dunia barat sekarang seolah-olah menghadapi masalah dengan Islam. Diburukkan lagi apabila ada orang Islam sendiri yang mencemburui agamanya dengan menambahkan penentangan dan kecelaruan kesucian agama Islam.

Islam tidak pernah ketinggalan. Ia sentiasa ke hadapan dan relevan sepanjang masa sehingga berakhirnya dunia ini. Hanya mereka yang tidak mengerti menganggap Islam itu jumud dan ketinggalan. Allah SWT melengkapkan Al-Quran serta meredhai Islam sebagai agama yang wajib dianuti seluruh umat manusia termasuk makhluk jin. Al-Quran tidak pernah ketinggalan sebagai rujukan dan panduan, tiada naskhah lain yang dapat menandinginya walau sepotong ayat. Al-Quran menjadi naskhah yang mempunyai pelbagai ilmu yang merangkumi segalanya yang diperlukan oleh manusia.

Menjadi seorang Islam sangatlah mudah di mana dengan melafazkan dua kalimah syahadah serta disaksikan maka seseorang itu telah muslim yang tertakluk dengan peraturan beragama. Islam adalah agama yang mempunyai peraturan dan larangan. Penganutnya tertakluk dengan peraturan-peraturan hidup yang perlu dipatuhi serta larangan-larangan yang juga perlu dijauhi. Islam sangat berbeza dengan agama lain di dunia ini. Adalah salah jika ada orang mengatakan yang Islam itu sama juga dengan agama-agama lain yang mengamalkan kebaikan dan kedamaian. Allah SWT hanya meredhai Islam sahaja sebagai agama di mana penganutnya akan dipertimbangkan segala amalannya semasa hidup di dunia ini. Manakala manusia yang menganuti agama lain tidak mempunyai pertimbangan lagi melainkan pembalasan buruk kesudahannya.

Ibadah dan amalan Islam tidak mempunyai pengantara. Ia dilakukan secara terus antara seorang manusia mukmin dengan Tuhannya iaitu Allah SWT. Umpama seorang mukmin itu berdoa, ia memohon secara terus kepada Tuhannya. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa ada had masa. Kekusyukan serta rendah diri ketika mengabdi diri diharapkan mendapat pertimbangan serta keampunan dari Allah SWT.

Allah SWT adalah Tuhan yang menjadi tempat bagi orang beriman mengadu. Segala kesakitan dan ketakutan, resah dan gundah, kekecewaan dan kedukaan, kecelaruan dan kebuntuan malah apasaja tujuannya, akan meredakan serta menjadi penawar dan pengubat jiwa. Keberanian dan semangat akan bangkit dan kembali pulih apabila seseorang beriman itu yakin bahawa Allah SWT sentiasa disampingnya serta mendengar doanya.

Islam tidak akan musnah meskipun ditentang atau diperangi dari pelbagai sudut. Mungkin penganutnya yang tewas dan rebah tersungkur namun sebaliknya pula Islam akan semakin berkembang bercambah di bumi penentangnya. Kita boleh mendalami bagaimana hikmah sejarah perjanjian Hudaibiyah yang berlaku antara Rasulullah SAW dengan pemimpin Quraisy Mekah pada tahun tujuh (7) hijrah. Secara kasarnya kita menganggap betapa Rasulullah SAW diperkecilkan dan tidak diberi pilihan dalam perjanjian itu yang menampakkan kerugian pada pihak Rasulullah SAW. Namun Allah SWT Tuhan Maha Perancang memberikan keuntungan jangka panjang kepada pihak Rasulullah SAW. Hikmahnya, sebahagian isi perjanjian itu yang mengatakan semua orang Islam yang berada dalam kota Mekah (pihak Quraisy) tidak perlu diserahkan kepada pihak Rasulullah SAW berbanding sebaliknya. Kunci kekuatan Islam adalah di mana orang Islam yang kuat imannya pasti tidak tumpas meskipun berada dalam kelompok bukan penganutnya malah dalam jangkamasa panjang ia pula akan menjadi rebakan dahwah terhadap kelompok tersebut.

Selasa, Jun 03, 2008

Kita dengan solat

Apabila kita ingin memulakan perjalanan jauh yang memakan masa dan jarak lebih dari 96 kilometer (ada pendapat yang mengatakan satu marhalah itu bersamaan 96 km) samada kita berkenderaan dengan kereta, kapalterbang atau sebarang kenderaan sekalipun, biasanya kita akan menghadapi waktu-waktu tertentu yang menuntut kita menunaikan solat wajib lima (5) waktu.

Perjalanan yang bertujuan baik akan mendapat anugerah dari Allah SWT sebagai seorang yang layak dianggap sebagai seorang musafir yang berhak mendapat pilihan bersolat secara jamak ataupun qasar. Kelonggaran ini seharusnya memudahkan seseorang itu menunaikan kewajipan semasa dalam perjalanan jauhnya. Seorang lelaki Islam tidak mempunyai alasan untuk meninggalkan solat walau dalam apa keadaan dirinya.

Solat menjadi tiang agama seorang muslim di mana jika ia tidak mengerjakan solat seumpama ia tidak membina apa-apa perlindungan di hari pembalasan. Allah SWT akan membicarakan manusia pada hari itu mengikut keutamaan di mana solat adalah penghakiman awal sebelum diikuti pembalasan lain.

Bagaimanapun, perbuatan menunaikan solat menjadi terlalu berat atau alpa jika kita tidak mengambil berat mengenainya. Kita akan mengambil mudah serta leka terhadap waktu-waktu solat malah sehingga membiarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa rasa apa-apa dan takut. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa seseorang yang meninggalkan satu waktu solatnya, Allah SWT akan menjadikan satu titik hitam di hatinya. Sesungguhnya, jika ia berterusan tidak solat, hatinya akan diselaputi titik hitam yang akan menggelapkan sebarang cahaya keimanan. Dibimbangi ia berakhir hayat dengan kekufuran di mana pembalasan neraka menantinya di akhirat kelak.

Sebenarnya solat itu mudah sahaja tetapi kita jangan pula mengambil mudah terhadapnya. Menunaikan solat hanya memerlukan beberapa minit sahaja. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan suci. Allah SWT akan melapangkan kita dengan waktu solat jika kita sentiasa ingat untuk bersolat. Percayalah, walau sesibuk mana sekalipun kita dengan kerja atau kehidupan ini, kita masih ada waktu untuk menunaikan solat.

Allah SWT menguji manusia dengan kesibukan dunia sehingga manusia itu lalai dari menunaikan tanggungjawab terhadap solatnya. Kita akan melihat ramai orang yang leka dan tidak menunaikan solat di merata tempat dan suasana seperti kompleks beli belah, pasar malam, stadium bola dan tempat-tempat keramaian lain terutamanya waktu Maghrib yang singkat akan berlalu begitu sahaja seolah-olah tiada apa perlu dipedulikan.

Allah SWT mencukupkan kepada kita dengan tugas untuk menunaikan solat sebanyak lima
(5) kali dalam sehari. Waktu-waktu tertentu ini adalah yang difardhukan ke atas manusia setelah beberapa kali Rasulullah SAW turun naik mengadap Allah SWT semasa peristiwa Israk dan Mikhraj. Jumlah ini adalah sangat sedikit berbanding nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia. Umpama kita menghitung waktu solat yang dikerjakan oleh seseorang itu secara kasarnya iaitu lima (5) minit bagi setiap satu solatnya didharabkan dengan lima (5) kali sehari. Ini bermakna kita hanya dituntut sebanyak dua puluh lima (25) minit sahaja sehari untuk kita mengerjakan solat di mana pahala solatnya dikembalikan kepada kita juga sebagai bekalan akhirat nanti.

Solat fardhu yang telah ditentukan sentiasa diseru apabila tiba masanya dengan azan dilaungkan. Kalimah azan yang melaungkan kesaksian kepada Allah SWT serta kesaksian kepada Rasulullah SAW selain menyeru manusia menunaikan solat, ia juga menyeru manusia ke jalan kejayaan. Ini maksudnya, manusia yang mengerjakan solat adalah manusia yang mencapai kejayaan di mana secara fitrahnya manusia yang mencapai kejayaan adalah manusia yang memperoleh kegembiraan kerana dalam ukuran hakiki ia bermaksud telah mendapat matlamatnya.

Apakah peranan kita dalam perkara seruan solat ini?

Semua orang mempunyai tanggung jawab tertentu dalam memainkan peranan bagi menyeru manusia supaya mengerjakan solat.

Pertama
Kita perlu menyeru kepada diri sendiri dengan menanamkan perasaan takut atas pembalasan akhirat apabila meninggalkan solat di samping kita menjadikan solat suatu keseronokan, damai dan lega umpama kita telah membayar suatu pembelian dengan tunai. Kita perlu sentiasa ingat sebelum memulakan sebarang perjalanan, apakah kita akan bertembung dengan waktu solat di dalam perjalanan itu maka kita hendaklah sudah bersedia dengan keadaan diri yang bersih dan bekalan pakaian ganti yang cukup. Ketika perjalanan, jika terpaksa membuang air besar atau kecil, pastikan kebersihan diri dan pakaian dalam keadaan terjaga kesuciannya. Apabila kita sentiasa berhati-hati, kita akan sentiasa bersedia untuk menunaikan solat tanpa rasa ragu dan was-was terhadap kebersihan dan kesucian semasa masuk waktu solat.

Kedua
Kita perlu menyeru kepada keluarga sendiri terutama ahli keluarga yang secara langsung berada di bawah tanggung jawab seperti isteri dan anak-anak. Sebagai seorang bapa umpamanya sudah diletakkan amanah dan tanggung jawab oleh Allah SWT bagi menjaga ahli keluarga dari api neraka. Beliau akan dipersoalkan pada hari pembalasan nanti. Selagi tanggung jawab ini masih tertunggak atas dirinya, maka keluarganya akan menuntut pada hari itu. Mereka akan mengadu kepada Allah SWT sebagaimana hak mereka di dunia tidak dilaksanakan. Ketika bangun awal pagi, menjadi tugas ibubapa untuk mengejutkan anak-anak supaya turut menunaikan solat terutama sama-sama berjemaah jika tidak ke surau atau masjid berdekatan. Apabila berpergian bersama-sama keluarga ke mana-mana tempat di luar daerah, pastikan semua sekeluarga mengerjakan solat. Jika memandu, berhentilah di mana-mana masjid atau tempat perhentian umpama perhentian Rehat dan Rawat (R&R) yang menyediakan tempat solat. InsyaAllah, kita akan merasa keseronokan dan menikmati kehidupan yang tenteram apabila kita masih sempat bersolat walaupun sedang melakukan perjalanan yang jauh.

Ketiga
Kita perlu menyeru kepada orang-orang disekeliling kita seperti saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, jiran tetangga dan sebagainya. Ada pelbagai cara bagi menjalankan peranan ini. Supaya kita sentiasa disenangi, seruan ini hendaklah dijalankan secara bijaksana. Masyarakat sekeliling yang sudah semakin celik, terpelajar dan kritis seharusnya tidak sukar menerima seruan solat dan tidak memperlecehkannya. Kita hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan sedia mendengar sebarang persoalan berhubung kejiranan dan kemasyarakatan. Kita turut ke surau atau masjid berdekatan pada kadar kekerapan yang mampu untuk solat lima (5) waktu secara berjemaah. Contoh peribadi yang baik sentiasa dikekalkan dan istiqamah boleh melembutkan pandangan dan anggapan masyarakat sekeliling serta secara tidak langsung menarik mereka untuk turut serta bersama kita.

Islam telah menetapkan bahawa orang Islam itu adalah bersaudara. Prinsip ini jika diamalkan akan mewujudkan satu ummah yang murni dan kuat. Solat secara berjemaah pada tiap kali masuk waktu sangat digalakkan sehingga dijanjikan dengan ganjaran yang sangat besar berbanding mengerjakan solat secara sendirian. Kekerapan waktu solat yang difardhukan menunjukkan bahawa pertalian manusia beriman dengan Allah SWT sangat erat. Rangkaian ini menjadikan seorang muslim itu sangat berbeza kehidupannya berbanding orang bukan Islam.

Solat juga boleh menjadi pengubat dan penawar segala penyakit jiwa. InsyaAllah, keresahan dan kecelaruan jiwa akan terhapus apabila seseorang itu mengambil wuduk dan bersolat dengan penuh keikhlasan dan rendah diri. Ketika bersolat, kita berhubung terus dengan Allah SWT tanpa sebarang perantaraan. Kita seolah-olah berhadapan satu sama satu, berhadapan dengan-Nya. Kekusyukan seseorang dalam mengerjakan solatnya menghasilkan tingkat dan tahap penerimaan Allah SWT terhadap pekerjaan solat tersebut.

Kebersihan dan kesucian anggota badan seseorang yang beriman semasa mengerjakan solat adalah sebagai syarat yang menentukan sah atau tidak solat yang dilakukannya. Syarat ini memberi tekanan terhadap orang muslim supaya meletakkan kebersihan dan kesucian adalah sesuatu yang utama dalam kehidupan.

Untuk itu, seseorang yang beriman sentiasa berada dalam kebersihan dan kesucian di mana kebersihan dan kesucian mencerminkan akal yang sihat. Seseorang yang mempunyai akal yang sihat boleh mengeluarkan idea-idea yang bernas dan bermanafaat. Seseorang yang mempunyai idea-idea yang bernas dapat membantu menjana dan membangunkan ummah sehingga menjadi ummah yang beragama, maju, dan kuat.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Aku bersaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah
Aku bersaksikan bahawa nabi Muhamad itu pesuruh Allah
Wahai, marilah mengerjakan sembahyang
Wahai, marilah menuju kejayaan
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Tiada tuhan melainkan Allah.

Sabtu, Mei 31, 2008

Kepada siapa kita bertanya?

Kita asyik bertanya,
Kenapakah kita...sedangkan kita ada jawapan..siapakah kita.
Kita asyik kritik,
Kenapakah kita...sedangkan kita ada jawapan..siapakah kita.
Kita asyik bertanya dan kritik...sedangkan jawapannya ada pada kita.
Apakah kita tidak menjawabnya?
kerana kita tidak tahu atau sengaja?
Kita bertanya kepada siapa?
Kita kritik siapa?
Kenapa kita bertanya?
Kenapa kita kritik?
Kerana kita asyik bertanya,
Kerana kita asyik kritik,
Jawapannya tiada kerana kita tidak menjawabnya,
atau siapa yang kita bertanya tidak menjawabnya..
Kita menjadi siapa yang bertanya pada tempat bertanya di manakah tempat bertanya?
Kita menjadi siapa yang kritik kepada siapa yang dikritik,
Sehingga suatu titik, kita tidak juga ada jawapannya.

Ahad, Mei 11, 2008

Berkelah di Hari Ibu



Hari ini 11 Mei 2008 (Ahad), kebetulan ada sambutan Hari Ibu. Aku mengambil kesempatan cuti rehat hari minggu membawa keluarga termasuk ibu mertua dan keluarga ipar ke Sg Congkak untuk berkelah dan mandi manda. Selepas menunggu anak lelakiku pulang dari aktiviti taekuando di sekolahnya, kami bertolak dengan tiga (3) buah kereta. Kami mengambil jalan kampung melalui Bangi lama terus ke Semenyih dan dari situ kami melalui Dam Semenyih yang luas terbentang airnya. Jalan agak jauh tetapi aku cukup terpesona dengan hutan dan kebun buah-buahan sepanjang perjalanan.

Terasa suatu kedamaian apabila kita melintasi kampung-kampung yang dihuni orang-orang Melayu. Meskipun terdapat semak dan tumbuhan tidak dijaga namun ketenangan dan kedamaian tetap ada. Keadaan yang bersepah dan seolah-olah tidak terurus tetap tidak menjejaskan kedamaian tadi. Kita rasa kesuciannya yang lahir menutupi kesemuanya dengan mewujudkan sesebuah kampung atau desa orang Melayu tetap terpelihara.

Sebuah kampung yang di dalamnya mempunyai penghuni yang ikhlas dan berserah akan terpelihara kehidupannya. Jika di dalamnya wujud masjid atau surau, Allah SWT akan menganugerahkan kedamaian dan kecukupan kepada penghuninya yang tidak lupa kepada-Nya. Hanya kita yang melihat orang kampung hidup dengan dhaif namun mereka masih mampu menghantar senyum kepada kita. Allah SWT membentukkan peribadi mereka ini melalui alam sekeliling. Keindahan dan kesegaran mendatangkan kelapangan fikiran dan dari situ timbul keperibadian yang mulia dan keredhaan.

Apabila kita sudah berusia tua, biasanya kita akan mencari kedamaian begini. Kita akan melihat kepulangan orang tua ke desa-desa setelah sebahagian hidupnya telah dihabiskan di bandar. Sebab itu suasana balik kampung pada hariraya masih berlaku kerana di sana terdapat ibu dan ayah kita samada masih hidup atau hanya kubur sahaja.

Seorang tua yang dipanggil Ibu,
menjengok muka di celah bilah dinding rumahnya,
tiap kali mendengar derum kereta,
'Apakah anakku pulang?'
'akan ku petik pucuk salang dan pucuk kaduk di belakang rumah'
'tak apa ada anak seluang yang aku tangguk petang semalam'
'ia, masih ada di situ mainan cucuku yang rosak tahun dulu'
Sketsa ini berulang,
seolah-olah layar pentas yang dibuka dan tutup,
penontonnya kita...
Di mana pada suatu ketika...
kita akan pulang..
samada ke desa menjengok ibu tua..
atau hanya pusara?


Khas Untuk Mama

Ayah hanya mampu melihat bintang namun tidak Ayah jadikan hadiah untuk Mama!
Ayah hanya mampu memandang ke hadapan namun tidak Ayah tinggalkan Mama di belakang!
Andai kerlipan bintang itu menjadi ukuran, Ayah tiada daya menyinarinya!
Namun Ayah masih di sini, mengutip sisa perjalanan hidup yang Ayah tak pasti bila kesudahannya!
Yang Ayah sedar, Mama sentiasa di sisi hingga kini!
Kebahagiaan Mama mampu merobohkan segala tembok keresahan!
Tidak Ayah....Hari ini untuk ibu!

Isnin, Mei 05, 2008

Cerita Bukan Berita

Pernahkah anda berfikir bahawa sebarang maklumat dari pembacaan anda terhadap suratkhabar, buku, majalah dan pelbagai sumber pembacaan mempunyai pilihan maklumat yang mempunyai pelbagai bentuk dan tujuannya?

Selama mana kita menjadi seorang pembaca maka kita harus sedar bahawa apa yang dihidangkan kepada kita itu tetap menggambarkan motif dan tujuannya. Seorang wartawan atau penulis berita hanya bergantung atas etika kewartawanan dengan melaporkan atau menulis apa yang dilihat dan dialaminya sendiri ketika sesuatu peristiwa itu berlaku. Atas kefahaman beliau dari pengalaman peristiwa itu maka beliau terjemahkan ke akhbar untuk tatapan pembaca mengikut berapa banyak edarannya. Pembacaan ini akan berkembang menjadi berita yang mungkin panjang kesudahannya. Secara teknikalnya, berlaku peristiwa kemudian beliau berkejar ke sana dan mengambil berita kemudian hantar berita itu ke pejabat kemudian diedit dan disiarkan! Titik.
Sepatutnya!

Namun, kita manusia yang dianugerahkan akal mampu berfikir secara rasional atau sebaliknya malah mampu memanipulasikan kehendak berfikir bagi menawan sesiapa sahaja bagi mempercayai apa yang dikhabarkan. Kebijaksanaan ini akan digunakan oleh seseorang itu bagi kepentingan tertentu untuk mencapai perancangan dan matlamat besarnya. Ketika tahap ini, keadaan berita mungkin sudah tidak seratus peratus lagi keasliannya. Peringkat ini juga keaslian beritanya boleh bertukar menjadi cerita malah dimeriahkan lagi dengan fitnah, tohmahan, dusta, adu domba,hasutan dan sebagainya.

Allah SWT memberi amaran pembalasan neraka kepada mereka yang menyebarkan fitnah dan seumpamanya. Keaslian berita yang menjadi cerita akan melibatkan manusia berada dalam kepalsuan. Manusia akan berfikir dengan tidak betul atau cacat malah membuat keputusan-keputusan yang salah serta mewujudkan keadaan yang gawat dan pembohongan. Jika kepalsuan ini besar, ia juga akan melibatkan ruang yang lebih besar malah boleh menjejaskan keputusan-keputusan sesebuah pemerintahan.

Siapakah sebenarnya yang bercakap benar? Tiada orang yang akan mengiakan pembohongannya. Kebijaksanaan akal yang disalahgunakan oleh seseorang itu akan menyukarkan kita untuk menentukan yang mana benar salahnya. Bukan seperti seorang kanak-kanak yang secara fitrahnya akan bercakap benar dari apa yang dilihat olehnya tanpa ada keraguan kejujurannya. Allah SWT mengangkat Rasul-rasul bagi menyampaikan risalah kebenaran untuk umat manusia agar beriman dan menjalani kehidupan dengan baik serta beribadat kepada-Nya. Allah SWT menjanjikan pembalasan Syurga kepada mereka yang mengumpul pahala dan Allah SWT juga akan membalasnya dengan Neraka jika manusia berbuat dosa.

Risalah Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah merupakan risalah kebenaran yang mutlak dan tidak dapat dinafikan walaubagaimana bijaksananya manusia hendak menyelewengkannya. Al-Quran yang lengkap telah mendapat janji Allah SWT bahawa kesahihannya terpelihara sampai kiamat. Allah SWT yang menjaganya dan demi Allah, sesiapapun tidak akan menang jika mereka ingin menentang kebenaran ini. Allah SWT membuktikan kepada manusia bahawa Nabi Muhammad SAW itu seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) untuk manusia meyakini bahawa Al-Quran tidak ditulis oleh Nabi sendiri. Diri Rasulullah sendiri adalah sebagai contoh tauladan untuk diikuti oleh umat. Rasulullah SAW tidak melakukan sebarang kesilapan atau pembohongan walau sekecil mana sekalipun. Rasulullah SAW terpelihara dan dibekalkan dengan empat (4) sifat terpuji yang ada dalam diri baginda. Satu daripadanya adalah sifat Siddiq (benar) selain sifat-sifat lain seperti Amanah, Tabliq (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana).

Rasulullah SAW mengajar kita supaya bercakap benar meskipun kebenaran itu pahit. Perkara yang benar mempunyai penyelesaiannya. Ia akan menjadi penamat terhadap sebarang keputusan. Ia akan melahirkan kebaikan dan keadilan untuk semua. Apabila keadilan tertegak, kepuasan pasti terpancar pada sesiapa yang terlibat. Umat akan berada dalam kehidupan murni, saling mempercayai dan tidak perlu bimbang serta ragu dalam menjalani kehidupan di alam yang fana ini.

Rabu, April 02, 2008

Kecamuknya Manusia

Kita mendengar sekeliling kita berita yang sukar kita percaya bahawa ada orang yang tergamak membunuh anaknya sendiri kerana pertelingkahan untuk belajar ke luar negara, membunuh emak sendiri kerana desakan wang untuk dadah, perdagangkan isteri untuk sara hidup dan lain-lain berita yang amat menyayat hati untuk diperkatakan.

Jika kita bertanya, apakah kita kembali semula ke zaman jahiliah iaitu zaman akhir sebelum muncul cahaya Islam di tanah Arab?.

Kecamukan yang digambarkan ini seolah-olah manusia dalam keadaan hilang punca dan arah bagi mengatasi sesuatu masalah yang dihadapinya. Manusia sudah berada terlalu jauh dari simpang jalan yang membahagikan antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat. Manusia hanyut tiada tentu arahnya. Ibarat hanyutnya sampan koci tanpa dayung di laut yang luas tanpa ketahuan di mana daratannya.

Kita akan mendapat pelbagai jawapan dari pelbagai orang jika persoalan ini dikemukakan untuk diperbincangkan. Ia seolah-olah semua orang mampu menjawab membetulkan diri masing-masing. Tiada sesiapapun yang sesat atau mengaku bahawa mereka berada dalam kesesatan. Jalan hidup yang mereka tempuh adalah betul dan benar serta yakin itulah jalan terbaik malah mengharapkan orang lain pun ikut seperti itu.

Jumaat, Mac 21, 2008

Pekong Politik

Selepas PRU12 pada 8 Mac 2008 sehingga hari ini (20/3/08), pelantikan MB bagi negeri Terengganu masih belum selesai. MB sebelum PRU12 telah pun menyatakan pendirian bahawa akan redha dan menerima Qada dan Qadar atas sebarang pelantikan oleh DYMM Tuanku Sultan. Namun tidak sampai dua (2) minggu, pernyataan itu tidak bermakna lagi apabila beliau telah menolak pelantikan MB baru oleh DYMM Tuanku Sultan. Seolah-olah terdapat suatu persepakatan hampir semua ADUN yang menang dari BN untuk memboikot pilihan Tuanku.

Pergolakan pemilihan calon MB Terengganu membentangkan betapa pekong politik yang ada pada para pemimpin dan wakil rakyat yang menang atas tiket parti BN. Sejarah juga memaparkan betapa parti pembangkang dari BA yang mempunyai perbezaan ideologi yang sangat nyata malah boleh dikatakan seumpama langit dan bumi namun mereka boleh awal-awal lagi menyelesaikan kaedah pelantikan MB di negeri-negeri yang mereka mendapat majoriti pemerintahan.

Sandiwara dan apa saja yang boleh kita bandingkan kepada mereka ini yang bergelumang dengan permainan politik yang pada asalnya adalah suatu muslihat kepemimpinan sesebuah kerajaan dan negara namun telah dicemari pelbagai kehendak nafsu dan ketamakan kuasa serta kepentingan diri untuk kekal memegang kerusi pentadbiran.

Segala pernyataan, ikrar dan sumpah yang dibuat sebelum itu dilanggari seolah-olah mereka tidak pernah berbuat sedemikian. Segala berita yang dipaparkan melalui media perdana menambahkan lagi kekeliruan yakni siapakah yang sebenarnya berada di kedudukan yang betul dan boleh diharap. Sultan sebagai raja yang memegang tampuk pemerintahan seringkali dipandang sebagai patung hidup yang hanya menandatangani sebarang syor atau usul dari pihak kerajaan baru yang ketuanya adalah MB.

Persoalannya, Sultan tidak berkenan senarai calon MB yang dikemukakan oleh parti BN malah mengemukakan calonnya sendiri dari senarai ADUN BN yang menang juga. Titik pergolakan timbul dari sini apabila masing-masing tidak mahu menerima calon yang dikemukakan bukan dari pilihan sendiri. Perpecahan sokongan mula terjadi ekoran peristiwa pelantikan MB ini. Sultan mempunyai alasan tertentu serta menggunakan kuasa yang ada dalam perlembagaan. Ia menggambarkan tradisi Sultan sebagai puppet sudah tidak boleh dipakai lagi. Sultan juga gagah berhadapan dengan mereka yang berpolitik!.

Semua orang sudah mula bercakap di mana-mana termasuk pengamal undang-undang kononnya membetulkan keadaan. Namun suara-suara ini berkumandang di media secara terbuka yang menampakkan lagi kecelaruannya. Parti bangsa Melayu (UMNO) khususnya dari negeri Terengganu yang berteraskan kedaulatan institusi beraja menunjukkan belang kesetiaan dengan mempertikaikan pelantikan pihak istana itu. Kesepakatan 22 ADUN dari BN menentang calon pihak istana dengan mengangkat MB terdahulu sebagai ketua menampakkan seolah-olah ada agenda persetujuan yang mungkin membawa kesan perpecahan lebih besar ke atas umat melayu terhadap parti UMNO ini.

Penentangan ini menampakkan betapa amalan double standard diamalkan oleh mereka sedangkan sebelum itu mereka juga menunjukkan kemarahan sehingga menganggap biadap terhadap seorang pemimpin tertinggi DAP yang memprotes pelantikan MB negeri Perak. Perkara yang sama juga berlaku di negeri Perlis apabila mereka pula akur dengan pelantikan oleh pihak istana atas calon bukan favourite.

Rakyat akan terus melihat kemelut ini yang menjadi semakin serabut dan kalut di mana calon yang diperkenankan oleh Sultan telah menerima watikah pelantikan sementara calon yang satu lagi juga menerima watikah dari Perdana Menteri malah dikhabarkan tindakan tatatertib akan dikenakan ke atasnya kerana menerima watikah dari Sultan. Persoalannya, siapakah yang lebih berkuasa dalam tindakan ini? Adakah engkar kepada Perdana Menteri lebih besar kesannya dari derhaka kepada Sultan?

Ahad, Mac 09, 2008

5 Negeri Pembangkang

Pilihanraya ke 12 (PRU12) pada 8hb Mac 2008 sudah pun selesai. Kelantan kekal diterajui PAS malah menambah kerusi. Pulau Pinang jatuh kepada DAP. Kedah bertukar kepada PAS. Selangor dijangka bertukar Menteri Besarnya kepada PKR. Sementara Perak masih dalam perbincangan siapa yang akan menjadi ketua antara DAP dan PAS (waktu teks ini ditulis jam 10.33 malam 9hb. Mac 2008).

Keputusan-keputusan yang diperolehi ini adalah terjemahan suara rakyat terhadap kerajaan BN yang sebelum ini sangat cemerlang mendapat mandat pemerintahannya. Kali ini BN hanya memperolehi mandat majoriti mudah yang boleh menubuhkan kerajaan namun dalam beberapa perkara agak sukar bagi mendapat persetujuan berkaitan pindaan akta dan undang-undang dalam parlimen.

Kedengaranlah pelbagai suara-suara dari pengalisis dan orang ramai dalam percakapan-percakapan berkaitan kekalahan teruk BN dalam pilihanraya ini. Pelbagai faktor dikaitkan termasuk kenaikan harga barang terutama minyak petrol dan barangan keperluan hidup malah pemimpin tertinggi dalam kerajaan BN juga dipersalahkan serta dipertanggungjawabkan.

Secara umumnya, kita dapat melihat perubahan undi ini sebagai suatu mesej dari rakyat terhadap kepemimpinan negara. Rakyat sudah bijak dalam membuat keputusan di mana mereka menganggap satu undi boleh menentukan tegak atau tumbangnya sesuatu kerajaan. Namun selama ini kita disogokkan dengan analisis dari beberapa pengalisis di media perdana yang ramai rakyat sedar bahawa analisis yang diperkatakan adalah terjurus dalam ruang lingkup terbatas seolah-olah analisis yang menyedapkan barisan kepemimpinan kerajaan sahaja.

Sekarang rakyat telah menyampaikan sendiri dengan kertas undi untuk menyedarkan kepemimpinan kerajaan ini bahawa suara dan sentimen tidak puas hati dengan pelbagai isu semasa yang menghimpit keselesaan hidup rakyat perlu diambil tindakan wajar. Undian orang-orang muda dan pengundi baru seumpama penentu arah jatuh atau terus mentadbir oleh BN. Kita harus sedar golongan ini adalah pengkritik dan sentiasa bersikap protes.

Mungkin ada pengundi lama BN yang tidak keluar mengundi atas alasan tidak puas hati dan secara langsung memberikan undi protes yang boleh mendatangkan kemenangan berpihak kepada parti lawan. Sesungguhnya, pengundi-pengundi tegar parti lawan akan kekal dan keluar mengundi walaupun dalam cuaca buruk sekalipun. Dibantu dengan pengundi atas pagar, pengundi senyap dan pengundi belot akan menterjemahkan keputusan BN tumbang di beberapa negeri termasuk kononnya beberapa kubu kuat yang rekodnya tidak pernah kalah sebelum ini.

Rakyat sudah semakin nampak betapa peranan mereka di dalam sistem negara demokrasi berparlimen sangat besar kuasanya meskipun dari hanya satu undi. Tuduhan kewujudan pengundi hantu dan ketidakadilan SPR masih menjadi misteri tiada berjawab dan bukti. Namun pengumuman dan pembatalan sesuatu perkara pada saat-saat akhir menampakkan kerja yang dijalankan oleh pihak SPR mendatangkan tanda tanya yang menjejaskan kredibiliti badan itu sendiri.

PRU12 telah mencatat sejarah besar dalam negara sejak negara ini menjalankan sistem demokrasi. Sebagai rakyat dan kerajaan harus akur kehendak pengundi di mana pengundi juga harus ingat bahawa pilihannya adalah terbaik yang difikirkannya. Undi pilihannya akan mencorakkan pemerintahan sehingga berakhir penggal selama lima (5) tahun akan datang.

Jumaat, Februari 22, 2008

Mereka Ingat Siapakah Kita?

Ketika datang musim pilihanraya..suasana kelihatan meriah dengan stiker dan notis ceramah kempen parti yang ditampal pada tempat-tempat strategik lagi mudah mendapat perhatian orang ramai. Bendera parti dan kain rentang dipasang merata-rata. Atas pokok, tiang lampu, puncak bukit dan sebagainya. Ada bendera parti dipasang terlalu banyak hingga menenggelamkan bendera parti lawan yang lain. Kempen untuk memancing pengundi dijalankan dengan pelbagai cara. Mungkin calon yang mempunyai peruntukan yang banyak akan membelanjakannya mengikut fikirannya bagaimana nak menawan hati pengundi.

Bagi calon dan petugas parti, ketika ini adalah waktu untuk bekerja kuat melobi bagi menawan hati pengundi supaya mengundi parti yang mereka wakili. Siri ceramah dan perjumpaan dibuat satu persatu dari satu tempat ke satu tempat. Sibuk sekali!. Ada calon yang kita kenal jika dia adalah anak tempatan atau agak terkenal sebelum itu atas beberapa sebab namun ada calon yang langsung kita tidak kenal popularitinya.

Pelbagai strategi dan cara digunakan bagi memenangi pilihanraya ini. Kuasa satu undi untuk majoriti amat bernilai dalam sistem demokrasi. Majoriti undi adalah pemenangnya!. Dalam keadaan sekarang, apakah yang diimpikan oleh seorang calon yang masuk bertanding dalam parti yang diwakilinya. Samada dari parti pemerintah atau pembangkang ataupun parti bebas. Kita boleh lihat bagaimana mereka masing-masing mempamerkan kelebihan-kelebihan parti mereka dari ceramah dan manifesto umpama bau gula-gula madu yang terdedah untuk hidangan. Ada juga di kalangan mereka ini yang memburuk-burukkan calon dan parti lawan dengan mengharapkan pengundi-pengundi menolak dari memilih lawannya. Taktik kotor begini seolah-olah tiada salahnya digunakan ketika ini.

Masih adakah lagi antara calon-calon ini yang berperibadian umpama khalifah-khalifah ternama Islam terdahulu? Mengutamakan amanah dan tanggungjawab memimpin dari perkara-perkara lain. Takut dengan beban dosa yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT jika tidak menjalankan kepemimpinan dengan benar, amanah dan adil. Masih adakah lagi pemimpin yang sanggup meredah malam gelap memantau kehidupan rakyatnya umpama Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak boleh tidur sehingga masalah rakyatnya diselesaikan terlebih dahulu.

Apakah gambaran kemewahan yang ditunjukkan semasa memegang kuasa atau menjadi wakil rakyat itu yang menghambat nafsu untuk masuk bertanding dalam arena politik ini. Kuasa dan kekayaan adalah kesukaan manusia di mana mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dengan pelbagai cara. Sempadan keperibadian manusia akan diserlahkan apabila dua (2) tampuk ini dapat dipegang oleh seseorang itu. Kita dapat melihat kegembiraan dan ketawa besar terserlah serta terpampang di akhbar apabila nama mereka dicalonkan untuk bertanding. Apakah gambaran ini sama dengan suasana dan riak wajah seseorang yang mengerti betapa besarnya tanggungjawab dan harapan rakyat perlu pembelaan?

Jika pemimpin diancam dengan neraka sekiranya menjalankan pemerintahan tanpa keadilan maka kita sebagai rakyat yang berada di bawah kepimpinannya juga mempunyai tanggungjawab yang sama, dituntut kesetiaannya pada kepemimpinan yang benar, adil dan beriman. Pengundian yang kita lakukan adalah suatu amanah dan pengesahan ke atas seseorang calon yang dipilih dan jika beliau menang dan memimpin, kesannya akan diterima semasa pemerintahannya juga dosa pahalanya akan turut tertanggung atas kita.

Persoalannya, ketika musim kempen ini...sedarkah siapakah kita?

Rabu, Februari 20, 2008

Doa Anak







Diriwayatkan bahawa:

1. 'Seseorang itu diangkat darjatnya ketika di akhirat kerana doa anaknya'

2. 'Diampun dosa ibubapa kerana doa anaknya begitu juga seseorang anak itu
diangkat darjatnya di akhirat kerana kebaikan ibubapanya'

3. 'Terputusnya pahala ketika matinya seseorang melainkan tiga (3) perkara
yang membantunya iaitu:-

i) Ilmu baik darinya yang dimanfaatkan.
ii) Amal jariah semasa hidupnya.
iii) Doa anaknya yang soleh

Fitrah seorang anak yang baru lahir adalah sejernih air embun (air embun sering dikaitkan dengan kesucian dan bersih) namun ibubapanya sahaja yang bertanggungjawab membentuk keperibadian anak itu menjadi air apa kemudian hari. Islam mengajar ibubapa supaya mendidik anak-anaknya menjadi seorang yang beriman dan beramal soleh. Keindahan Islam di mana Allah SWT memberi ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat kepada bukan sahaja ibubapa yang mendidik itu tetapi kepada anaknya juga jika anaknya itu beriman dan soleh.

Seseorang itu tetap menjadi anak kepada ibubapanya dari satu generasi ke satu generasi sehingga datangnya kiamat. Pertalian anak dan ibubapanya adalah kekal begitu selagi mereka beriman kepada Allah SWT. Doa seorang anak yang soleh dijanjikan sampai kepada ibubapanya yang telah pun berada di alam barzah.

Penulis ingin menceritakan suatu kisah mimpi seorang yang benar terjadi seperti diceritakannya:

Suatu malam ia bermimpi melihat sekumpulan orang yang telah mati berebut-rebut mendapatkan seumpama anugerah keperluan namun terdapat seorang tua di kalangan itu yang tidak ikut serta. Beliau bertanya kepada orang tua itu, "mengapa tidak ikut berebut-rebut mendapatkan pemberian itu?". Jawab orang tua itu, "Saya tidak perlu lagi kerana saya telah mempunyai cukup pemberian dari anak saya yang masih hidup di dunia". Orang tua itu memberitahu siapa anaknya dan di mana tempat tinggalnya. Keesokannya, orang yang bermimpi itu telah bergegas pergi mencari anak itu seperti yang digambarkan dalam mimpinya. Ketika berjumpa beliau bertanya apakah amalan yang dilakukannya sehingga orang tuanya digambarkan dalam keadaan senang di alam lain itu. Anak itu menjawab bahawa beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk bapanya sepanjang masa.

Tidak lama selepas itu, orang itu bermimpi lagi namun kali ini beliau melihat orang tua itu turut berebut-rebut mendapatkan pemberian bersama-sama orang-orang lain. Beliau kehairanan, lantas bertanya kenapa terjadi sedemikian. Orang tua itu menjawab bahawa beliau tidak lagi mendapat anugerah pemberian dari anaknya seperti terdahulu.

Selepas terjaga, orang itu dengan perasaan amarah segera mencari anak itu bagi mendapatkan penjelasan. Dipendekkan cerita, beliau diberitahu bahawa anak yang dicarinya itu sebenarnya telah meninggal dunia tidak berapa lama sebelum itu.

Kesimpulannya, mimpi itu menggambarkan hakikat bahawa doa seseorang anak itu sampai kepada orang tuanya yang telah meninggal dunia dalam bentuk kebaikan. Untuk itu sedarlah bahawa kita hendaklah sentiasa mendoakan ibubapa kita yang sudah tiada sepertimana kita juga mengharapkan anak-anak kita nanti turut mendoakan untuk kita.

Wallahualam.

Isnin, Februari 18, 2008

Cinta Itu Indah

Kamus Dewan mengertikan cinta itu adalah suatu perasaan atau berperasaan sangat sayang terhadap sesuatu. Seseorang yang mengalami cinta akan menjerumuskan beliau ke dalam sesuatu yang mendatangkan kebahagiaan atau sebaliknya. Cinta antara dua (2) makhluk mempunyai pelbagai persepsi di mana ia boleh jadi cinta seorang teruna kepada dara dan sebaliknya. Semua orang pernah mengalami perasaan ini. Ia lebih dikaitkan dengan jiwa orang muda kerana cinta hanya lahir sekali sahaja di dalam hidup seseorang itu.

Kita tidak lagi menganggap seorang tua yang jatuh cinta dengan seseorang itu sebagai berperasaan cinta kerana di sana sudah tidak ada lagi perasaan itu melainkan ia hanya suatu pengisian atau menggantikan kekosongan perasaan rindu dan nafsu.

Seseorang yang sudah jatuh cinta akan merasa kehebatan perasaan ini. Tiada siapa yang terdaya menolaknya. Apabila Allah SWT melontarkan perasaan cinta ini kepada seseorang itu, maka kita akan dapat melihat berlaku perubahan terhadap diri seseorang itu. Mereka mula mempersiapkan dan menghiaskan diri bagi menarik perhatian seseorang yang beliau cintai. Beberapa perlakuan boleh dikenalpasti:-

1. Gugup dan gelisah apabila berhadapan
2. Kelu lidah untuk berkata-kata
3. Perlakuan serba tidak kena
4. Tidak berani bersemuka
5. Emosi serta mudah tersinggung
6. Cemburu dan mudah marah-marah
7. Merelakan
8. Pengorbanan
9. Menangis
10. Lain-lain.

Cinta boleh dikategorikan mengikut kefahaman kita iaitu:-
a. Cinta Buta (perasaan kasih yang melulu tidak kira atau peduli dengan sekelilingnya).
b. Cinta Monyet (perasaan kasih yang hanya sementara dan tidak serius terutama dialami oleh kanak-kanak dan remaja).
c. Cinta Sejati (perasaan kasih yang amat sangat terhadap seseorang sehingga sanggup melakukan apasaja pengorbanan).
d. Cinta Sebelah (perasaan kasih hanya sebelah pihak sahaja).
e. Cinta Tiga Segi (perasaan kasih yang wujud pada tiga individu secara pusingan samada dua orang wanita dengan seorang lelaki atau sebaliknya).).

Seseorang yang telah jatuh cinta terpaksa melalui pelbagai dugaan dan halangan bagi mencapai kejayaan bersatu malah bukan sedikit cinta tidak kecapaian sehingga menuntut pengorbanan dan berakhir dengan trajedi.

Apabila dua (2) pasangan yang sedang bercinta, mereka akan mengalami keindahan dan kenikmatan berdua-duaan. Jika berjauhan mereka akan merasa kerinduan yang amat sangat dan merasai betapa waktu berjalan terlalu lambat. Keasyikan ini terbawa-bawa sehingga tidak mempedulikan keadaan sekeliling seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Tiada sebarang cacat cela ke atas pasangannya. Semuanya wangi dan cantik! Jika kita menegur akan dikatakan kita cemburu!
Kerinduan yang dialami ketika ini amatlah mendalam sehingga mereka boleh saja berlandaskan alasan pengganti diri dengan menyimpan barang kenangan atau melihat tanda-tanda yang ada kaitan kepada pasangannya.

Namun kita tidaklah dapat membandingkan cinta agung iaitu cinta terhadap Allah SWT. Cinta ini mestilah dipelihara dan dipupuk dengan mengerjakan solat dan semua ibadah-ibadah lainnya. Kecintaan ini tiada sama dengan cinta kita terhadap sesama makhluk. Cinta yang dituntut oleh tuan ke atas hambanya namun ia dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar pada kehidupan lain. Sesungguhnya Allah SWT Maha Agung yang berhak dicintai dengan sepenuh hati dan ikhlas disamping berharap cinta kita itu diterima sebagai suatu persembahan yang bakal kembali kebaikannya kepada kita.

Demi Allah yang diri kita di bawah kekuasaan-Nya, sesungguhnya kami hamba yang kerdil dan hina ini, memohon keampunan dan redha-Mu. Semoga Engkau Ya Allah, menerima cinta kami agar Engkau mengembalikan kami sesudah mati dengan keampunan dan ganjaran syurga-Mu. Amin.

Sabtu, Januari 26, 2008

Keajaiban Masjidilharam


Seseorang yang baru pulang dari Makkah sering ditanya apakah perkara-perkara yang pelik atau luarbiasa yang dialaminya ketika menghadirkan diri di Masjidilharam. Sememangnya tiap seorang mempunyai pelbagai cerita dan peristiwa yang dialaminya ketika berada di sana. Ada yang membawa pulang cerita dan pengalamannya itu untuk dikongsi bersama sanak saudara serta kawan dan rakan di tanah air. Penulis sendiri yang suka melihat dan memerhati sesuatu perkara itu menganggap perkara ini suatu keajaiban yang mengandungi hikmah dari Allah SWT untuk kita renungkan dan menginsafi diri di samping kita jadikan ia sebagai suatu pengajaran dan iktibar ketika kita mencari keredhaan-Nya.

Keajaiban yang dialami pada tiap seseorang itu mungkin ada perbezaannya namun Penulis hendak memaparkan apa yang dialami sendiri atau ia kebetulan pengalaman ini sama juga dialami oleh orang lain. Kita pernah mendengar cerita dari jemaah yang terdahulu bahawa apabila berada di bumi tanah haram ini, doa seseorang sangat mustajab dan dimakbulkan oleh Allah SWT dengan serta merta. Allah SWT menunaikan niat seseorang dengan semena-menanya di sini. Oleh itu, mulut kita jangan terlalu celupar atau membuat lawak yang tidak sepatutnya ketika berada di tanah suci ini.

Ada beberapa perkara yang Penulis hendak ceritakan iaitu:

1. Seseorang sering kali keliru arah apabila masuk ke dalam Masjidilharam. Ia berlaku buat beberapa saat sahaja. Penulis cuba menguji minda sendiri dengan masuk mengikut pintu yang sama (biasanya pintu Marwah iaitu laluan sai'e) tiap waktu solat fardhu tetapi sampai pada suatu sudut, kita jadi hilang arah sekejap sehingga kita menapak beberapa langkah lagi, barulah kita perasan di mana kita berada sebenarnya.

2. Waktu gelincir matahari (Zohor), kita akan dapati seolah-olah matahari berada atas kepala condong ke arah kita. Ini berlaku pada semua sudut di dalam Masjidilharam.

3. Waktu solat Makkah dengan Madinah berbeza-beza antara lima (5) hingga enam (6) minit tetapi kadangkala ia boleh menjadi sama pada waktu Zohor. Waktu Subuh di Makkah lebih awal dari Madinah tetapi pada waktu Isyak Madinah pula yang lebih awal dari Makkah. Jarak antara dua (2) tempat tersebut tidak melebihi 500 km.

4. Magnet (besi berani) yang biasa menunjuk arah utara akan sentiasa menunjuk arah ke Ka'abah walaupun ia diubah-ubah tempat di dalam Masjidilharam sahaja.

5. Purata setiap waktu solat seorang jemaah akan minum secawan air zam-zam bersaiz 150 ml. Jikalau sehari purata lima (5) cawan berjumlah 1.15 liter. Purata 2 juta jemaah pada setiap musim haji meminum air zam-zam sebanyak 2.30 juta liter sehari. Zam-zam hanya sebuah telaga kecil dan bukan sungai atau empangan namun sehingga hari ini masih dapat membekalkan air untuk minuman semua jemaah malah boleh dibawa pulang ke negara masing-masing sebanyak lima (5) hingga sepuluh (10) liter seorang.

Demikian beberapa perkara yang boleh menjadi renungan bersama malah kepada sesiapa yang ingin mencari jawapan, Penulis nasihatkan pergilah sendiri ke tanah suci dengan niat ingin mengerjakan umrah atau haji bagi merasai pengalaman tersebut.

Jumaat, Januari 18, 2008

Setiap Jemaah Ada Beza Ceritanya



Lambaian Ka'abah yang disambut dengan laungan:

"Labbaikallaahummalabaiik, Labbaikalaasyariikalakalabaiik, Innalhamda, Walniakmata, Lakawalmul, Laasyariikala".

Penerbangan dari Malaysia melalui KLIA dengan menaiki pesawat SAUDIA pada jam 2.30 pagi 1hb. Disember 2007 memakan masa 8 jam 50 minit. Mendarat di Jeddah pada waktu pagi (6.40 pagi waktu tempatan) dengan pakaian ihram menggambarkan seolah-olah kita sedang menuju ke suatu destinasi yang bakal ditempuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Pemeriksaan imigresen terhadap pasport haji memakan masa dua (2) jam sementara menunggu bagasi diangkut ke atas bas memakan masa satu (1) jam. Bas bergerak kira-kira jam 10.20 pagi ke arah Mekah (Masjidiharam) mengambil masa dua (2) jam. Kumpulan jemaah ini terus ke Mekah sementara ziarah Madinah akan dilakukan selepas selesai haji. Ketika bas berlegar-legar mencari hotel penginapan (disebut Maktab) kedengaran azan zohor dari Masjidilharam tenggelam timbul.

Perasaan sangat teruja dan terharu apabila mengingatkan betapa Allah SWT memberi kesempatan untuk hadir ke tanah suci ini. Keadaan cuaca pada papan elektronik di luar Masjidilharam menunjukkan 27 darjah celcius. Cuaca begini sangat sesuai bagi jemaah kita. Jemaah disambut oleh kakitangan Tabung Haji di mana kunci bilik yang telah disediakan untuk penginapan secara berasingan lelaki dan perempuan berkongsi lima (5) orang sebilik diserahkan. Pengasingan penginapan berlainan jantina adalah permulaan cabaran bagi pasangan suami isteri selama berada di tanah suci ini. Sementara tinggal sebilik dengan jemaah lain yang mungkin berasingan negeri dan perangai juga merupakan cabaran kesesuaian duduk bersama.

Peratus jemaah yang berusia lingkungan 50an yang lebih ramai menggambarkan sikap matang, sabar, berbahasa dan sebagainya. Bilangan ini mungkin mudah mendengar dan mengikut arahan pihak petugas Tabung Haji seperti jadual yang telah diatur sedemikian rupa. Dikhabarkan lebih 85 peratus jemaah dari Malaysia akan mengerjakan haji Tamattuk termasuk Penulis sendiri dari KT 56 yang memakai pakaian ihram dari Kelana Jaya lagi serta berniat ihram umrah dalam kapalterbang ketika hampir melintasi miqat Qarnul Manazil iaitu kira-kira setengah jam sebelum kapalterbang mendarat di lapangan terbang Jeddah.

Selepas berehat dan makan malam jemaah diberi taklimat. Kira-kira jam 11 malam jemaah dibawa ke Masjidilharam ( orang sini menyebutnya sebagai Haram saja ) untuk mengerjakan tawaf dan sa'ie wajib umrah. Lebih kurang dua (2) jam selepas itu selesai dan bertahallul dengan menggunting beberapa helai rambut atau mencukur kepala (botak) bagi membebaskan jemaah dari semua larangan ketika dalam ihram. Jemaah kembali ke tempat penginapan dan menukar pakaian ihram dengan memakai pakaian seperti biasa.

Oleh kerana Penulis termasuk dalam kumpulan KT 56 telah ditempatkan di Maktab 93 di Hotel Janadiriyah kawasan Shuib Amir yang jauh jaraknya dari Masjidilharam kira-kira 760 meter. Bangunan 15 tingkat yang berkembar dengan Pejabat Tabung Haji di Mekah mampu menempatkan seramai 7600 jemaah dari tiga (3) maktab ( Maktab 91, 92 dan 93 ). Tabung Haji menyediakan kaunter perkhidmatan, kaunter pengeluaran wang, klinik, farmasi dan doktor perubatan serta khidmat pos laju di dalam bangunan ini. Rawatan dan ubatan adalah percuma mengikut dua (2) sesi waktu sementara rawatan kecemasan adalah 24 jam. Kaunter pengeluaran wang disediakan secara on-line tidak perlu buku akaun tetapi hanya menggunakan maklumat pada kad haji jemaah yang dibuka hingga jam 10 malam setiap hari. Kantin makanan di tingkat bawah antara pilihan jemaah untuk mempelbagaikan selera selain makan tengahari dan malam yang telah disediakan secara paket oleh Tabung Haji.

Menginap di dalam bilik hotel yang tarafnya lebih kurang tiga (3) bintang berkongsi dengan empat (4) orang lagi dari berlainan negeri serta mempunyai perbezaan tabiat dan sikap adalah cabaran yang perlu dilalui dengan berhemah dan tolak ansur. Agak malang kepada jemaah yang terpaksa berkongsi bilik dengan mereka yang mementingkan diri sendiri serta tidak sensitif dengan jemaah lain. Ada jemaah yang agak tidak peduli dengan arahan tidak merokok dalam bangunan akan menambahkan lagi masalah pencemaran udara. Penularan penyakit batuk dan selsema menjadi sangat mudah merebak terhadap semua jemaah. Kita akan mendengar suara batuk menyahut-nyahut di antara jemaah ketika berkumpul beramai-ramai mendengar ceramah atau ketika sembahyang berjemaah. Popularnya penyakit batuk ini hingga menjadi buah mulut jemaah yang mengatakan 'hanya unta sahaja yang tidak batuk'.

Sementara menunggu hari Tarwiyah (sehari sebelum wukuf) iaitu dijangka pada 18hb. Disember 2007, ada jemaah yang melakukan banyak kali umrah sunat dengan bermiqatkan di Tanaim (Kira-kira 5 km dari Masjidilharam) atau Ja'aranah (kira-kira 25 km dari Masidilharam). Biasanya jemaah akan menaiki van yang memuatkan seramai 15 orang dengan tambang 10 Rial Saudi (bersamaan RM 9.00) seorang pergi balik dari maktab ke Tanaim. Jemaah perempuan sering diingatkan bahawa perlu berhati-hati menaiki kereta sapu malah dilarang sama sekali pergi bermiqat tanpa ditemani suami atau mahram lelaki lain. Jemaah lelaki dinasihatkan menaiki kenderaan terlebih dahulu semasa bertolak pergi dan akan turun kemudian semasa tiba ke destinasi. Cerita jemaah perempuan dilarikan oleh kenderaan tumpangan sudah menjadi perkara bualan biasa di sini.

Laluan antara maktab dan Masjidilharam dipenuhi dengan deretan kedai dan kereta sorong bergerak yang menjual pelbagai barang dari serata pelusuk dunia. Barang-barang murah dan tiruan sangat banyak dijual di sini terutama barang-barang dari negeri Cina dan India. Tasbih dan kopiah yang boleh dibeli dengan harga RS 1.00 adalah cukup murah kepada jemaah dari negara kita. Kita mungkin hairan bagaimana sebuah jam tangan yang menyerupai jam jenama terkenal boleh dibeli hanya dengan RS 5.00?. Jemaah dari negara kita sangat popular kepada para pekedai dan penjual barangan kerana bersikap pemurah, lemah lembut dan mesra. Sikap suka membeli akan menampakkan jemaah kita berada di mana-mana saja malah pada semua waktu jualbeli dijalankan. Bagaimanapun dalam banyak keadaan, kita jangan terperanjat jika mendapat layanan yang kasar dari jurujual dan harga barangan yang berubah-ubah pada berlainan masa. Jurujual di kedai kebanyakan berbangsa Bangladesh menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama selain bahasa Arab, Urdu dan lain-lain bahasa dari Afrika. Kelakarnya jurujual juga kadangkala berinteraksi dengan jemaah dari lain-lain negara bukan Nusantara menggunakan bahasa Melayu apabila menyebut harga barangan jualannya.

Jemaah Nusantara terutama dari negara Indonesia berbahasa Melayu adalah yang teramai sekali berbanding semua negara-negara Islam di dunia. Dinyatakan pada tahun ini, Indonesia menghantar lebih dari 260 ribu jemaah untuk mengerjakan haji. Kuota satu (1) peratus bagi purata penduduk Islam bagi sesebuah negara di dunia adalah had jumlah jemaah yang dibenarkan visa mengerjakan haji untuk negara tersebut. Jemaah Indonesia akan terlihat di mana-mana sahaja mengikut wajah dan corak pakaian terutama pada laluan dari tempat tinggal mereka menuju ke Masjidilharam.

Setiap hari jemaah semakin ramai yang baru tiba dari merata negara. Kita akan merasa kesesakan di Masjidilharam semakin ketara. Kalau sebelum itu kita mungkin datang ke Masjidilharam setengah jam sebelum tiba waktu solat dengan mudah mendapat tempat untuk bersembahyang di dalam terutama kawasan pintu masuk Babussalam tetapi ketika ini satu jam sebelum waktu solat belum tentu kita dapat masuk atau hanya dapat bersembahyang di sekitar luar Masjidilharam atau di kawasan-kawasan laluan pejalan kaki. Pengalaman keluar masjid selepas solat fardhu mungkin menakutkan jika jemaah tidak sabar dan bertolakan di mana kesesakan berhimpit di pintu-pintu keluar boleh mengakibatkan kecederaan atau terpijak. Kita terpaksa menunggu sehingga 20 hingga 30 minit sebelum keadaan kesesakan berkurangan dan dapat keluar dengan mudah.

Tahun ini Masjidilharam sedang dalam penambahan ruang sa'ie dan ruang solat di mana kebanyakan pintu keluar masuk sebelah laluan sa'ie ditutup. Hanya pintu Marwah dan pintu Safa sahaja yang dibuka maka jemaah yang tinggal dan datang dari bahagian ini terpaksa berdepan dengan kesesakan yang teruk ini. Kesesakan juga berlaku ketika tawaf di lantai Ka'abah. Pengalaman Penulis mengerjakan umrah pada tahun 2001 bulan Mei, mengeliling Ka'abah untuk tujuh (7) pusingan hanya memakan masa lebih kurang 10 minit tetapi tidak untuk waktu-waktu musim haji ini. Untuk menghabiskan tujuh (7) pusingan tawaf ketika ini memakan masa lebih dari satu setengah jam. Sepanjang masa selama 24 jam, jemaah tetap ramai dan kita tiada peluang untuk mencari waktu lapang atau tidak sesak. Ketika ini kita diuji supaya banyak bersabar dan menumpukan pada ibadah tawaf.

Pusingan tawaf boleh dilakukan pada tingkat satu (1) dan di lantai bumbung masjid tetapi kawasan yang luas menyebabkan jaraknya menjadi jauh juga memakan masa yang lama untuk menghabiskan tujuh (7) pusingan itu. Jika diperhatikan, melakukan tawaf di tingkat satu (1) dan lantai bumbung tidak beberapa popular bagi jemaah dari negara kita tetapi kawasan atas bumbung ini sangat menarik buat tempat solat terutama waktu solat Maghrib dan Isyak. Ia berangin, segar, tidak panas dan terasa lapang apabila di atas kepala kita hanyalah langit luas dan jika langit cerah kita akan melihat taburan bintang-bintang yang menimbulkan suatu perasaan kesyahduan terutama waktu selepas Maghrib menanti masuk solat Isyak.

Masjidilharam yang besar dan luas serta mempunyai berpuluh-puluh pintu keluar masuk boleh mendatangkan kekeliruan malah boleh tersesat jika tidak benar-benar diambil perhatian. Meskipun setiap pintu ada dicatatkan nombor dan nama-nama tertentu tetapi rekabentuk yang sedemikian rupa dan sama berulang-ulang masih boleh mengelirukan tempat duduk sebenar. Oleh itu, ramai jemaah yang tidak berani meninjau-ninjau keseluruhan masjid atau hanya mengikut pintu dan jalan yang sama setiap hari.

Kesukaran mungkin timbul kepada jemaah yang batal air sembahyang ketika berada di dalam masjid jika beliau hanya biasa mengambil wuduk seperti berada di tanah air. Di dalam masjid air zam zam untuk minum disediakan dalam tong-tong plastik dan diletakkan di merata-rata tempat untuk jemaah. Ada jemaah yang mengisi air zam zam ini ke dalam bekas botol-botol air mineral setiap kali mahu pulang untuk kegunaan sendiri. Hanya kuasa Allah SWT sahaja yang tahu betapa air zam zam ini dapat menampung kegunaannya yang banyak sekali berbanding telaganya yang tidak seberapa besarnya (Penulis berpeluang melihat telaga ini ketika mengerjakan umrah pada tahun 2001 tetapi sekarang kawasan telaga telah ditutup dan sebelah atasnya dijadikan ruang sembahyang).

Sistem pembesar suara di Masjidilharam adalah yang terbaik apabila kita akan mendengar dengan jelas bacaan imam ketika solat walaupunpun kita duduk di mana-mana sudut di dalam atau luar masjid. Imam akan berubah-ubah tempat pada waktu-waktu solat fardhu. Dua (2) tempat yang sering digunakan oleh imam ialah di sudut Rukun Yamani dan berhampiran Makam Ibrahim. Oleh kerana Ka'abah adalah pusat kiblat maka kita boleh melihat jemaah yang bersolat bertentangan sebelah hadapan seolah-olah menghadap ke arah kita. Uniknya jemaah lelaki dan perempuan kelihatan bersolat bersebelahan tanpa dinding atau tirai. Kelihatan petugas-petugas masjid tidak membenarkan jemaah lelaki dan perempuan duduk bersebelahan ketika bersolat namun kesukaran mengasingkan ketika musim haji seringkali menggagalkan arahan itu. Keadaan ini hanya berlaku di Masjidilharam tetapi tidak berlaku di masjid Nabawi di Madinah.

Di dalam Masjidilharam menjadi pandangan biasa melihat jemaah bersolat atas tangga, terperosok balik tiang, atas tembok pembahagi, berhimpit-himpit mendapatkan sedikit ruang begitu juga keadaan di luar Masjidilharam, ada jemaah yang bersolat berhampiran tandas dan di tengah-tengah laluan. Jemaah melangkah dan melintas di hadapan jemaah lain yang sedang solat malah ada jemaah yang langsung tidak menanggalkan seliparnya menjijak sejadah atau kain serban untuk lapik ketika sujud tanpa rasa bersalah!..Allahuakbar!. Bagaimanapun masjid tidak menjadi kotor apabila kerja mencuci kerap dilakukan oleh para petugas yang sentiasa berada di semua sudut masjid.

Di bumi barakah ini, selama sebulan Penulis berada di sini tidak sedikit pun hujan yang turun. Tiada berlaku masalah catuan air. Tiada unggas perosak seperti nyamuk dan lalat malah semut tidak kelihatan walaupun lebihan makanan atau minuman terbiar beberapa lama di lantai. Kita boleh menjemur daging mentah di atas bumbung misalnya tiada lalat atau langau yang mengerumuni. Daging akan kering begitu sahaja seolah-olah tiada bakteria yang merosakkannya. Tiada ternakan ayam atau kambing atau binatang-binatang lain berkeliaran di tanah haram ini. Cuma burung merpati dan belalang juta yang berterbangan di luar masjid malah ada jemaah yang memberi makan kepada burung-burung ini terutama di kawasan berhampiran Maktab Nabi (dikatakan tempat kelahiran Rasulullah SAW).

Setiap kali ketika pulang dari Masjidilharam kelihatan ramai peminta sedekah terdiri dari kanak-kanak dan perempuan menggendung anak kecil berkulit hitam duduk di tengah-tengah laluan orang ramai sambil melaung-laungkan bahasa yang tidak difahami. Mereka ini akan mengerumuni jemaah yang ingin bersedekah wang malah akan mengikut sehingga beberapa jauh sebelum mendapat wang sedekah dari jemaah itu. Peminta sedekah ini akan bertempiaran lari apabila melihat kedatangan polis berunifom atau pihak berkuasa yang berpakaian biasa. Bagaimanapun sikap jemaah yang suka bersedekah tidak dapat menghapuskan peminta-peminta ini. Sedekah makanan dari penduduk tempatan biasanya didatangkan dengan kotak-kotak yang agak banyak. Contoh sedekah makanan pada waktu selepas Subuh dan Maghrib oleh Raja Fahd sebanyak dua (2) treler setiap kali waktu itu. Orang ramai beratur untuk mendapatkan agihan makanan itu tanpa menunggu lama untuk menghabiskannya.

Sementara menunggu hari wukuf yang masih lama lagi, sebilangan jemaah pergi bermiqat untuk mengerjakan umrah sunat. Jemaah yang tiada bermasalah dengan kesihatan dan mempunyai tenaga yang cukup boleh melakukannya setiap hari. Namun dinasihatkan kepada jemaah terutama yang telah berusia supaya tidak terlalu kerap mengerjakan ibadah sunat tersebut kerana dibimbangi jatuh sakit ketika tiba waktu rukun dan wajib menjalankan ibadah haji. Waktu yang agak panjang sebelum ketibaan wukuf patut digunakan bagi menjaga kesihatan supaya bersedia menghadapi cabaran mengerjakan haji nanti. Ketika ini klinik yang disediakan sentiasa penuh dengan jemaah yang memerlukan rawatan. Diberitahu 26 ribu botol ubat batuk yang dibekalkan telah ditambah stoknya. Penyakit batuk akan berulang tidak berapa lama selepas rawatan kerana jemaah tidak dapat mengelak daripada berada dalam kumpulan jemaah lain yang mengidapnya. Di jalan-jalan atau laluan pejalan kaki dan tong-tong sampah seumpamanya akan kelihatan ludahan orang ramai. Pada mulanya mungkin kita merasa amat jijik dan meloyakan namun setelah sekian hari melihatnya perasaan itu menjadi lali dan tidak kesah lagi.

Notis hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) telah dimaklumkan jatuh pada 17hb Disember 2007 (Selasa) di mana hari itu jemaah akan bertolak ke Arafah dari maktab atau tempat penginapan masing-masing secara berperingkat. Biasanya selepas waktu zohor jemaah diminta berkumpul mengikut kumpulan yang telah diatur untuk menaiki bas serta bergerak menuju ke Arafah yang jauh lebih kurang 21 km dari Masjidilharam. Ketika ini semua jemaah perlu berniat mengerjakan haji dan memakai pakaian ihram. Kerajaan Saudi yang mengambil alih perkhidmatan sistem pengangkutan (tarruddiah) terhadap semua pergerakan jemaah telah menggunakan beribu-ribu buah bas di mana kelihatan jalanraya yang menuju ke Arafah pada waktu ini sangat sibuk. Ada bas yang mengisi jemaah hingga atas bumbung malah terdapat lori tanpa bumbung yang membawa jemaah sesak berdiri seumpama menghantar lembu untuk korban! MasyaAllah!. Keadaan seperti ini tidak berlaku kepada jemaah negara kita. Penulis percaya pihak Tabung Haji akan dihentam dengan teruk jika ada jemaah negara kita yang dibiarkan menghadapi keadaan seumpama itu.

Apabila sampai di Arafah, jemaah ditempatkan dalam khemah-khemah yang dhaif berlantaikan karpet atas padang pasir mengikut pembahagian maktab masing-masing. Tiada bantal dan tilam, hanya beg kecil dan tikar plastik yang dibawa sebagai alas untuk duduk dan tidur. Keadaan kelam dan sejuk waktu malam serta suara batuk-batuk jemaah terpaksa dialami sehingga keesokannya. Pantang larang dalam ihram perlu dijaga supaya tidak dikenakan Dam. Tandas bersekali shower untuk mandi disediakan dalam kadar 50 buah untuk kegunaan setiap 2000 jemaah.

Suasana tinggal bersesak dalam tempat sebegini menyedarkan jemaah bahawa kita semua tiada berbeza dan tidaklah sehebat mana. Di sini gelaran pangkat hanya panggilan kepada jemaah yang mengenalinya sahaja. Jemaah seharusnya melakukan banyak aktiviti sunat seperti solat sunat, berzikir, berdoa dan mendengar ceramah agama sehingga datang waktu zohor kerana selepas gelincir matahari pada hari 9 Zulhijjah adalah dianggap telah masuk waktu wukuf di Arafah. Ibadat wukuf di Arafah adalah perkara rukun yang mesti dilakukan oleh semua jemaah jika tidak ibadah hajinya menjadi tidak sah.

Malamnya jemaah mula bergerak dengan menaiki bas yang berulang-alik mengangkut penumpang ke Muzdalifah untuk bermabit (bermalam) sambil mengutip batu-batu kecil bagi persediaan ibadah melontar tiga jamrah di Mina nanti. Jemaah diturunkan dari bas di suatu padang yang dikelilingi bukit-bukit berbatu yang suasananya agak gelap sementara menunggu waktu tengahmalam bagi bergerak seterusnya ke Mina. Kawasan yang agak sempit dan terdedah dipenuhi dengan beratus-ratus ribu jemaah pada satu-satu masa agak mencabar kesabaran ramai jemaah. Dikhabarkan musim haji tahun lalu, ada jemaah yang meninggal dunia akibat kesejukan yang ketara di sini. Penulis sendiri dapat membayangkan bagaimana suasana kesejukan itu boleh menjejaskan ketahanan sebahagian jemaah yang hanya memakai pakaian ihram. Kebetulan kali ini apa yang dialami oleh ramai jemaah negara kita adalah terkandas di Muzdalifah kerana pengangkutan bas yang tidak mencukupi. Pengangkutan jemaah ke Mina sepatutnya selesai sebelum subuh telah berlanjutan sehingga kira-kira jam tiga (3) petang keesokannya. Jarak antara Muzdalifah ke Mina tidaklah sejauh mana iaitu lebihkurang enam (6) kilometer tetapi jemaah yang tidak biasa dengan jalanraya malah tidak dibenarkan untuk berjalan kaki mengakibatkan ramai yang terkandas di situ sehingga lewat 14 jam.

Jemaah yang sudah sampai di Mina telah ditempatkan dalam khemah-khemah kalis api berwarna putih berhawa dingin yang tersusun rapi di mana ruang yang berukuran 10 kaki x 10 kaki dimuatkan seramai 16 orang jemaah. Khemah lelaki dan perempuan diasingkan. Makanan dan minuman disediakan oleh pihak muasasah. Bagaimanapun di Mina terdapat banyak kedai dan penjual-penjual bergerak yang menawarkan pelbagai barangan yang menarik untuk dibeli.

Pada 10 Zulhijjah (hari Nahar @ Raya Haji) waktu Dhuha, jemaah mula melontar di Jamrah Kubra (dulu dipanggil Aqabah) untuk membolehkan bertahallul awal (membebaskan diri 10 dari 13 larangan dalam ihram). Jemaah negara kita dinasihatkan melontar pada waktu malam supaya tidak bertembung dengan ramai jemaah dari negara luar yang suka melontar pada waktu-waktu siang terutama waktu pagi. Bagaimanapun tempat melontar yang dibina bertingkat kali ini serta kemudahan laluan pergi dan pulang tidak pada jalan yang sama dapat mengelakkan berlaku kesukaran dan tragedi yang tidak diingini. Jemaah akan bermalam di Mina sebanyak empat (4) malam untuk menyelesaikan ibadah melontar pada hari-hari Tasyrik iaitu hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah di tiga (3) jamrah iaitu Sughra (dulu dikenali sebagai Ula), Wusta dan Kubra. Jemaah akan berjalan kaki dari khemah ke tempat melontar yang jaraknya mencapai 2.5 km sehala. Kekuatan fizikal sangat diperlukan namun apabila kita berjalan bersama-sama orang yang ramai begitu, kita seolah-olah tidak merasa sangat letihnya. Ketika ini kelihatan sebahagian besar jemaah lelaki membotakkan kepala ketika bertahallul awal dan tidak lagi memakai pakaian ihram. Mungkin ada jemaah yang belum pernah membotakkan kepalanya akan merasai suatu pengalaman baru melihat bentuk kepala tanpa rambut.

Pada hari 13 Zulhijjah selepas melontar pada waktu pagi, jemaah negara kita mula bertolak ke Masjidilharam untuk mengerjakan tawaf dan sai'e haji. Sekali lagi jemaah terpaksa melalui kelewatan bas pengangkutan dari Mina ke Mekah. Penulis telah mengambil inisiatif mencari kenderaan lain untuk membawa keluarga keluar dari Mina sebelum malam. Selepas Isyak malam 14 Zulhijjah , Penulis menyudahkan tawaf dan sai'e haji di Masjidilharam.

Alhamdulillah..perkara-perkara berkaitan ibadah haji dapat ditunaikan mengikut daya dan kemampuan sebaik mungkin. Penulis berharap dan berdoa semoga Allah SWT menerima ibadah ini serta menganugerahkan haji yang mabrur di mana ganjarannya sangat besar dan diberikan keampunan segala dosa-dosa yang telah dilakukan. Amin.

Mencari Keampunan

AllahuAkbar.

Pada suatu ketika perjalanan hidup kita akan sampai penghujungnya. Meskipun penghujung itu kita tiada daya untuk mengetahuinya. Sebelum sampai pada waktu itu, adakah kita sentiasa sedar atau alpa atau leka dengan kesibukan hidup mengisi nafas dan nafsu selera seolah-olah kita tidak akan menutup mata selamanya. Kita disibukkan dengan kerja dan karier, jawatan dan cita-cita, hal diri dan keluarga malah pelbagai warnawarni kehidupan yang mengasyikkan. Kesibukan ini jika tidak ditangani dengan kebijaksanaan akan menghasilkan suatu suasana kehidupan yang menggambarkan nilai hidup dan ke mana arah tujuannya. Cuba kita bermuhasabah kepada diri kita sendiri, lihat jadual hidup seharian iaitu dari waktu kita bangun tidur sehinggalah kita kembali tidur semula. Dari hari pertama minggu hingga hari penghujung minggu. Cuba bayangkan bahawa kita telah melaluinya bertahun-tahun. Jika dihitung secara statistik, kita pasti mendapat jawapannya di mana sebenarnya kita mengisi kehidupan ini.

Sesungguhnya keseronokan hidup ini akan menjuruskan seseorang itu ke arah kelekaan yang amat sukar untuk diubah haluannya atau tabiat kesukaannya itu. Nafsu tidak puas dan tidak merasa cukup adalah perkara lumrah yang ada pada diri seseorang itu yang menghambat dirinya tidak pernah merasa letih untuk mengaut serakah keduniaan ini. Umpama seseorang mencari kekayaan yang pasti tiada ukuran penghujung kekayaannya. Rasulullah SAW memaksudkan bahawa seseorang yang menyukai kekayaan itu tidak akan puas meskipun telah diberikan sebuah tasik emas kepadanya di mana ia akan meminta lagi selepas itu.

Sedarkah kita bahawa usia kita tidak mengundur ke belakang?. Kita semakin tua! Ketuaan usia yang tiada penawarnya. Jika kita boleh mengatakan usia tua adalah suatu penyakit maka penyakit ini tiada ubatnya. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawa semua penyakit yang diturunkan oleh Allah SWT ada ubat atau penawarnya kecuali penyakit tua.

Jadi pada kesempatan yang masih ada, mari kita menyeru kepada diri kita sendiri sebelum kita menyeru kepada orang lain bahawa kita patut sedar dan tidak harus berlengah lagi untuk memohon keampunan kepada Allah SWT Yang Maha Menciptakan. Kita perlu bertaubat dan menginsafi diri bahawa kita ini sangat kerdil di sisi-NYa. InsyaAllah, memohon keampunan kepada Allah SWT Yang Maha Pengampun akan menjadi penawar kehidupan kepada lebih ceria dan bermakna kerana kita yakin Allah SWT amat menyukai kepada makluknya yang sentiasa menginsafi dirinya.

Sesuai dengan perintah Al-Quran yang menyeru supaya manusia yang beriman bertaubat dengan sebenar-benarnya. Di antara perintah yang paling tegas untuk melaksanakan taubat seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".
( At-Tahrim: 8 )

Kefahaman dari firman itu, mewajibkan kita bertaubat dan berusaha memburu dua (2) perkara iaitu menghapuskan dosa-dosa dan menambahkan amalan jalan ke syurga.
Seorang muslim amat memerlukan penghapusan dosa-dosanya kerana manusia dengan sifat kemanusiaannya yang tidak terbebas dari melakukan kesalahan-kesalahan. Asal usul pembentukan manusia dari unsur tanah berasal dari bumi manakala unsur roh yang berasal dari langit menjadikan salah satunya menarik ke bawah sementara sebahagian lagi menarik ke atas. Bahagian pertama yang menarik dan dapat menenggelamkan manusia menjadi perangai binatang atau lebih buruk lagi sementara bahagian kedua yang menarik dan dapat mengangkat manusia ke atas bersama barisan para malaikat atau lebih tinggi daripada itu.

Oleh kerana manusia dapat melakukan kesalahan dan dosa maka kerana itu juga manusia memerlukan taubat dan memohon keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT bersifat Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

Walillahilham.

Khamis, Januari 17, 2008

Penulis Pulang Dari Tanah Suci

Alhamdulillah, Penulis sudah kembali semula ke tanah air pada 13hb. Januari 2008. Selama berada di sana Penulis merasai pelbagai pengalaman dan suasana yang menarik serta berbeza antara pengalaman seseorang antara satu sama lain. Penulis bersyukur atas kurniaan kesihatan yang baik dan dapat menjalani semua rukun ibadah haji serta masih sempat menunaikan beberapa umrah sunat. Perjalanan pergi dan balik yang dikurniakan Allah SWT kepada Penulis dengan selamat adalah anugerah kehidupan yang sangat besar dan Penulis juga berharap segala perkara rukun dan wajib yang dilakukan ketika mengerjakan haji diterima serta dikurniakan haji yang mabrur oleh Allah SWT.
InsyaAllah, Penulis akan mula menulis semula beberapa hari lagi memandangkan ketika ini kelesuan dan waktu tidur masih lagi dalam proses perubahan.

Selasa, Januari 15, 2008

Seruan Awal Kehidupan

Kita sebagai manusia mempunyai tanggungjawab menyeru mengerjakan ibadah dan jalan kebaikan terhadap diri sendiri sehingga kepada orang lain yang tersenarai mengikut susunan asnafnya. Seruan mengerjakan sembahyang dan berbuat baik perlu digilap dan diulang berkali-kali sepanjang hayat. Hakikatnya jika seruan sentiasa didengari oleh diri kita dan orang lain, setidak-tidaknya ia berkesan membuka jalan amalan yang akan dipraktikkan secara berterusan. InsyaAllah, jika kelembutan yang ditiupkan ke telinga sesiapa juga pun maka ia pasti melunturkan kekerasan dan kedegilan walaupun hanya sekelumit. Kehidupann kita pasti ada penghujungnya meskipun kita dirahsiakan waktunya namun menyambut seruan beserta amalan kebaikan adalah pasti membantu kita ketika waktu selepas kematian. Jadi sedarlah kita bahawa kehidupan ini sangat singkat tempohnya berbanding kita menggunakannya sebagaimana rupa.

Khamis, November 22, 2007

Penulis ke Tanah Suci

Penulis mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada anda semua yang mengikuti blog ini sementara ketiadaan post baru yang muncul kerana Penulis akan ke tanah suci untuk menunaikan haji. InsyaAllah, Penulis akan berangkat pada 30hb. Nov. 2007 ini. Penerbangan KT 56 terus ke Makkah dan berharap dapat melakukan Haji Tamatuk. Penulis akan kembali semula ke tanah air pada 12hb. Januari, 2008. Penulis berdoa semoga dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna beserta kesihatan yang baik dan sentiasa berharap Allah SWT menganugerahkan haji yang mabrur. Allahu Akhbar.

Penerbangan yang pasti pada suatu ketika mendarat jua..

Rabu, November 07, 2007

Musim Haji

Ketika Syawal diraikan dengan majlis jemputan dan jamuan, kita sebenarnya telah diseru untuk mempersiapkan diri dalam satu tuntutan Rukun Kelima yang wajib kepada sesiapa yang berkemampuan mengerjakannya. Tarikh 1 Syawal sehingga 13 Zulhijah adalah dianggap bulan-bulan haji di mana sesiapa yang memakai ihram dan berniat dengan sedar di dalam bulan-bulan ini maka ia tertakluk dalam larangan-larangan yang perlu dipatuhi kerana jika tidak ia akan dikenakan bayaran Dam atau denda mengikut ketentuannya.

Seorang Islam seharusnya mempunyai niat dan keinginan untuk menunaikan haji. Keinginan ini perlu disemai dan ditanam dalam hati sehingga pada suatu ketika di mana ia berkemampuan untuk menunaikannya maka ia sudahpun bersedia untuk itu.

Kemampuan yang bermaksud:

1. Mempunyai cukup wang perbelanjaan semua yang berkaitan menunaikan haji.

2. Mempunyai tahap kesihatan yang sihat dalam melakukan aktiviti ibadah haji.

3. Mempunyai pengetahuan dan memahami perkara-perkara rukun, wajib dan sunat ketika menunaikan haji.

Seseorang Islam yang telah mencukupi tiga (3) kemampuan tersebut adalah dituntut dan menjadi satu kewajipan baginya supaya pergi ke Mekah untuk menunaikan haji sekali dalam seumur hidupnya. Kewajipan ini tertanggung ke atasnya sehingga ia menunaikannya melainkan ia terhalang oleh sesuatu perkara seperti:

1. Tiada kemudahan kenderaan untuk pergi dan balik ke Tanah Haram
2. Keadaan membahayakan keselamatan diri dan tidak aman baginya (berlaku perang, gempa bumi, banjir dsb).
3. Tidak mempunyai cukup perbelanjaan asas terhadap orang-orang yang di bawah tanggungannya.

Semua yang tersebut itu adalah menjadi kewajipan yang tertanggung ke atas seseorang yang mengaku muslim di mana ia akan menjadi syarat-syarat wajib haji iaitu:

1. Islam (Orang kafir tidak diwajibkan menunaikan haji)
2. Baligh (Cukup umur di mana jika kanak-kanak menunaikan haji dikira sah sebagai haji sunat)
3. Berakal (Orang gila tidak diwajibkan menunaikan haji)
4. Merdeka (Seorang hamba tidak diwajibkan menunaikan haji..masih adakah lagi hamba pada masa sekarang ini?)
5. Istito'ah atau berkemampuan menunaikan ibadat haji.

Setiap orang Islam sudah diberikan peraturan beribadah yang perlu diikuti selagi ia mempunyai kemampuan kerana Islam itu sendiri tidak membebankan penganutnya dengan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukannya. Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menerima kedatangan umat manusia yang beriman ke rumah-Nya pada musim haji ini sepertimana laungan-laungan talbiah: 'Labbaikallahummalabbaik, Labbaikalaa Syariikalakalabbaik, Innalhamda Walni'kmata, lakawalmul Laasyariikalak' Maksudnya: Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, ni'kmat dan kekuasaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu'

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah