Ahad, September 30, 2007

Surah Al-Baqarah (Sapi Betina) Ayat 1-5

Terjemahannya:

Ayat 1. Alif Laam Mim<10>

Ayat 2. Kitab<11> (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa<12>.

Ayat 3. (Iaitu) bagi mereka yang beriman<13> kepada yang ghaib<14>, yang mendirikan solat<15> dan menafkahkan sebahagian rezeki<16> yang Kami anugerahkan kepada mereka.

Ayat 4. dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu<17>, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat<18>.

Ayat 5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung<19>.

Pengertiannya:

10) Ialah huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surah-surah Al-Quran. Hanya Allah SWT yang tahu maknanya walaupun ada sebahagian ahli-ahli tafsir yang menafsirkannya sebagai nama surah atau untuk menarik para pendengar supaya memperhatikan Al-Quran atau mengisyaratkan bahawa Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang tersusun abjadnya.

11) Tuhan menamakan Al-Quran sebagai Al-Kitab yang bererti 'yang ditulis' sebagai isyarat bahawa Al-Quran diperintahkan untuk ditulis.

12) Takwa bermaksud memelihara diri dari siksaan Allah SWT dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya tidak cukup diertikan sebagai takut sahaja.

13) Iman ialah kepercayaan yang teguh disertai kepatuhan dan penyerahan jiwa. Tanda keimanan seseorang itu apabila ia menjalankan atau mengerjakan tuntutan iman itu sendiri.

14) Yang ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Kepercayaan kepada yang ghaib seperti mengiktikadkan adanya sesuatu 'yang maujud' meskipun ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini berdasarkan adanya dalil yang menunjukkan kepada wujudnya Allah SWT, Malaikat-malaikat, Hari Akhirat dan sebagainya.

15) Solat menurut bahasa Arab adalah doa. Menurut istilah syarak ia adalah ibadat yang sudah dikenali iaitu perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Perbuatan yang dilakukan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah SWT. Solat didirikan dengan tertib, melengkapi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, adab-adabnya dan memahami apa yang dibaca serta khusyuk.

16) Rezeki ialah segala apa yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki ialah memberikan sebahagian dari harta yang telah direzekikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang disyariatkan menerimanya seperti orang-orang fakir, miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan lain-lain.

17) Kitab-kitab yang diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW ialah kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran seperti Kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Syuhuf-shuhuf yang tersebut dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Rasul-rasul. Allah SWT menurunkan kitab dengan wahyu melalui perantaraan Malaikat Jibril AS dan disampaikan kepada Rasul.

18) Yakin ialah kepercayaan yang kuat dengan tidak mencampuri walau sedikitpun keraguan. Akhirat lawannya dunia. Kehidupan akhirat ialah kehidupan sesudah dunia berakhir. Yakin akan adanya kehidupan akhirat ialah benar-benar percaya akan adanya kehidupan selepas dunia berakhir.

19) Beruntung ialah orang-orang yang memperolehi apa yang dimohonkannya kepada Allah SWT sesudah mengerjakan amalan baiknya.

Rujukan: Al-Quran dan Terjemahnya
Kerajaan Arab Saudi tahun 1419H

Malam 17 Nuzul Al-Quran

Diriwayatkan bahawa Al-Quran itu diturunkan ke langit bumi ini pada malam ini. Dari Loh Mahfuz, Al-Quran diturunkan ke izzah bumi secara keseluruhan ayat-ayatnya (di mananya tempat ini hanya Allah SWT sahaja yang tahu). Kemudian secara sedikit demi sedikit ayat-ayat ini diturunkan kepada nabi kita Muhammad Rasullulah SAW. Jibril membawa ayat-ayat ini mengikut peristiwa supaya manusia mudah menerima dan memahaminya tidak secara sekaligus. Al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup kepada manusia. Mereka tidak akan sesat jika menjalani kehidupan dalam semua perkara dengan menjadikan Al-Quran sebagai bahan rujukannya. Rasulullah SAW telah bersabda kepada kita bahawa manusia tidak akan sesat selagi berpegang kepada Al-Quran dan Sunah Rasullulah. Kehebatan Al-Quran tiada tandingannya sehingga hari Qiamat. Ia menjadi penangkis dan menempelak kepada anasir-anasir anti agama yang dibawa oleh Muhammad Rasullulah. Ia tidak ditulis atau diciptakan oleh Baginda. Hikmahnya Allah SWT mengangkat Rasulullah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Sesiapa yang mencari kebenaran melalui Al-Quran nescaya akan tunduk akhirnya. Kita tidak akan mampu menciptakan walau sepotong ayat yang sempurna seperti ayat Al-Quran. Usahlah manusia berasa sombong dan bongkak dengan kepandaian dan kepakaran akal fikiran untuk menafikan kebenaran dan kehebatan Al-Quran. Sehingga akhir zaman sekalipun ilmu Al-Quran masih bersemi dan relevan dengan zaman. Hakikatnya ia untuk panduan manusia di dunia sebagai bekalan hidup sesudah mati.

Sabtu, September 29, 2007

Qiamullail Di Malam Ganjil

Apabila masuknya malam-malam akhir Ramadhan terutama sepuluh (10) malam terakhir, kebanyakan masjid di bandar-bandar dan masjid di taman-taman perumahan akan mengadakan ibadat qiamullail pada 2/3 malam iaitu bermula sekitar jam 3.30 pagi sehingga subuh. Sesiapa yang baru menyertai ibadat qiamullail (berdiri malam) akan merasai satu pengalaman baru. Biasanya lampu tidak dipasang di bahagian dalam masjid, jemaah tidak dapat melihat secara jelas satu sama lain. Hanya suara imam atau ketua yang mengendalikan program itu yang didengari. Sesekali terdengar suara yang sebak ratapan mengikut doa dan zikir. Kita akan merasai keinsafan, kedaifan, kekerdilan dan rasa berdosa kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Kita mengharap untuk mendapat Lailatul Qadar! Biasanya acara dimulakan dengan bersembahyang sunat Tahajud, sunat Hajat, sunat Taubat serta sunat Tasbih (jika ada masa mencukupi, kerana solat sunat Tasbih mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya 1/2 jam untuk dua (2) rakaat untuk habis). Diantara solat-solat ini diselangselikan dengan berzikir beramai-ramai. Bacaan zikir yang mendayu-dayu mendatangkan satu perasaan yang menginsafkan sehingga kita mengeluarkan airmata walaupun sebelum itu kita jarang menitiskan airmata. Ada masjid yang menyediakan makan sahur sekali tetapi jika tiada, jemaah akan pulang selepas selesai sekitar jam 5.00 pagi.

