Ahad, Februari 01, 2009

3 Surah Pendinding Diri

Al-Faatihah--Surah awal Al-Quran yang wajib dibaca semasa solat.


Surah yang paling asas yang patut semua orang yang beriman menghafal dan membaca serta memahami sekurang-kurangnya maksud ayat tersebut.

Kekuatan ayat ini seharusnya sudah menguasai diri seseorang dalam mengagungkan Allah SWT. Kemana sahaja beliau pergi, beliau sentiasa sedar bahawa Allah SWT sentiasa bersamanya.

Manusia hendaklah sentiasa patuh dan tunduk di bawah kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Ayat ini juga membawa kita supaya sentiasa yakin bahawa hanya pertolongan datangnya dari Allah SWT dan atas kebenaran-Nya, permintaan itu dimakbulkan (ditunaikan).

Allah SWT menghantar firman-Nya kepada manusia supaya kepada-Nya sahaja tempat bergantung dan mengharap.

Ayat ini juga lengkap dengan doa agar Allah SWT menetapkan keimanan kita supaya sentiasa berada dalam jalan yang benar dengan menjauhkan kita dari jalan keingkaran seperti ingkarnya [Takrif Kamus Dewan Edisi Empat: 1. tidak membenarkan (mengaku), menafikan, menyangkal, mungkir. 2. enggan, tidak menurut, tidak mahu] orang-orang Yahudi dan juga menjauhkan kita dari jalan yang sesat seperti sesatnya [Takrif Kamus Dewan Edisi Empat: 1. tidak mengikut jalan yang betul, tersalah (tersilap) jalan. 2. tersalah, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dan lain-lain), menyimpang dari jalan yang benar] orang-orang Nasrani (Kristian).

AL-FAATIHAH (PEMBUKAAN) Surah 1 : 7 ayat

1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang[*1]


2. Segala puji[*2] bagi Allah, Tuhan semesta alam[*3]

3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

4. Yang menguasai[*4] hari pembalasan[*5]



5. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah[*6] dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan[*7]

6. Tunjukilah[*8] jalan yang lurus

7. (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi)*, dan bukan (pula) mereka yang sesat (Nasrani)*.



Petunjuk:

*1...Tiap-tiap pekerjaan yang baik itu hendaklah dimulai dengan menyebut nama Allah. Contoh: Sebelum makan, minum, menyembelih binatang dan sebagainya.

Allah: Ialah nama Zat yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya; yang tidak memerlukan kepada makhluk-Nya tetapi makhluk itu yang memerlukan-Nya.

Ar-Rahman (Maha Pemurah): Salah satu nama Allah yang memberi pengertian bahawa Allah melimpahkan kurnia-Nya kepada makhluk-Nya. Manakala,


Ar-Rahim (Maha Penyayang): Salah satu nama Allah yang memberi pengertian bahawa Allah sentiasa bersifat rahmat yang menyebabkan Allah selalu melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya.

*2...Alhamdu (segala puji) : Menyanjung Allah kerana perbuatan-Nya yang baik. Kita menghadapkan segala puji kepada Allah kerana Allah adalah sumber dari segala kebaikan yang patut dipuji.


*3...Rabb (Tuhan) bermaksud: Tuhan yang ditaati Yang Memiliki, Mendidik dan Memelihara. Ucapan 'rabb' tidak boleh digunakan selain untuk Allah kecuali jika ada sambungannya seperti 'rabbul-bait' (tuan rumah).


'Aalamiin (semesta alam): Semua yang diciptakan oleh Allah terdiri dari pelbagai jenis dan macam seperti alam manusia, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan, benda-benda mati dan sebagainya.


*4...Maalik (Yang Menguasai), dengan memanjangkan 'mim' ia bermaksud: Pemilik (yang empunya). Jika dibaca sebagai Malik dengan memedekkan 'mim' ia bermaksud: Raja.


*5...Yaumiddin (hari pembalasan): Hari yang pada waktu itu semua manusia menerima pembalasan dari amalannya samada baik ataupun buruk. Yaumiddin juga disebut sebagai yaumulqiaamah, yaumulhisaab, yaumuljazaa' dan sebagainya.


*6...Na'budu diambil dari perkataan 'Ibaadat bermaksud: Kepatuhan dan ketundukan yang datang dari perasaan mengenai kebesaran Allah, sebagai Tuhan yang disembah kerana berkeyakinan bahawa Allah mempunyai kekuasaan yang mutlak terhadapnya.


*7...Nasta'iin (minta pertolongan) diambil dari perkataan isti'aanah bermaksud: Mengharapkan bantuan untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan yang tidak mampu diselesaikan dengan tenaga sendiri.


*8...Ihdina (tunjukilah kami) diambil dari perkataan hidaayat bermaksud: Memberi petunjuk ke jalan benar dan bukan sekadar memberi hidayah sahaja tetapi juga memberi taufik.


*.....Dimaksudkan dengan mereka yang dimurkai dan mereka yang sesat ialah semua golongan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Al-Ikhlash--Surah mengEsakan Allah SWT.


AL-IKHLASH (MEMURNIKAN KEESAAN ALLAH) Surah ke 112 : 4 ayat


1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa,


2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu,


3. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan,


4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"


Mukadimah ayat Al-Ikhlas:

Terdiri dari empat ayat. Ayat ini termasuk dalam ayat-ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Mekah). Ia diturunkan selepas ayat An-Naas. Dinamakan "Al-Ikhlas" kerana surah ini sepenuhnya menegaskan kemurniaan ke Esaan Allah SWT.


Pokok pengertian isinya:

Penegasan tentang kemurniaan ke Esaan Allah SWT dan menolak segala macam kemusyrikan dan menerangkan bahawa tidak ada sesuatu yang menyamai-Nya.

Sesungguhnya, di dalam diri kita ada keimanan yang membenarkan ke Esaan Allah SWT. Tiada sebarang keraguan lagi atau terlintas sebarang fikiran yang sebaliknya. Allah SWT, menurunkan ayat tersebut dengan arahan yang jelas.."Kul" yang bermaksud: Katakanlah..diikuti "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa". Allah yang maha berkuasa, berdiri dengan sendiri, yang tiada beranak dan diperanakkan.

Al-Kaafiruun--Surah pengawal diri bagi membezakan antara yang beriman dengan yang tidak beriman.

AL-KAAFIRUUN (ORANG-ORANG KAFIR) Surah ke 109 : 6 ayat

1. Katakanlah: "Hai, orang-orang yang kafir,

2. aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

3. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.

4. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.

5. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.

6. Untukmulah agamamu, dan untukkulah, agamaku"

Penerangan:

Surah yang diturunkan di Mekah (Surah Makkiyyah). Sebagai pendinding dan jawapan Rasulullah SAW kepada orang-orang kafir yang menentang Baginda. Ayat ini mengisyaratkan bahawa orang-orang kafir sudah berputus harap dan habisnya daya bagi menghalang Rasulullah SAW supaya meninggalkan dakwahnya.

Menjadi amalan membaca surah ini terutama ketika rakaat pertama dalam solat Maghrib. Pendinding kepada orang-orang beriman yang bergelumang dengan orang-orang kafir disekelilingnya terutama orang kafir yang jenisnya menentang Islam.

Tiada ulasan:

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah