Tiap tahun ada sambutan..paling tidak pun, ada keluarga yang beli kek..kemudian potong2, agih-agihkan dan makan.
Ulang tahun jadi suami isteri.
'Dah 22 tahun laa'...mama cakap.
Tahun ini ada nilai sentimental sikit.
Anak2ku di universiti,
Sebenarnya, ayah sengaja pilih tarikh itu untuk hantar Kak Su.
Tiket kapal terbangnya..dah lama ayah tempah pakai online booking.
Seminggu sebelum, Ayah panggil jemaah surau baca yasin dan doa selamat di rumah. Mama pula masak sendiri buat roti macam yang kita beli dekat Carefour. Roti dicicah dengan sup daging..sangat enak. Ramai tetamu memuji masakan Mama. Lebih 150 biji...habis semua.
Malam itu, Kak Su dapat banyak juga duit pemberian keluarga kita. Auntie Arah bagi kain cadar. Auntie Sal bagi kerongsang bunga besar! Mama pulak dah siap beli loket emas dari Habib...Kak Su menangis terharu menerima semua pemberian itu. Saudara mara ambil gambar-gambar dan mengusik-usik Kak Su.
Asnad masih ok malam itu. Macam tiada apa-apa.
Anak2ku di universiti,
Ayah dah lama agak...khidmat Kak Su yang terbaik di samping kasih sayang yang dicurahkan kepada kita dan keluarga lain terbukti meninggalkan kesan yang mendalam. Asnad yang selalu dimanjakan sehingga makan pun bersuap, akhirnya turut menangis semasa di KLIA. Semua yang menghantar Kak Su terkedu dan terharu. Hanya Wan yang tidak mengalirkan airmata. Ayah juga sedih, terasa kepayahannya jika Kak Su tiada.
Kak Su pulang ke kampungnya kali ini agak berbeza dengan yang lepas-lepas. Ada kemungkinan Kak Su tidak berpeluang kembali bersama kita lagi. Kak Su dah ada suami dan mempunyai tanggung jawab kesetiaan yang mutlak. Dalam majlis baca yasin malam itu, Ayah ada berucap kepada hadirin bagi mendoakan keselamatan Kak Su semasa pulang ke sana namun Ayah hanya melontarkan persoalan samada Kak Su dapat balik ke sini ataupun tidak.
Bukan Asnad saja, Ayah juga terpaksa membiasakan diri atas kerja-kerja dapur dan membasuh pakaian. Rutin ini sebenarnya dah lama Ayah tak buat. Dulu masa anak2ku masih kecil, kerja-kerja ini menjadi kebiasaan. Ketika Ayah pulang dari kerja, sebelah petang...dah jadi tugas membasuh dan menjemur pakaian termasuk lampin kamu semua. Ketika itu kita tinggal di rumah teres agak kecil...Ayah guna kayu penyangkut untuk menjemur dan menggantungkan pakaian di porch depan rumah. Ada jiran yang memandang dengan tersenyum sinis mungkin kelakar apabila nampak Ayah menjemur pakaian termasuk pakaian dalam Mama.
Lepas itu kita dapat Tok Ngah duduk dengan kita selama 8 tahun. Ketika Ayah hentikan khidmatnya...kita tidak terasa seperti ini.
Kak Su sangat baik orangnya. Anak2ku mungkin tidak ingat lagi semasa Kak Su datang dulu...bawa satu beg pakaian saja. Selama 11 tahun, Kak Su duduk dengan kita, terdidik dengan tidak secara langsung bersama kamu semua. Ayah percaya, Kak Su bekerja lama dengan kita dan tidak pernah ada masalah dengannya. Kak Su buat semua tanpa merungut dan beres.
Semasa kita berada di KLIA semuanya ok lagi. Selepas Kak Su hilang melewati kaunter pemeriksaan pasport...jelas Asnad tidak dapat bertahan lagi. Airmatanya menitis. Angah yang naik satu kereta dengan Ayah sampai teresak-esak. Along hanya mengesat-ngesat pipi dengan memandang ke tempat lain.
Anak2ku semua!
Kita semua berasa sedih dan terharu dengan perpisahan ini tetapi kita juga harus menerima hakikat bahawa setiap pertemuan itu akan ada perpisahan. Tidak salah untuk kita menangis dan mengeluarkan airmata apabila berlaku suasana seperti perpisahan ini. Bukti kita ikhlas dan menyayangi seseorang menjadikan kita lebih emosional dan menggambarkan perasaan terpendam. Airmata adalah luahan perasaan!.
Ayah sangat berharap, kesayuan ini menjadikan kita lebih kuat meneruskan kehidupan jati diri.
Selamat pulang Kak Su!.
*sentimental untuk Mama, Along, Angah, Adik n Asnad.