Ramadhan Lebih 30 Tahun Dahulu

Siang harinya kita akan dapati orang yang berpuasa suka berludah-ludah tidak kira di mana-mana sahaja. Gerai menjual juadah berbuka puasa tidak ada di merata-rata atau hampir tiada langsung. Ada yang menghabiskan sebahagian siang harinya dengan bermain dam dan daun terup. Sebelah petangnya di persimpangan jalan atau tempat-tempat tertentu ada orang menjual air batu secara potong berbentuk kiub dengan harga sepuluh (10) dan dua puluh (20) sen seketul. Jika anda ada membaca siri komik 'kampong boys' yang ditulis oleh Datuk Lat, cerita ini ada persamaannya. Jemputan berbuka di rumah agak kerap malah hampir setiap hari tetapi sembahyang sunat terawihnya tetap dijalankan di masjid atau surau cuma sembahyang fardhu Maghrib sahaja yang didirikan di rumah jemputan itu. Siang hari puasanya dirasakan sangat panjang. Terdapat gerai atau kedai kopi kepunyaan orang India Muslim (mamak) dan Cina yang menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa. Mereka memasang kain langsir atau bidai buluh menutup bahagian hadapan gerai atau kedainya supaya orang ramai yang lalu lalang tidak nampak tetapi jika ada serbuan pihak berkuasa agama, orang-orang ini bertempiaran lari ikut pintu belakang. Malam awal Ramadhan, ada tilawah (disebut sebagai pertandingan kemudian musabaqah membaca) Al-Quran Peringkat Kebangsaan dijalankan secara bergilir-gilir negeri yang menganjurkannya. Malam pertengahan Ramadhan pula dijalankan pertandingan Peringkat Antarabangsa pula tetapi dianjurkan di ibu negara. Ada surau atau masjid yang mendirikan solat sunat terawih agak lewat selepas selesai tilawah itu. Pertandingan ini sangat popular dan menjadi berita penting di surat-surat khabar harian. Gambar qari atau qariah yang memperdengarkan bacaannya malam itu akan tersiar keesokannya. Ada orang-orang kampung yang menyewa (charter) bas sekolah untuk menghadiri tilawah ini. Pada pertengahan bulan, orang perempuan atau suri rumah mula sibuk membuat kuih raya. Kita akan dapati hampir setiap rumah membuat kuih rayanya sendiri. Ketika itu orang-orang kita kurang berkecimpung dalam bisnes jual kuih raya jadi kita sukar mendapati kuih raya dijual di mana-mana kedai (waktu itu pula supermarket masih tiada di bandar-bandar kecil). Sehingga malam-malam terakhir bulan Ramadhan, kaum hawa ini menjadi sibuk dengan persiapan raya. Sementara itu, orang lelaki akan berpakat dua tiga rumah berkongsi membakar lemang, mengacau dodol, merebus ketupat dan sebagainya. Kesibukan persiapan menyambut raya ditambah lagi dengan munculnya orang menjual daging lembu yang baru disembelih sehari sebelum hari raya. Pelita minyak tanah yang di pasang dengan jumlah yang banyak dipasang sekeliling rumah pada malam-malam 27 puasa hingga malam raya. Kaum bapa pula sibuk membawa beras ke rumah amil atau guru-guru agama untuk membayar fitrah (ada yang memperaktikkan jual beli beras di rumah amil/guru agama dengan membayar tunai mengganti beras). Kanak-kanak bermain mercun secara sekelompok atau bersendirian. Mercun boleh didapati secara mudah dan tidak menjadi suatu kesalahan menjual, membeli dan bermain waktu itu. Kanak-kanak yang mempunyai abang atau kakak atau saudaramara yang baru pulang kampung dari perantauan biasanya mewah bermain mercun kerana dibekalkan oleh mereka yang baru pulang ini sebagai buah tangan.
Hari akhir puasa adalah hari yang paling kritikal penantian untuk raya kerana penentuan raya adalah dengan cara melihat anak bulan (rukyah). Kuasa agama terletak kepada Majlis Agama Negeri masing-masing maka berlaku beberapa perbezaan menetapkan dan pengumuman hariraya. Ada negeri yang mengisytiharkan raya esoknya dan ada negeri yang masih berpuasa. Peristiwa yang melucukan apabila ramai yang sudah bakar lemang dan beli daging untuk buat rendang tetapi esoknya tidak diisytiharkan sebagai hariraya kerana anak bulan tidak kelihatan!

Jumaat, September 28, 2007

Terawih 8 Terawih 20

Apabila tiba sahaja Ramadhan seringkali kita mendengar pertelingkahan mengenai pelaksanaan mendirikan sembahyang sunat terawih. Perkara sunat ini muncul diperdebatkan seolah-olah perkara baru yang hendak dilaksanakan. Kalau di negeri Selangor, JAIS terpaksa mengeluarkan satu surat pekeliling yang mengarahkan semua masjid dan surau di bawah pentadbirannya hendaklah mendirikan solat terawih secara 20 rakaat. Ada negeri yang mengamalkan sembahyang sunat terawih hanya lapan (8) rakaat dan berhenti rehat selepas empat (4) rakaat malah ditambah dengan tazkirah pula selama beberapa minit ketika waktu rehat itu. Kepelbagaian menunaikan solat sunat ini menambahkan lagi kemeriahan dan keindahan Islam itu sendiri. Ia tidak statik dan beku untuk menjadikan sebagai maslahat ummah itu hidup tidak serupa tetapi bersatu dalam keimanan.

15 Ramadhan

Hari ke 15 kita berpuasa bermaksud kita telah memasuki zon keampunan dari Allah SWT. Kita hendaklah banyak berdoa serta memohon keampunan semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang diterima doanya oleh Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Biasanya malam 15 Ramadhan sehingga malam terakhir, sembahyang witir selepas sembahyang terawih akan dibacakan doa qunut pada rakaat akhir. Mungkin ada makmum yang leka atau mengantuk atau bersembahyang seolah-olah terbang dalam khayalan akan tersasul terus sujud tanpa sedar ada doa tersebut dibacakan oleh imam. Jika bilal atau imam memaklumkan sebelum sembahyang didirikan, tidaklah berlaku perbuatan melucukan itu. Malam-malam Ramadhan di masjid atau surau akan kelihatan meriah dengan lampu yang terang benderang serta kelihatan ramai datang berjemaah. Mungkin ada sebahagiaannya yang jarang ke surau atau masjid akan mengambil peluang ini untuk bersama jemaah yang regular. Keceriaan ini melambangkan bahawa kita ini adalah makluk Allah SWT yang sentiasa ada turun naiknya, kuat dan lemahnya dalam perkara mengerjakan ibadat solat kepada Allah SWT. Kebanyakan masjid dan surau yang mendirikan sembahyang terawih secara 20 rakaat. Sudah menjadi trend kebelakangan ini masjid dan surau memperuntukkan perbelanjaan mengupah anak-anak muda yang hafiz Al-Quran supaya mengimami sembahyang terawih. Biasanya satu malam akan dibacakan surah sebanyak satu (1) juzuk iaitu satu (1) muka atau lebih sedikit untuk satu (1) rakaat. Bagi imam yang membaca secara tartil dan mempunyai suara menarik, kita akan merasa kesedapan bersembahyang itu. Namun saf yang panjang dan berlapis tadi akan tinggal beberapa kerat sahaja. Ramai makmum yang pulang setelah lapan (8) rakaat sahaja.

Ayat Malam 15 Terawih

Semalam surau sementara tempat penulis membacakan surah Al A'Raaf (Tempat Tertinggi) ayat 53. Ayat ini menceritakan keadaan di padang Mashyar bagaimana nasib orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT semasa hidupnya di dunia. Berlaku dialog di antara mereka menanti nasib pembalasan yang akan ditimpakan. Mereka mengaku kebenaran Rasul-rasul yang membawa ayat-ayat Allah SWT semasa di dunia sedang dahulu mereka menentang dan mendustakan. Mereka bertanya siapakah yang boleh memberi syafaat agar mereka terlepas dari siksaan Allah SWT. Mereka juga bertanya adakah mereka boleh dikembalikan ke dunia supaya mereka dapat mengamalkan semula apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul. Namun ayat ini menutup peluang mereka dengan mengatakan bahawa mereka ini termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.
Maka benarlah firman Allah SWT Yang Maha Menghitung lagi Maha Perkasa.

Ahad, September 23, 2007

Bulan Panas

Ramadhan sentiasa dikaitkan dengan bulan yang panas pada siang hari. Kepanasan cuaca yang kadangkala mencapai 37 darjah celcius akan menjadikan satu ujian yang sangat getir kepada sesiapa yang sedang berpuasa. Allah SWT Maha Berkuasa untuk menguji hamba-Nya yang berpuasa pada bulan mubarak ini di mana ganjaran pahalanya amat besar sebagai balasan kepada sesiapa yang kuat imannya dengan menjaga puasanya supaya berada pada peringkat terbaik.

Sabtu, September 22, 2007

Sedekah Bulan Ramadhan

Fenomena orang suka bersedekah di bulan Ramadhan berulang setiap tahun. Orang beriman berlumba-lumba untuk menyedekahkan wang ringgit dan apa saja yang boleh mendatangkan kebaikan pahala. Masjid dan surau menerima sedekah wang yang bertambah dari bulan-bulan lain. Peminta-peminta sedekah juga muncul di merata-rata tempat awam selain di masjid-masjid selepas sembahyang jumaat. Namun kita sudah jarang dapat melihat suasana seperti dahulu di mana anak-anak membawa juadah berbuka dari rumah ke rumah sebelum waktu berbuka. Sesebuah rumah akan merasa banyak jenis kuih muih yang didapati secara bertukar-tukar hantaran juadah berbuka. Kemeriahan begini sudah hampir tiada lagi apabila masa sekarang orang lebih suka membeli juadah berbuka di gerai-gerai yang banyak terdapat di merata-rata tempat.
Kesempatan ini juga penulis ingin bersedekah kempen pungutan derma pembinaan surau di tempat penulis. Sila layari: al-makmur.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Jumaat, September 21, 2007

Ramadhan

Sambutan Ramadhan seperti tahun-tahun sudah tetap meriah dan ceria.
Unitnya penjual makanan untuk berbuka puasa tumbuh bagai cendawan di sana sini.
Tepi jalan laluan yang sebelum itu agak lengang telah menjadi sibuk dengan gerai-gerai menjual makanan yang biasanya secara bungkus atau 'tapau'. Pembeli yang memberhentikan kenderaan selepas pulang dari kerja telah menambahkan lagi kesesakan jalan. Bagaimanapun, itulah budaya kita.
Namun pada bulan ini, Allah SWT telah membahagikannya menjadi tiga (3) bahagian di mana:
1. Satu pertiga (1/3) awal Ramadhan, Allah SWT menganugerahkan Kerahmatan kepada orang beriman yang berpuasa.
2. Satu pertiga (1/3) pertengahan Ramadhan, Allah SWT menganugerahkan Keampunan kepada orang beriman yang berpuasa.
3. Satu pertiga (1/3) akhir Ramadhan, Allah SWT menganugerahan Pelepasan dari api neraka kepada orang beriman yang berpuasa.

Khamis, September 20, 2007

Kesunyian

Kesunyian waktu malam mendatangkan kesyahduan yang mengharukan...
Kesunyian apabila bersendirian di dalam rimba amat mengasyikan....
Kesunyian adalah penawar kepenatan bekerja sepanjang minggu....
Cuba kita melapangkan seketika waktu dengan mencari ketenangan...bersendirian.
Kita lihat burung kecil terbang dari satu dahan ke satu dahan...
Kita lihat anak-anak ikan berlari-lari meliut-liut di jernih anak sungai...
Kita lihat bayang pohon terlindung bawah panas matahari...
Sungguh mengasyikan!

Rabu, September 19, 2007

Kebijaksanaan dan Kejahilan

Siapakah kita jika:

Berfikir dahulu sebelum bertindak....
Bertindak dahulu sebelum berfikir....
atau,
Berfikir tidak bertindak pun tidak?

Rancang dan Atur

Perjalanan yang masih belum bermula kerana kita biasanya merancang terlebih dahulu. Kita atur dan susun yang mana terdahulu dan mana kemudian. Perancangan sebenarnya hak kita sebagai manusia. Kita boleh bercita dan berangan bagi mencapai sesuatu. Kita pasang impian demi impian. Sehingga meningkat usia sekalipun, kita tidak pernah bosan melakukannya. Sampai peringkat mana sekalipun kita tetap sebagai manusia. Manusia yang perlukan makan untuk hidup, pakaian untuk menutup badan, perlu bernafas di udara dan sebagainya. Sehingga ada manusia yang sedia dibekalkan dengan akal mungkin agak cemerlang dalam kehidupannya apabila ia sentiasa digunakan. Ia mungkin boleh mencapai sehingga daya manusia.

Ahad, September 09, 2007

ahmadhajimahmud

Satu kelahiran baru yang bermula dengan suatu pengembaraan. Dari suatu ruang ke suatu ruang yang akan menghabiskan satu lagi sisa ruang. Kembara ini akan menghasilkan warna kehidupan....sehingga titik akhir.

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah