Selasa, November 25, 2008

Kem Ibadah


Pengumuman!
KEM IBADAH
BAGI
PEMBENTUKAN SAHSIAH ANAK-ANAK DALAM MENJALANKAN IBADAH


Assalamualaikum,

KANAK-KANAK LELAKI DAN PEREMPUAN BERUMUR 9-15 TAHUN ADALAH DIJEMPUT MENYERTAI KEM IBADAH YANG AKAN DIKENDALIKAN OLEH FASILITATOR-FASILITATOR DARI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA (IIUM)

TARIKH: 1 hb. hingga 3 hb. DISEMBER 2008
LOKASI: SURAU AL-MAKMUR, DESA MAKMUR,SG. MERAB LUAR, BANGI
YURAN: RM 50.00 sahaja

Pendaftaran dibuka sekarang!. Peserta dihadkan kepada 50 orang sahaja. Penyertaan siapa dulu dia dapat!.

Selama 3 hari 2 malam tempat tinggal peserta lelaki dan perempuan akan dipisahkan.
Makan dan minum akan disediakan.

Peserta akan diterapkan dengan beberapa slot seperti KONSEP KENDIRI, TEORI & PRAKTIKAL WUDHU, SOLAT dan PEMBANGUNAN ROHANI.

Sila daftar melalui borang di bawah dan kembalikan kepada Urusetia Hj Ahmad Surau Al Makmur atau SMS nama, alamat dan umur ke H/P 019-2772xxx sebelum 25/11/08.

Nama Peserta: ...................................................................................
Alamat: ...................................................................................
...................................................................................
...................................................................................
Umur: ..................Tahun. Telefon hubungi:..........................



Ibubapa yang baik akan menyayangi anak-anaknya dengan memberi ilmu yang baik dan anak-anak yang baik akan menyayangi ibubapanya dengan mempelajari ilmu yang baik.

Khamis, November 20, 2008

Kita akan menangis pada suatu hari

Kita akan menangis pada suatu hari
kerana
Mereka tidak yakin dengan bahasa kita

Kita akan menangis pada suatu hari
kerana
Bahasa kita sudah hilang kuasanya

Kita akan menangis pada suatu hari
kerana
Anak kita tidak kenal bahasanya

Kita akan menangis pada suatu hari
kerana
Kita bukan lagi bapa anak bangsa

Aminudin Baki, Pendita Za'aba dan beberapa lagi nama,
mereka sudah kering airmata,
mengangkat darjat bahasa ke pundak bangsa ternama,
namun mereka telah tiada,

Kita buat apa?

Hanya leka melihat anak-anak kita,
mencongak dan mengira bukan dalam bahasa ibundanya,

Pejuang bahasa yang mati kalau dihidupkan,
mungkin mati semula kerana terkejut gila!

Selasa, Oktober 28, 2008

Diari Perjalanan Menziarahi Kematian

Setiap anak Adam pasti akan merasai kematian.
Tengahmalam sekitar jam 2.00 pagi Sabtu lepas, aku dikejutkan dengan satu panggilan dari abangku berlainan ibu yang tinggal di Pelabuhan Kelang, menyampaikan khabar kematian suami kakakku yang juga berlainan ibu di kampung yang jarak perjalanan lebih tiga jam untuk sampai jika memandu kereta tanpa berhenti rehat.

Aku terus memberi keputusan untuk pulang. Seorang anak perempuanku yang sedang bercuti menemaniku memandu awal pagi. Isteri tidak ikut kerana komitmen ijazahnya serta kebetulan esoknya anak lelaki ada ujian taekuando dan jemputan rumah terbuka jiran terdekat. Kami tidaklah bergegas tetapi dapat mengagak masa ketibaan nanti. Sekitar jam 3.00 pagi kami bertolak dengan kereta yang diletak sebelah luar pagar rumah. Aku cuba berhenti di stesyen petrol terdekat tetapi tutup kerana tiada servis selepas 12 malam. Aku berhenti di stesyen berikut selepas plaza tol Sg Besi menghala utara. Jam hampir 3.30 pagi. Aku cuba ke ATM untuk mengeluarkan wang tunai kerana aku tidak mempunyai cukup tunai untuk perbelanjaan nanti. "Out of Service" terpapar tenggelam timbul di skrin ATM dalam stesyen tersebut. Kad kredit juga tidak boleh digunakan untuk mengisi petrol. Aku hanya mengisi petrol dalam kadar RM30.00 menggunakan wang tunai sebagai tambahan atas petrol sediada dalam tangki kereta.

Tunai seterusnya untuk membayar tol di Ipoh dan Kuala Kangsar nanti. Setelah selesai mengisi angin tayar secukupnya, kami terus bergerak. Aku tidak membeli apa-apapun makanan atau minuman di stesyen tersebut kerana aku bercadang akan berhenti di RR Tapah nanti. Aku bertanya kepada anak perempuanku samada beliau mahu terus sambung tidurnya. Beliau beritahu tidak mengantuk. Aku terus memandu dalam sepi malam. Sesekali aku teringat pesan isteri agar memandu dengan berhati-hati. Semalam beliau mengadu stereng kereta ini seolah-olah hendak terbabas apabila mengambil selekoh semasa dalam perjalanan pergi kerja. Tadi, sebelum bertolak, aku cuba memeriksa dan menguji dengan memutar-mutar dan memandu di di selekoh dalam taman. Aku harap tiada sebarang masalah. Mungkin jalan licin kerana hujan ketika isteri memandu. Bagaimanapun, aku sentiasa beringat-ingat juga. Aku lihat anak perempuanku terlentuk kepalanya ke cermin tingkap kereta. Kononnya tidak mengantuk!.

Fikiran sering melayang melangkau ke belakang zaman apabila tadi ketika berhenti di stesyen petrol aku nampak beberapa perempuan muda bangsa asing turun dari bas ekspres dari selatan. Mereka membawa beg pakaian dan menunggu kenderaan lain. Aku tidak pasti apakah stesyen petrol ini menjadi tempat transit bas ekspres bagi penumpang yang tidak hendak turun di Puduraya atau sebagainya. Agak sibuk dan ramai orang seolah-olah menghidupkan suasana stesyen ini menjadi sebuah pusat perhentian dan pertukaran destinasi. Aku juga ketemu dalam perjalanan ketika sampai persimpangan Jalan Damansara dan Jalan Duta di mana kawasan itu agak sunyi dan berhutan, kelihatan sebuah teksi berhenti dan seorang wanita berpakaian berkilauan keluar dari pintu penumpang belakang. Sungguh berani wanita itu!..jam kereta menunjukkan 3.45 pagi.

Aku berjanji dengan anak perempuanku untuk berhenti di RR Tapah selepas ini. Perjalanan yang agak selesa dan tiada hujan, aku memandu sekitar 110 km/jam. Aku lihat banyak kenderaan termasuk bas-bas ekspres memandu melebihi had laju di lebuhraya. Kadangkala, mereka memotong keretaku seolah-olah ada panggilan kecemasan!. PDRM ada membina menara pemerhati polis di beberapa tempat strategik kiri dan kanan lebuhraya namun kita tidak pasti ada atau tidak petugas yang memerhati di sana. Agak mengejutkan, apabila gambar separuh badan polis peronda berunifom lengkap bercermin mata gelap di sandarkan ke tiang bawah jambatan..seolah-olah peronda sedang melakukan perangkap laju.

Sekitar jam 5.30 pagi, kami sampai di RR Tapah. Aku membeli minuman kopi O panas dengan sandwic. Anak perempuanku minta horlick panas tapi diberitahu sudah habis lalu beliau menukar dengan milo panas beserta sandwic. Rasa sandwic agak lain dan sedikit masam. Aku bertanya kepada anak perempuanku..'sandwic apa ni?..tuna ker?'. Aku hanya makan separuh saja dan begitu juga anak perempuanku. Aku ingatkan beliau, bimbang nanti sakit perut pulak. Ketika menunggu untuk menghabiskan air minuman, mesej dari seorang abangku yang satu ibu dengan ku menyampaikan berita kematian ini. Aku tertanya-tanya juga kenapa berita ini agak lambat sampai dari keluarga di kampung?. Aku mempunyai ramai adik beradik dari beberapa ibu yang masih berada di kampung.

Masuk waktu subuh, kami ke surau. Kelihatan sudah ada jemaah sedang solat. Setelah selesai jemaah tersebut, aku diminta menjadi imam oleh seorang yang sedang menunggu untuk solat. Selepas bacaan fatihah selesai kedengaran 'Amiiin' yang agak ramai di belakang. Bersolat di surau hentian lebuhraya terutama masa awal masuk waktu sembahyang, seorang imam yang musafir biasanya mempercepatkan bacaan doa selesai solat.

Aku kembali segar. Aku memandu kereta ke stesyen petrol berdekatan dan ternyata aku dapat menggunakan kad kredit untuk mengisi petrol serta mengeluarkan wang tunai di ATM dalam stesyen tersebut. Semuanya menjadi mudah dan lega sekarang!. Hari sudah semakin siang. Kiri kanan jalan sudah nampak samar-samar ke arah cerah pagi. Syahdunya, bumi Allah SWT yang hidup untuk dinikmati. Apakah kita sering bersyukur?. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi handset (telefon bimbit). Isteriku menelefon bertanyakan kunci gate rumah kami. Astarfirullahalazim, rupanya aku terbawa sama kunci tersebut. Beliau tidak dapat membawa keluar kereta yang sebuah lagi itu untuk pergi menghantar anak lelaki kami berlatih taekuando. Nasib baik, bahagian belakang rumahku dengan rumah jiran sebelah tidak berpenghadang. Rumah kami jenis semi-D, pada awal dulu memang ada pagar pembahagi tetapi kami setuju untuk merobohkannya supaya memudahkan pergerakan. Untuk sehari dua ini, mereka terpaksa menggunakan laluan belakang jika hendak keluar kemana-mana.

Selepas Plaza Tol Jelapang, kami berhenti lagi di RR Kuala Kangsar yang lokasinya di tebing Sg Perak dan mempunyai eskaletor bergerak untuk turun dan naik dari tempat letak kereta ke dataran gerai. Kelihatan agak banyak kereta di tempat letak kereta. Ada penjual buah durian di tepi pagar berdekatan. Aku fikir buah durian di dusun-dusun kampungku sudah mula gugur. Sekejap saja kami berhenti sekadar ke tandas kemudian kami meneruskan perjalanan. Kami keluar melalui Plaza Tol Kuala Kangsar dan terus bergerak mengikut jalan lama ke arah utara sehingga sampai di kampung tempat kelahiranku. Sekitar jam 7.45 pagi kami tiba di rumah orang tuaku. Aku memberhentikan kereta di tepi jalan tanpa mematikan enjin. Selepas memberi salam, kami masuk sebentar ke dalam rumah. Emakku sedang menyiang udang di dapur ketika aku menyapanya. Aku bertanya khabar dan menyampaikan salam menantu dan cucu-cucunya yang tidak ikut serta. Beliau segera untuk menyediakan sarapan tetapi aku memaklumkan sudah mengambil sarapan dalam perjalanan tadi. Aku mohon untuk beredar ke rumah kakakku yang kematian suaminya. Beliau sempat bercerita mengenai iparku ketika detik-detik akhir sebelum arwah meninggal.

Rumah kakakku yang ini tidak berapa jauh jaraknya dari rumah emakku. Sepelaung kata orang tua (lebih kurang 200 meter). Aku masuk ikut pintu dapur rumah setelah memberi salam. Agak sepi dan tidak kelihatan banyak selipar atau kasut di luar pintu. Beberapa orang lelaki jiran terdekat berada di anjung. Selepas bersalaman, aku terus menziarah jenazah yang diletakkan di ruang tetamu dipisahkan dengan tabir atau langsir kain yang diikat dari dinding ke dinding. Jenazah ditutup dengan kain pelikat dari paras kaki hingga dada sementara wajahnya ditutup dengan kain selindang atau serban putih yang nipis. Aku menyelak selindang tutup muka dan menghadiahkan surah Al-Fatihah serta mendoakan kebaikan untuk roh arwah ini. Jenazah yang sudah melewati 80an ini kelihatan tenang seumpama sedang tidur sahaja.

Kali terakhir aku melawatnya pada malam raya kedua lalu. Kebetulan kami datang agak lewat malam. Ketika itu, beliau kelihatan tercungap-cungap dan mengadu sering sesak nafas. Masa itu ada saudara yang lain membuat lawak dengannya mengatakan umurnya masih panjang lagi. Namun iparku ini memberi isyarat dengan tangan sambil menyuarakan..'serahlah!'. Saudara yang lain bertanya..'serah apa?'..'Serah pada orang ramai!'..cepat jawabnya. Beliau seolah-olah sudah bersedia dan redha ketentuan yang mendatang. Beliau sebenarnya sudah bertahun tidak dapat berjalan kerana lemah lutut. Beliau bergerak di dalam rumah hanya menggunakan 'skate board' yang ditolak dengan menggunakan tangan kanannya sementara tangan kiri berada atas skate board tersebut. Itupun dalam ruang yang terhad iaitu dari tempat tidur ke bilik air sahaja. Sebelum itu beliau masih bertongkat tetapi faktor usia yang lanjut, sudah tidak lagi mampu melakukan banyak pergerakan. Maha Suci Allah SWT, memberikan kewarasan fikiran kepada beliau hingga akhir hayat. Seorang tua yang tidak waras dan nyanyuk akan terhenti segala amalannya. Beliau masih dapat menunaikan solat biarpun dalam bentuk pelbagai cara. Sebelum itu, beliau sering mengisi masa dengan membaca Al-Quran. Tubuhnya yang kurus dan cengkung di kedua pipinya nampak sangat kepayahan yang dideritainya. Anak perempuanku yang kedua menangis terharu melihat keadaan dan suasana sekeliling. Apabila kami bertanya kenapa menangis, beliau menjawab.. 'macam bersamamu'.. iaitu episod bersiri TV3 yang menyiarkan kisah-kisah sedih dan kemiskinan. Beliau hanya mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki yang seusia denganku dan seorang perempuan yang sudahpun berumahtangga tinggal berasingan. Anak lelakinya meninggal tahun lalu kerana kemalangan jatuh dari bumbung rumah ketika membaiki atap. Kemalangan itu disedari setelah beberapa jam kerana ketiadaan sesiapa di rumah ketika itu. Beliau koma beberapa minggu sehingga meninggal di hospital Ipoh. Kakakku sudah agak tua, berusia lebih separuh abad. Tidak mempunyai pendapatan yang tetap iaitu seperti orang kampung yang lain, cuma ada sedikit harta kebun pembahagian pusaka ayah kami serta rumah kampung sendiri. Kakakku juga sejak kebelakangan ini mengadu sebelah matanya sudah kabur. Aku lihat semasa ziarah hariraya lepas, mata berkenaan seperti ada selapuk putih dan aku tidak pasti apakah itu dikatakan 'katarak'?. Semasa aku kecil dulu, aku suka mendengar kakakku ini membaca Al-Quran kerana suaranya sedap dan mengaji dengan lagu yang mendayu-dayu walaupun aku ketika itu tidak faham makna bertajwid dan sebagainya. Namun beliau tidak pula masuk mana-mana tilawah atau pertandingan membaca Al-Quran tidak seperti kakakku yang seorang lagi iaitu satu-satunya kakakku yang sama ibu denganku di mana mempunyai bakat mengaji Al-Quran serta pernah memasuki tilawah peringkat Perak Utara pada tahun-tahun 70an.

Selesai aku berdoa, aku lihat keliling jenazah beberapa orang perempuan dari kaum keluarga sedang membaca Al-Quran. Aku menyelak kain yang menutup bahagian kaki serta memegang-megang beberapa bahagian badan lain seolah-olah menyentuh arwah yang sedang tidur. Aku tidak merasa tubuh yang terkujur ini sebagai jasad yang asing. Jenazah terbaring dengan kaki terlunjur ke arah kiblat. Kepala dipakaikan kopiah putih sementara itu bahagian dagu diikat dengan kain serban naik ke atas ubun-ubun kepala. Jenazah dibaringkan atas lantai beralaskan tilam nipis dan sebiji bantal diletakkan bawah kepala. Di hujung kepala, aku lihat ada sebiji jag air dari kaca jernih hampir penuh berisi wang sedekah orang ramai yang datang menziarah. Kakakku yang kematian suami ini menyapaku dari belakang dan bertanya siapa lagi yang ikut balik bersamaku. Aku bersalam dan mencium tangan serta menyampaikan salam isteri dan anak-anak. Beliau sempat menceritakan detik-detik terakhir arwah dan siapa yang ada di sisi arwah semasa menghembuskan nafas terakhir. Beberapa ketika aku terpaku di situ sambil mendengarnya sehingga aku mohon untuk beredar kerana orang lain sudah mula datang untuk menjenguk jenazah. Sedang aku bangun, beliau bertanya samada aku hendak membaca Al-Quran tetapi aku fikir biar aku pergi mendapatkan maklumat pengurusan berkaitan jenazah terlebih dahulu. Setakat ini, aku lihat kakakku masih dalam keadaan tenang dan tidak terlalu nampak kesedihannya.
Di ruang beranda luar, kelihatan beberapa orang lelaki jiran berdekatan sambil duduk atas sofa dan kerusi yang dikitueluarkan dari dalam rumah. Seorang abangku yang tua iaitu anak tunggal dari ibu yang lain ada bersama. Aku bersalam dengan semua orang lelaki yang ada di situ. Soalan yang sama diajukan. Beliau tinggal arah hulu kampung dalam jarak 400 meter dari rumah kakakku ini. Abangku ini dengan kakakku ini tidak sama ibu. Kami bertiga semuanya berlainan ibu. Beliau sendiri katanya mendapat berita kematian waktu subuh tadi. Mungkin lambat sampai berita ini juga berlaku kepada dua orang abang kandungku yang lain walaupun tinggal sama di kampung. Maksudnya, aku sendiri adalah salah seorang ahli keluarga yang mendapat berita kematian ini lebih awal walaupun tinggal di lain negeri. Aku mendapat berita ini melalui telefon dari seorang abangku yang tinggal di Pelabuhan Kelang. Ia juga seorang abang yang tidak sama ibu denganku. Kami sentiasa berkunjungan jika ada sebarang majlis atau jemputan. Kebetulan kami pergi bersama isteri masing-masing menunaikan haji tahun lepas. Beliau dan aku tinggal sebilik sementara isterinya dengan isteriku juga tinggal sebilik yang lain.
Pengalaman aku jika mendapat berita kematian kaum keluarga, kita hendaklah tidak berlengah lagi untuk segera bergerak pergi menziarahinya. Sementara itu, kita boleh hebah-hebahkan kepada saudara mara lain melalui telefon jika berkesempatan. Jika berkereta dan ada yang hendak tumpang sama, hendaklah pastikan laluan tidak melambatkan perjalanan. InsyaAllah, kita masih berkesempatan melihat jenazah buat kali terakhir jika kita segera bergegas. Kebiasaan yang dipraktikkan di kampungku, pengebumian jenazah dilakukan dalam lingkungan 10 jam selepas kematian.

Hampir jam 9.00 pagi, orang datang semakin bertambah. Lori kecil kepunyaan seorang penduduk telah sampai dengan peralatan tempat mandi jenazah. Aku kenal peralatan ini yang dibina dari bahan gentian kaca (fibreglass) adalah kepunyaan masjid kampung kami. Ia berbentuk sebuah pangkin berkaki empat seperti meja yang bahagian permukaannya dibuat lubang-lubang untuk laluan air yang disambung terus dengan hos getah pada bahagian bawahnya. Ketika jenazah dimandikan, semua air akan terus terbuang melalui hos ini yang bahagian hujungnya diletak dalam bilik mandi atau luar rumah. Aku tidak pasti bila peralatan ini dicipta tetapi telah banyak tempat yang pernah aku lawati, peralatan ini sedia digunakan terutama untuk rumah-rumah zaman sekarang. Cuma peralatan ini ada yang dibina dari bahan stainless steel atau aluminium yang tidak berkarat. Rekabentuk pun hampir sama saja. Sudah lumrah setiap masjid mempunyai peralatan ini malahan jika masjid di bandar-bandar, ada yang mempunyai bilik mandi jenazah dan kereta jenazah sendiri.

Peralatan mandi diangkat dari atas lori dan dicadangkan supaya diletakkan di bahagian dapur rumah kerana di situ ia lebih dekat dengan bilik air. Sekejap sahaja ia selesai di pasang dan sedia digunakan. Serentak dengan itu juga, aku lihat tiga orang jurumandi jenazah yang aku kenal dua orang daripadanya tiba dengan beberapa peralatan kapan dan sebagainya. Mereka terus duduk berhampiran jenazah di sebelah luar tabir. Kain putih dikeluarkan, selepas itu mereka mengukur saiz badan jenazah, mereka terus memotong kain putih tersebut mengikut ukuran yang diperolehi itu. Senarai barang-barang keperluan jenazah ini sebenarnya sudah lengkap satu set dan boleh didapati di kedai atau khairat yang menyimpan stoknya untuk digunakan bila-bila masa saja. Kain putih dipotong sebanyak lima helai sementara itu kapas yang asalnya bergulung, dicarik-carikkan sebesar tapak tangan dan diletakkan dalam talam. Lima helai kain yang sudah dipotong, dihamparkan berlapis memanjang selari badan jenazah. Tiap lapis kain tadi, ditaburkan serbuk kapur barus yang baunya sudah pasti mengingatkan kita itu adalah bau orang mati!. Ada lagi bauan dalam botol kecil yang direnjiskan dan baunya juga hampir sama di mana tidak ada orang hidup yang cuba memakainya sebagai minyak wangi.

Dalam masa itu, adik lelaki kepada arwah tiba. Beliau tinggal bersebelahan rumah arwah. Beliau memanggil aku dan abangku supaya membantunya membahagi-bahagikan dan memasukkan wang hadiah dan upah ke dalam sampul surat. Kepingan wang tunai dalam nilai RM10, Rm5 dan RM1 yang diikat dengan getah dikeluarkan dari begnya. Abangku menulis di tiap muka sampul surat itu nama penerima-penerima wang hadiah dan upah ini dalam tulisan jawi. Abangku ini seorang pengetua sekolah agama rakyat yang ditubuhkannya sendiri selepas beliau pencen. Oleh kerana sayangnya beliau kepada ayah kami, beliau menamakan sekolah itu sempena nama ayah.
Senarai nama penerima adalah seperti berikut:-

1 x Ketua Jurumandi Jenazah ( RM50)
2 x Pembantu Jurumandi Jenazah (RM20 tiap sampul)
1 x Imam (RM 30)
3 x Pembanca Talkin (RM20 tiap sampul)
10 x Hadiah sembahyang (RM10 tiap sampul)
100 x sampul tidak bertulis untuk dibahagi-bahagikan kepada orang ramai yang datang bersembahyang atas jenazah. (RM 5 tiap sampul)
Rupanya perbelanjaan untuk menguruskan setiap jenazah ini tidaklah murah dan mudah seperti jangkaan kita. Ada lagi senarai perbelanjaan atau upah yang perlu kita selesaikan seperti di bawah:-

*Upah korek kubur (RM200-300)
*Upah van jenazah (RM50-150)
*Set kain kapan (RM150-200)

Perbelanjaan di atas seolah-olah menjadi suatu kemestian kerana ia melibatkan tenaga orang lain bagi menyelesaikan pengebumian dengan sempurna. Aku tertanya sendiri bagaimanakah pengendalian jenazah kepada keluarga yang tidak mampu untuk menyediakan semua ini?. Bagaimanapun, sehingga kini aku tidak pernah ketahui ada jenazah yang tidak dapat dikebumikan kerana ketiadaan kos perbelanjaan ini. Seorang abangku yang lain ada membuat lawak dengan mengatakan..'mana tahu budak-budak la (sekarang) ni, bila kita mati nanti (entahkan) dema (mereka) tahuk (buang) macam tu saja..'

Mungkin sudah menjadi adat kebiasaan, keluarga si mati akan mengadakan majlis bacaan tahlil dan jamuan ala kadar selama tiga malam berturut-turut bermula malam selepas jenazah dikebumikan. Ada kematian di negeri lain yang pernah aku hadiri, keluarga si mati tidak membuat sebarang majlis tahlil pada malam tersebut. Ada juga yang tidak langsung membaca talkin atas kubur semasa pengebumian. Aku fikir, pada masa depan mungkin benar seperti apa yang dicakapkan oleh abangku tadi, jika tiada orang yang tahu atau anak-anak muda sekarang sebagai pelapis bagi menguruskan jenazah seumpama istilah 'kambus' (tanam) saja di mana-mana dan selesai.

Pengurusan pengebumian memerlukan tindakan yang pantas sebaik sahaja berlaku kematian seseorang. Kaum keluarga yang berada di sisi arwah atau yang lebih awal mengetahui berita kematian hendaklah segera menghebahkan kepada saudara mara dan sesiapa yang difikirkan mengenali si mati. Seseorang yang boleh diharapkan akan ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian, jika berlaku kematian bukan di hospital. Biasanya surat atau sijil kematian akan dikeluarkan serta merta oleh balai polis sebaik polis mengesahkan kematian itu sebagai kematian biasa. Sijil kematian ini akan difotostat (salinan fotokopi) beberapa keping untuk kegunaan kaum keluarga yang sedang bekerja bagi mohon pelepasan waktu kerja atau cuti kecemasan. Sijil kematian juga diperlukan untuk mendapat kebenaran mengebumikan jenazah di perkuburan pemastautin. Di sesetengah tempat sijil kebenaran mengebumikan jenazah juga perlu diperolehi dari pihak yang mentadbir perkuburan itu serta nombor lot liang lahat akan direkodkan untuk sebarang rujukan. Untuk perkuburan di kampungku, pentadbiran dan urusan tanah wakaf terletak bawah Ahli Jawatankuasa Masjid. Tabung khairat kematian juga terletak bawah pentadbiran masjid ini. Secara umumnya, semua penduduk kampung adalah ahli kariah masjid ini dan tidaklah menjadi suatu masalah untuk menguburkan jenazah.

Biasanya, jemputan untuk sembahyang jenazah akan dilakukan apabila keputusan masa pengebumian telah ditetapkan. Jemputan ditulis atas kertas ditujukan kepada seseorang yang difikirkan boleh menjadi wakil pada sesuatu tempat atau kampung berhampiran untuk menjemput beberapa orang lagi dari kawasannya datang menyembahyangkan jenazah. Biasanya ahli masjid atau imam sesuatu tempat. Jika seseorang yang meninggal itu, seorang yang sangat dikenali kebaikannya, InsyaAllah, ramai yang mengambil kesempatan untuk menyembahyangkannya. Ramai atau tidak, orang datang bersembahyang akan dianggap sebagai rezeki masing-masing. Aku teringat waktu kecil dahulu, tabuh (gendang besar yang diperbuat dari kulit lembu) akan dipalu sebanyak tujuh kali apabila berlaku kematian seseorang penduduk. Penduduk kampung yang berada di sawah atau kebun atau di mana-mana saja apabila terdengar paluan ini akan segera pulang atau menangguhkan sebarang aktiviti untuk sama-sama menziarahi jenazah. Sekarang tidak lagi, perkhidmatan telefon bimbit boleh menjadi satu alternatif yang sangat berkesan bagi menyampaikan hebahan berita kematian ini. Tabuh yang dulunya ada terselit di suatu sudut menara masjid pun sudah tiada lagi dan mungkin ia kekal menjadi sejarah yang mana anak-anak kelahiran tahun 2000 tidak lagi mengenalinya.

Sekitar jam 10.00 pagi, Jurumandi meminta bantuan mengangkat jenazah dari tempat pembaringan untuk dimandikan. Aku dengan beberapa orang saudara lelaki lagi bersegera membantu mengangkat, jenazah tidaklah besar orangnya. Susuk tubuh badan seumpama itu, aku agak sekitar 50 kg beratnya. Kami mengangkat terus bersama kain yang melitupi tubuh badannya. Seolah mengangkat orang yang sedang tidur, tubuhnya tidak keras walaupun sudah meninggal sekitar jam 1.00 pagi tadi tetapi rasa sejuk badannya dapat kita bezakan dengan rasa sejuk badan orang yang hidup. Aku hanya membantu mengangkat hingga ke tempat mandi tetapi tidak turut membantu memandikannya. Mereka bertiga sudah mencukupi supaya kita tidak mengganggu kelancaran kerja memandikan jenazah ini. Bagaimanapun, aku hanya membantu menghulurkan barang keperluan yang diminta satu persatu. Mereka bertiga sudah mahir dan tahu apa yang perlu dilakukan tanpa kekok kerana aku melihat kerja memandikan jenazah ini dibuat dengan sangat tertib dan tidak mengaibkan. Sebarang arahan dibuat dengan suara yang perlahan atau berbisik. Tuntutan dalam agama, kita tidak boleh membuka aib seseorang, jadi menjadi suatu amanah kepada jurumandi ini tidak menceritakan sebarang tanda atau apa yang terdapat pada tubuh badan seseorang jenazah kepada orang lain. Bahagian perut akan ditekan bagi mengeluarkan sisa kekotoran (najis) dari dubur seperti kita meneran sedikit untuk membersihkan lubang dubur semasa mandi hadas. Jenazah sentiasa ditutup dengan kain semasa dimandikan. Sabun pencuci badan digunakan sehingga tubuh bersih. Air sembahyang diangkat untuk jenazah ini. Akhir sekali, jenazah dijirus dengan air bauan (air mawar) keseluruh tubuh dan dilapkan. Setelah selesai, jenazah sekali lagi diangkat ke tempat pembaringan tadi di mana telah tersedia kain kapan untuk dikapankan. Kapas yang dicarik-carik tadi dilbubuh merata tubuh kecuali bahagian muka. Kemudian, kain kapan dibalut dari kiri ke kanan tubuh sehelai demi sehelai sehingga lima lapis dengan didedahkan bahagian muka. Bahagian hujung kepala dan kaki dilebihkan agak sedikit untuk mudah diikat. Bahagian hujung diikat terlebih dahulu sementara bahagian muka dibiarkan sebentar untuk tatapan sanak saudara. Ketika ini, sanak saudara lelaki dan perempuan dibenarkan menatap wajah jenazah untuk kali yang terakhir. Setelah selesai, aku keluar ke hadapan anjung dan memaklumkan jenazah sedia untuk dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. Adik lelaki kepada arwah telah meminta dan mengamanahkan kepadaku untuk menyampaikan sedikit ucapan bagi pihak arwah. Aku agak kaget sekejap. Beliau tidak pula meminta abangku yang aku anggap lebih dihormati namun aku bersedia untuk itu walaupun agak sedikit gugup. Papan keranda jenazah dikeluarkan dari van jenazah yang didatangkan dari luar kawasan kerana masjid kampungku tidak mempunyai kemudahan kereta jenazah.

Ketika jenazah diangkat sampai muka pintu, aku berdiri menghala keluar memberi ucapan.

Bismillahirrahmanirahim,
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Kepada tuan-tuan dan sanak saudara sekelian.

Saya memohon maaf kerana mengambil kesempatan ini,
Saya diminta mewakili waris arwah untuk menyampaikan makluman di sini,
Sebelum jenazah ini dibawa keluar dari rumah ini,

Ada tiga perkara hendak saya sampaikan di sini,

Pertama,

Saya memohon supaya kita dapat memaafkan arwah jika terdapat sebarang salah silap arwah semasa hidupnya,

Kedua,

Saya juga memohon, marilah kita sama-sama berdoa dan mengharap roh arwah dirahmati oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang dikasihi-Nya.

Ketiga,

Jika ada sebarang hutang yang belum selesai antara kita dengan arwah, kalau boleh halalkanlah itu yang lebih baik, jika tidak tuan-tuan boleh menuntut kepada waris-warisnya selepas ini atau tuan-tuan boleh berurusan dengan saya sendiri.

Saya sekali lagi memohon maaf dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas bantuan dan sumbangan tuan-tuan bagi menyempurnakan jenazah ini.

Sekian.

Al-Fatihah x 3 (Pengusung jenazah diangkat oleh beberapa orang kemudian bergerak beberapa langkah kemudian berhenti sebentar semasa surah ini dibaca beramai-ramai. Biasanya berulang sebanyak tiga kali.)

Keranda jenazah terus disorongkan ke dalam van dan terus dibawa ke masjid yang jaraknya dalam lingkungan satu kilometer. Ada beberapa orang saudara terdekat ikut naik bersama van tersebut. Aku mengekori dengan menaiki keretaku dengan menumpangkan seorang saudara kami yang baru sampai dari Kedah. Mulanya aku bercadang nak singgah di rumah emakku untuk menukar pakaian tetapi bimbang tidak sempat kerana jam menunjukkan hampir 12.00 tengahari iaitu masa yang ditetapkan untuk sembahyang jenazah.
Aku terus mengambil wudud apabila tiba di masjid. Ketika masuk ke dalam masjid, aku lihat jenazah sudahpun diletakkan di hadapan berhampiran mimbar. Oleh kerana jenazah ini seorang lelaki maka ia diletak melintang dengan posisi bahu kiri jenazah menghala kiblat. Sementara menunggu semua jemputan tiba, aku mengambil kesempatan menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat.
Orang ramai sudah mula memasuki masjid dan abangku diminta ke hadapan untuk mengimamkan sembahyang jenazah. Ruang sembahyang dalam masjid ini berkeluasan lebih kurang 25 meter x 25 meter. Ada tiga saf (barisan) makmum yang rapat bahu ke bahu tetapi tidaklah sampai ke dinding. Sembahyang jenazah sangatlah berbeza dengan sembahyang fardhu dan sunat yang lain. Ia dilakukan dalam keadaan berdiri dan tiada rakaatnya. Jemaah makmum berdiri rapat-rapat berlapis di belakang imam. Tiada perbuatan rukuk dan sujud. Imam pula tidak mengeluarkan suara membaca surah seperti solat-solat fardhu maghrib, Isyak dan Subuh atau solat Jumaat. Hanya perlu mengangkat empat kali takbir.

Aku anggarkan tidak sampai 100 orang yang turut bersembahyang. Alhamdulillah, itu rezekinya. Sekejap saja sembahyang selesai. Keranda terus diusung keluar di mana van sedia menanti di haluan masuk masjid. Semua pintu masjid ditutup kecuali dibiarkan dua pintu bahagian hadapan terbuka. Ada dua orang saudara yang ditugaskan di pintu-pintu ini bagi mengagih-agihkan sampul surat berisi wang RM5 kepada semua jemaah yang bersembahyang ke atas jenazah. Sampul ini dimasukkan terus ke dalam kocek jemaah. Ada juga jemaah yang menolak sedekah ini atau mengembalikan semula.

Lagi sekali, aku menumpangkan saudara yang lain untuk ke kubur yang jaraknya dari masjid dalam lingkungan 200 meter. Perkuburan ini berada di atas tanah tinggi tepi jalanraya utama iaitu di tengah antara rumah emakku dengan masjid. Dahulu masa aku budak belajar di sekolah rendah yang lokasinya di hadapan masjid ini, sering pergi dan pulang sekolah melalui tanah perkuburan ini. Ada masjid lama yang dibina dari kayu atas perkuburan ini tetapi sudah tidak digunakan lagi. Kolahnya masih mempunyai air kerana ia dibina dihujung cucur atap di mana air hujan yang turun akan terkumpul dalam kolah ini. Diceritakan, usia masjid lama ini sudah mencecah seratus tahun. Sebelum ini, ada ura-ura kementerian yang berkaitan warisan negara ingin menjadikan masjid ini termasuk dalam salah satu objek sejarah yang mempunyai nilai pelancongan. Sekarang, aku sudah tidak mendengar lagi projek berkaitan. Aku tidak pasti apakah fahaman politik yang berbeza boleh menjejaskan projek berkenaan. Perkembangan politik di kampungku ini agak unik juga. Ketika hangat, ia boleh menjadi pecah belah juga tetapi kemudian sejuk sedikit, ia kembali bertaut. Ada baiknya mempunyai hanya sebuah masjid, di mana kariah masjid ini menampung empat kampung yang besar. Keseluruhan penduduk dianggarkan sekitar 1500 orang. Cuma sekarang, apabila tiba hariraya, pernah makmum melimpah hingga luar masjid. Namun pada waktu lain sembahyang fardhu lima kali sehari untuk sepanjang tahun, penuh jari kedua-dua tangan sudah dikira cukup ramai.

Sebaik aku sampai, jenazah sedang diangkat masuk ke dalam liang lahat. Lubang kubur di kampungku mempunyai liang lahat (lubang untuk simpan jenazah yang dikorek sebelah tepi dasar menghala kiblat). Jenazah disorok ke dalam lubang ini dengan bahu kanan menghala ke bawah sementara dadanya mengadap kiblat. Tanah merah dimasukkan dalam karung kecil berbentuk bantal atau dikepal-kepal bulat diletakkan di bahagian belakang bagi mengampu jasad supaya kedudukan begini kekal. Sekeping plywood bersaiz pintu rumah atau pintu papan akan ditutup di bahagian liang lahat tadi. Selepas itu, lubang kubur mula ditimbus oleh saudara mara yang berada di atas permukaan. Biasanya tiga orang berada di dalam lubang kubur itu dengan menginjak-injak sambil memegang tikar bekas alas jenazah tadi sebagai penghadang diri dari terkena tanah merah hasil dari tambunan tersebut.

Di suatu sudut, sebahagian orang yang hadir membaca tahlil dengan diketuai oleh bapa saudaraku. Apabila selesai lubang ditimbus, tikar dihamparkan memanjang selari baringan jasad
dan tiga orang yang telah ditetapkan iaitu dua abangku berlainan ibu dan seorang saudara sepupu yang mengajar di sekolah agama rakyat duduk membelakangkan kiblat membaca talkin. Aku mendengar agak jelas bacaan talkin yang dibacakan dalam bahasa kita. Ayat-ayatnya masih terngiang-ngiang di telinga menggetarkan jiwa.

Wahai si fulan (nama arwah) bin si fulan (nama ibunya).

Sekarang engkau berada di alam barzakh.
Bahawa mati itu benar,
Alam kubur itu juga benar,
Soal jawab dari Mungkar dan Nakir juga benar.

Wahai si fulan (nama arwah) bin si fulan (nama ibunya).

Engkau akan ditanya,

'Siapa Tuhan kamu?'
'Siapa Nabi kamu?'
'Apa agama kamu?'
'Apa kiblat kamu?'
'Apa kitab kamu?'
'Siapa saudara kamu?'

Wahai si fulan (nama arwah) bin si fulan (nama ibunya).

Jika engkau ditanya, jawablah dengan tenang bahawa,

'Allah SWT adalah Tuhanku'
'Muhammad Rasulullah adalah Nabiku'
'Islam adalah agamaku'
'Ka'abah adalah kiblatku'
'Al-Quran adalah kitabku'
'Semua orang Islam adalah saudaraku'

Ketika bacaan tahlil dan talkin berjalan serentak, waktu itu juga saudara yang lain mengagih-agihkan sedekah kepada semua yang hadir berupa gelas kaca jernih tidak bertangkai yang dibungkus dengan sapu tangan berisi 'roti mayat' (biskut bulat-bulat kecil yang ada jemput gula berwarna di atasnya). Manakala untuk ketua pembaca tahlil dan tiga pembaca talkin disedekahkan dengan pinggan putih buatan tembikar yang dibungkus dengan kain putih berisi biskut yang sama. Kadangkala di dalam pinggan ini juga diselitkan wang kertas RM10 atau beberapa ringgit mengikut kemampuan. Sedekah pinggan ini mengingatkan aku semasa kecil dahulu sering mengikut ayahku ke perkuburan ini jika ada kematian. Ayahku selalu mengetuai membaca talkin, ketika pulang ayahku membiarkan aku membawa pinggan sedekah ini. Aku memang tahu bahawa di dalamnya ada wang kertas, jadi semasa dalam perjalanan lagi aku sudah menyeluk dan mengambilnya. Aku tidak pasti samada ayahku sedar atau tidak kerana beliau tidak pernah bertanyakan mengenai wang itu. Kelakarnya, ada satu kali, aku lihat abangku yang satu ibu denganku menyeluk-nyeluk mencari wang itu sedangkan aku sudah pun mengambilnya. Ketika itu, RM1 atau RM2 sahaja tetapi bagiku sangatlah besar dan mewah sekejap (tahun hujung 60an).

Sementara menanti bacaan talkin yang ketiga selesai, aku melihat sekeliling tanah perkuburan ini. Keadaannya masih tidak banyak berubah dengan 10-20 tahun dahulu. Pokok janggus (gajus) yang selalu aku petik pucuknya ketika pulang sekolah rendah dahulu masih ada di situ cuma mungkin pokoknya sudah agak tua dan tidak kelihatan banyak buahnya lagi. Pokok lain seperti pokok kulim yang bau buahnya meloyakan pun masih ada. Bagaimanapun tiada kelihatan pokok bunga kemboja tidak seperti kebiasaan yang ada pada tanah perkuburan lain. Namun aku lihat pokok keriang (buahnya kecil-kecil bulat berwarna ungu gelap jika masak digemari burung ciak perling) banyak tumbuh di sini dan hampir meliputi separuh kawasan tanah kubur ini. Kebetulan waktu ini musim buahnya sedang masak, bunyi hingar burung ciak perling menguasai ketika kami mula sampai tadi. Atas tanah kelihatan taburan buah-buah yang sudah masak. Tadi aku ada mengutip beberapa biji sambil mengenalkan kepada anak perempuanku mengenai buah ini yang boleh dimakan di mana gigi dan lidah kita akan melekat dengan warna ungu apabila buah ini dikunyah.

Aku bingkas bangun dari duduk apabila melihat orang lain mula bangkit setelah talkin selesai. Ada lagi sedekah barang seperti 3 kaki payung warna hitam dan 4 helai tuala kecil di edarkan kepada siapa yang dilihat memegang barang-barang itu semasa mengusung keranda tadi. (Payung digunakan untuk memayungi keranda semasa diusung sementara tuala biasanya diikat pada bahagian 4 pemegang pengusung keranda tersebut). Sebelum semua orang beredar, adik arwah tadi memaklumkan dengan suara yang agak kuat iaitu menjemput semua yang ada di situ agar dapat hadir malam nanti untuk majlis tahlil di rumah arwah. InsyaAllah, ada yang menyampuk. Aku sempat singgah di kubur arwah ayahku dan membacakan Al-Fatihah untuknya. Hanya batu sungai sebesar buah kelapa yang dibuat batu nesan. Dulu, pada awal ayah meninggal (1993) ada adik beradik yang mengesyorkan ditempah batu nesan yang bertulis nama padanya namun ada yang tidak menyetujui termasuk emakku kerana mungkin berpendapat ia bukan saja membazir tetapi dikhuatiri kubur arwah digunakan untuk perkara-perkara yang tidak dingini. Arwah seorang alim yang terakhir bergelar Tok Guru di mukim itu. Semasa hayatnya memberi kuliah pengajian agama kepada kariah samada di madrasah (surau) atau di rumah. Kitab-kitabnya yang tebal bertulis dalam bahasa Arab langsung aku tidak faham. Terdapat satu almari kitab-kitabnya dalam bahasa itu yang masih tinggal sedangkan kitab-kitab lain dalam bahasa Melayu (kitab kuning) telah diambil oleh orang lain yang mungkin untuk pengajaran dan sebagainya.

Hampir masuk waktu zohor, aku sudah sampai rumah emakku. Selepas solat berjemaah di rumah, aku tidur sebentar kerana kepenatan. Adikku yang tinggal di Rawang, Selangor juga pulang bersama isteri dan 3 orang anaknya. Beliau sekeluarga menggunakan bilik bawah rumah yang mana di situ juga mempunyai katil tempat tidur emakku. Aku dan anak perempuanku memilih tempat bahagian atas yang mempunyai dua bilik lagi termasuk ruang tetamu dan anjung. Bahagian anjung dan ruang tetamu keduanya bersambung menjadikan lebih lapang dan berlantaikan papan. Dulu arwah ayah selalu menggunakan ruang ini sebagai tempat solat berjemaah dan juga mengajar kitab. Ada satu sudut, memang tempatnya bersolat dan hingga kini, aku sering menggunakan tempat itu untuk menunaikan atau mengimamkan solat ketika pulang kampung.

Aku terjaga apabila terdengar namaku dipanggil dari halaman rumah. Rupanya abangku yang satu ibu denganku datang menjemput ke rumahnya waktu petang nanti untuk..'makan laksa!'..katanya. InsyaAllah, aku janji akan pergi selepas solat Asar nanti. Seorang lagi abangku yang tinggal bersebelahan rumah emakku datang berbual. Beliau salah seorang abangku yang tidak pernah memarahi aku masa kecil. Beliau mempunyai lesen senjatapi dan seringkali mengajakku berburu jika berkesempatan. Aku leka mendengar beliau bercerita sesekali emak kami menyampuk.

Ketika aku sedang bersiap selepas solat Asar, seorang kawan lamaku datang mengkhabarkan mengenai kematian isteri seorang kawan kami kira-kira jam 2.00 petang tadi. Isterinya meninggal di Hospital Kuala Lumpur kerana mengidap sakit kencing manis. Sebelum itu katanya, isteri kawan kami ini dimasukkan ke Hospital Daerah Taiping tetapi apabila semakin serius, beliau dipindahkan. Sebelah kaki telah dipotong namun akhirnya ajal sudah sampai. Mereka sedang menunggu jenazah yang dalam proses dibawa pulang.

Telefon bimbitku berbunyi lagi, panggilan dari abangku yang mengajak makan laksa tadi. Beliau bertanya bila aku nak datang dan meminta aku datang segera. Aku menyuruh anak perempuanku bersegera dan emakku juga mahu turut bersama, kami bertiga naik keretaku dan terus bergerak.

Sampai saja di rumah abangku, kelihatan ramai budak-budak sebaya 6-7 tahun yang berpakaian baru. Rupanya, abangku mengadakan parti harilahir anak perempuannya yang berumur 6 tahun. Memang benar, beliau menyediakan masakan laksa di samping makanan-makanan lain termasuk kek harilahir. Kemudian, ramai lagi adik beradik lain yang tiba dengan keluarga masing-masing. Keadaan sudah jadi riuh rendah. Kami semua agak jarang dapat berkumpul begini melainkan ada sesuatu jemputan dan perayaan. Seorang abangku yang tinggal di Pelabuhan Kelang sangat suka masakan laksa. Kalau kita pergi berkunjung ke rumahnya, beliau tidak ketinggalan menjamu kita dengan masakan laksa. Laksa versi utara (Penang) di mana kuah ikannya sudah tentu likat dan ada dimasukkan bunga kantan. Kita jadi asyik melihat beliau makan laksa kerana seolah-olah tidak percaya bahawa beliau boleh menghabiskan tiga pinggan penuh. Aku teringat masa kecil dulu, kalau ada sebarang jamuan makan laksa dalam majlis-majlis tahlil atau sebagainya, ketika itu ada cabar mencabar siapa boleh makan lebih banyak laksa antara tetamu. Teruknya, apabila mereka yang cabar mencabar ini, memasukkan laksa yang telah dikunyah ke dalam pinggan pencabarnya. Sekarang, aku perhatikan tiada lagi peristiwa seperti itu dilakukan. Kemungkinan tradisi itu tidak dipusakai setelah tiada lagi beberapa orang itu.
Hampir maghrib kami semua mula beredar. Aku beritahu cadangan untuk balik esok jam 10.00 pagi. Beliau berpesan supaya aku membawa pulang sedikit buah durian dan lain-lain. Kebetulan, sekarang musim buah durian baru mula gugur. Kebun durian pusaka bahagian kepunyaanku seluas setengah ekar ada berhampiran rumahnya. Selama ini pun, aku memang memberikan amanah kepadanya untuk menjaga semua bahagianku. Ada beberapa tempat lagi tanah kebun pusaka bahagian kepunyaanku termasuk tanah kebun yang aku beli sendiri. Semasa mula-mula bekerja dulu, aku sangat berminat membeli tanah kebun terutama kebun buah-buahan. Waktu itu, tawaran RM20 hingga RM30 ribu seekar dianggap sangat mahal. Sekarang kita amat sukar untuk mendapatkannya dengan harga seperti itu lagi. Tahun-tahun awal 90an, aku sering berulang alik dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres selepas kerja separuh hari Sabtu. Hari Ahad esoknya aku mengusahakan kebun dengan menanam terutama pokok durian, rambutan, manggis dan dokong (langsat). Aku menebas hanya menggunakan pisau sabit. Aku membeli sebuah motor 'scrambler' second hand yang aku simpan di rumah emakku untuk kegunaan ke kebun. Alhamdulillah, sekarang aku sudah mula merasa hasilnya. Pekerjaan berkebun mungkin tidak boleh menjadi kaya jika diusahakan seperti yang aku lakukan. Namun, ketenangan apabila melihat pokok tumbuh subur menjadi suatu terapi pada jiwa kita. Aku suka pada hutan yang menghijau dan udara segarnya. Beberapa tahun lepas, aku telah pindah pejabat dari bandaraya Kuala Lumpur ke Putrajaya. Aku mencari rumah baru di kawasan berhampiran yang sekitarnya masih mempunyai hutan atau pokok-pokok menghijau. Sekarang, hadapan rumahku mempunyai sebuah kolam takungan hujan yang agak besar juga berukuran 60m x 20m, aku menternak empat jenis spesis ikan di dalamnya seperti tilapia, baung, patin dan keli. Aku benarkan anak-anak jiran memancing secara percuma sahaja. Ikan patin membesar sehingga beratnya hampir 2kg. Ikan keli dan baung juga mencapai saiz besar lengan. Aku anggarkan, jika semua ikan ini dinaikkan boleh mencapai satu tons. Isteriku sangat suka menanam pokok-pokok bunga sekeliling kolam ini. Beliau sering membeli sendiri makanan dan memberi makan ikan-ikan tersebut. Pagi-pagi hujung minggu, beliau berkebun di situ.

Selepas solat Isyak, aku terus berjalan kaki ke rumah arwah. Orang ramai mula sedikit-sedikit memenuhi ruang dalam rumah dan bahagian anjung. Hampir kesemua orang lelaki berkopiah putih dan berkain pelikat. Sebahagiannya, aku pasti mereka terus datang dari masjid dan surau kampungku. Ada suara yang meminta mereka yang masih berada di luar supaya masuk ke dalam. Setelah suasana agak senyap sedikit, aku lihat adik lelaki kepada arwah datang menghampiri dan membisikkan sesuatu kepada bapa saudaraku yang aku panggil sebagai 'Pak long' iaitu beliau salah seorang imam di surau kampungku. Semua orang diam, dalam suara tenggelam timbul aku dengar bapa saudaraku memulakan majlis...

'Ila hadrati Saidina Wahabibina Wasyafi'ina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wassalam,

Wa Ila arwahi Aba'ihi Waikhwanihi Minal anbia iwalmursalin,

Solawatullah wasalamuhu Alaihi Waalaihim ajmain,

Waala Aali kulli Wassohabati Wattabi'in wattabi'ittabi'inalahumbiehsanin ila yaumiddin,

Waila arwahi Walidina Wamughallimina Wazawilhukuki 'Alaina Ajmain.
Al-Fatihah.

Malam itu tetamu dijamu dengan bihun goreng serta air teh dan kopi 'o' saja. Majlis tahlil biasanya akan dilakukan sebanyak 3 malam atau 7 malam berturut-turut. Tiap malam, jamuannya berbeza ala-kadar tetapi pada malam akhir biasanya tetamu akan dijamu dengan nasi berhidang. Sekitar jam 10.00 malam tetamu sudah selesai makan. Hanya tinggal beberapa orang lagi yang diminta supaya membaca Al-Quran sehingga khatam. Aku dengan tiga orang lagi abang-abangku, dua orang bapa saudara serta seorang anak saudara berbincang bagaimana cara untuk mengkhatamkannya. Tadi tetamu telah diberitahu bahawa majlil arwah akan diadakan selama 7 malam. Jadi kami berpendapat, tiap seorang membaca untuk satu juzuk bagi tiap malam atau siapa yang tinggal perlu menghabiskannya sehingga malam ketujuh. Dalam perbincangan itu, aku cepat-cepat memohon supaya diberikan juzuk awal kerana berpendapat ia tidak terlalu sukar untuk membacanya. Kira-kira jam 11.15 malam, aku orang yang keempat selesai membaca. Seharusnya kita mesti jujur ketika membaca Al-Quran, membaca dengan tartil dan menyebut dengan betul. Jika tersasul atau terhenti, kita ulang semula dengan mengundur sedikit ke belakang ayat tersebut. Kita tahu, syaitan sentiasa membisikkan supaya kita membaca dengan tidak bertanggung jawab dan ingin cepat habis saja. Sejak kebelakangan ini, agak sukar untuk mengupah orang 'mengaji kubur'. Di kampungku atau mukim berdekatan, jika berlaku kematian terhadap keluarga yang mampu, ada yang mengupah sekurang-kurangnya tiga orang untuk tinggal di tanah perkuburan si mati selama tujuh hari tujuh malam hanya membaca Al-Quran sekurang-kurangnya khatam setiap seorang. Pondok kecil akan dibina atas kubur tersebut dan mereka ini akan bergilir keluar jika untuk makan dan melepaskan hajat (buang air dan sebagainya).

Waktu pagi, selepas aku solat sunat Dhuha, emakku menyuruh mengait rambutan di tepi rumah. Ketika aku sedang mencari galah dan 'gunting' di bawah rumah, abangku sudah pun menyuruh anak saudaraku memanjat dan menetas dahan menggunakan parang. Aku menjerit dari jauh supaya tidak memotong dahan seperti itu kerana pokok itu masih baru membesar dan pertama kali berbuah. Buahnya berwarna kuning dan isinya tebal dan longkah. Adikku bersama isterinya serta kakak iparku mengutip dan memasukkannya ke dalam bakul.

Sedang aku berkira-kira hendak berangkat, ketua kampungku singgah ke rumah dan memaklumkan jenazah isteri kawanku yang meninggal di hospital petang semalam akan disembahyangkan di masjid pada jam 10.00 pagi. Astafirullahalazim, aku fikir biarlah pergi solat jenazah dahulu sebelum bertolak. Pukul 11.00 pagi, aku juga ada jemputan untuk baca yasin dan tahlil di rumah sepupuku kerana beliau akan berangkat ke Mekah menunaikan haji pada awal November ini. Beliau menjemputku petang semalam tetapi aku minta maaf kerana jangkaan tidak dapat hadir. Aku pun sudah memaklumkan isteri semalam bahawa kami akan bertolak pulang pada 10.00 pagi ini. Asalnya, memang aku bercadang hendak tinggal tiga hari di kampung kerana kebetulan cuti umum suatu perayaan pada hari Isnin. Kasihan, isteriku tidak dapat menggunakan kereta kerana pintu pagar berkunci sedangkan kuncinya ada bersamaku.

Aku menukar pakaian dan segera ke masjid tanpa memaklumkan kepada anak perempuanku. Tadi aku lihat beliau sedang bersiap-siap memasukkan pakaian ke dalam beg baju. Di ruang hadapan rumah yang berlantaikan simen, aku nampak buah rambutan yang baru dipetik tadi sudah diikat tersusun di situ. Paling menarik, ada selonggok buah durian berhampirannya. Anak lelaki abangku yang menghantarnya awal pagi tadi. Emakku sendiri ada menyimpan beberapa biji lagi di dalam bilik mandi hadapan, katanya untukku bawa pulang. Buah durian dari pokok berhampiran rumah pusaka kepunyaannya. Ada kebun durian kepunyaan kakakku berhampiran rumah emak di mana kakakku sendiri membiarkan emak mengutip tiap pagi dan menjualnya sekali. Kakakku juga mempunyai beberapa lagi kebun lain termasuk rumah baru yang dibina atas tanah kebun di pinggir kampung. Ia dibina sebelum beliau berpindah dari rumah lamanya di sebuah taman dekat pekan berdekatan. Oleh kerana beliau rasa tinggal agak berjauhan dengan emak dan adik beradik serta kebetulan arwah suaminya waktu itu sering sakit-sakit jadi beliau mengambil keputusan membina rumah lain di kampung. Suaminya sempat tinggal di rumah baru ini untuk beberapa tahun sebelum pergi buat selama-lamanya pada awal tahun ini.

Di masjid, kelihatan jenazah telah berada di hadapan mimbar. Nampak benar pengusung dan kain penutupnya berlainan. Jenazah perempuan, kedudukan bahu kanannya menghala kiblat. Oleh kerana, kedatangan jemaah masih belum ramai, aku mengambil kesempatan bersembahyang sunat tahiyatul masjid dua rakaat. Setelah selesai, aku nampak di hadapan sebelah kiri, seorang sepupu lelaki sebelah emakku sedang duduk membaca Al-Quran dengan suara yang sangat perlahan. Aku tidak menyapanya kerana tidak mahu mengganggu. Aku agak, beliau juga sedang menunggu untuk menyembahyangkan jenazah ini. Tidak lama, secara tiba-tiba sahaja, ramai jemaah masuk secara serentak ke dalam masjid untuk memulakan sembahyang ke atas jenazah ini. Aku mengambil barisan hadapan sekali. Aku berpakaian kemeja dan berseluar panjang serta kopiah putih serupa dengan beberapa orang muda yang lain. Sembahyang ini diimamkan oleh salah seorang imam masjid yang memang aku kenali. Di kampungku, urusan mendapatkan imam bagi menyembahyangkan jenazah mungkin tidaklah sukar atau cerewet.

Ketika keluar dari masjid setelah selesai sembahyang, aku mencari kawanku iaitu suami kepada arwah untuk menyampaikan ucapan takziah. Kesedihan nampak di wajahnya. Aku sempat bertanya, kenapa perlu hantar isteri hingga ke hospital Kuala Lumpur kerana aku pasti agak sukar untuk menguruskan serta memakan agak banyak perbelanjaan pengangkutan. Beliau sendiri tidak berapa tahu katanya. Bagaimanapun, Alhamdulillah, segalanya sudah selesai.

Aku tidak turut serta ke perkuburan kerana memadai orang lain sudahpun ramai yang ikut bersama. Sebelum aku masuk ke dalam kereta, ada seseorang yang memanggil namaku dan bertanyakan samada aku mahu pergi ke rumah sepupuku yang hendak ke Mekah. 'Ya!'...beliau lantas minta tumpangkan seorang imam surau kampungku yang hendak ke sana juga.

Setibanya kami di sana, kelihatan sudah banyak kereta yang diletakkan tepi jalan. Orang agak ramai juga. Kami disambut oleh sepupuku di tepi tangga. Rumahnya jenis dua tingkat, rumah lama yang pelapik tiangnya dari konkrit yang tinggi paras bahu. Rumah ini dijaga dengan baik dan seingat aku sejak kecil bentuknya tidak banyak berubah cuma cat dan warnanya pernah ditukar. Kami diberikan satu beg kertas kecil comel di mana di dalamnya ada sebuah buku kecil 'surat yasin'. Lantas aku teringat bahawa sekarang sudah mula budaya menghadiahkan terus buku 'surat yasin' kepada para jemputan bagi majlis-majlis seumpama ini. Aku bersalam dengan semua orang bermula masuk pintu utama berkeliling sehingga habis dengan cara membongkok dan bergerak dari seorang ke seorang yang masing-masing sedia duduk. Lepas itu, aku cari suatu sudut yang sesuai untuk duduk dan boleh menyandar belakang. Aku membelek-belek buku kecil tersebut dan di dalam muka surat depan ada tercetak nama dan tujuan tuan rumah menghadiahkan buku kecil itu. Jazakallahukhairan. Sebelum majlis bermula, sepupuku berdiri berucap dengan kedengaran suara yang agak gementar. Beliau menyebut tiga perkara besar berkaitan hajat beliau dan keluarganya menjemput tetamu ke majlis ini. Aku mendengar dengan teliti kerana beliau berdiri membelakangi aku, agak hampir dua langkah sahaja. Pertama, beliau memberitahu tujuan menjemput semua tetamu kerana beliau akan berangkat ke Mekah menunaikan haji tahun ini bersama-sama emak dan isterinya. Kedua, beliau memohon maaf sebarang kesilapan jika ada terhadap semua tetamu serta minta halalkan segalanya. Ketiga, beliau memohon semua tetamu agar mendoakan keselamatan mereka selama tempoh berada di tanah suci serta dapat menunaikan rukun haji dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur.

Kami dijamu dengan makan tengahari iaitu nasi berhidang. Ramai yang duduk makan di bawah khemah. Kelihatan macam kenduri kahwin. Agak meriah. Sudah menjadi kebiasaan, seseorang yang akan pergi menunaikan haji akan membuat suatu majlis membaca yasin dan doa selamat.
Ada tetamu yang akan mengingatkan dan mengirim salam untuk junjungan kita Rasulullah SAW. Berbagai pesanan yang diberikan oleh orang yang telah lebih terdahulu sudah pergi menunaikan haji atau umrah. Aku sendiri sebelum pergi haji tahun lepas, pelbagai pesanan dan peringatan diberikan oleh mereka yang pernah ke sana. Kita boleh mendengar dan mengambil ikhtibar. Ketika berada di Mekah, kita sendiri akan merasai pengalaman samada benar atau tidaknya, segala apa yang digambarkan kepada kita sebelum itu. Namun, menjadi rezeki masing-masing kerana tanah suci adalah tempat ibadah yang mempunyai keistimewaan yang sangat besar ganjaran pahalanya berbanding dengan tempat-tempat lain di dunia ini.

Selepas makan, orang ramai mula beredar. Aku melihat jam di tanganku sudah pukul 12.30 tengahari. Aku segera meminta diri untuk pulang dan menawarkan untuk menumpangkan 'pak long' dan seorang lagi bapa saudara naik keretaku bagi menghantar mereka pulang ke rumah.
Jalan ke rumah 'Pak Long' agak sempit dan berpasir. Aku perlu berhati-hati memandu melalui jalan ke rumahnya. Aku tidak kesah jika tayar kereta berselut tetapi bimbang kereta tergelincir ke tepi yang boleh mendatangkan masalah pula. Rumahnya agak tersorok ke dalam berhampiran sawah terbiar, setelah beliau turun, aku mengundur kereta untuk mencari ruang untuk membuat pusingan kereta.

Di rumah emakku, semua barang-barang termasuk buah durian dan rambutan dimasukkan ke dalam but (boot) kereta. Penuh dan padat. Emakku juga sibuk membantu menyumbatkan buah-buah pada ruang-ruang yang kosong. Bahagian dalam kereta biasanya aku tidak benarkan dibubuh sebarang beg atau barang-barang lain. Jika memandu seorang atau berdua selalunya aku biarkan kosong di bahagian belakang tempat duduk penumpang. Bau buah durian akan lambat hilang, walaupun sudah beberapa hari dikeluarkan. Bagi ia tidak ketara, aku selalunya mengambil beberapa helai daun pandan kemudian mengikatnya menjadi gumpalan selepas itu aku letakkan di bawah tempat duduk. Bau durian di dalam kereta tidaklah ketara lagi apabila ia telah dinaturalkan dengan daun pandan. Sebenarnya, petua ini sudah lama orang pakai. Aku hanya mencuba tetapi nampaknya ia berkesan. Macam-macam, ada orang menggunakan ketulan kayu arang yang diselitkan pada beberapa tempat jejak depan dan belakang. Entahlah, tetapi aku pernah menggunakan ketulan kayu arang yang dibubuhkan dalam peti ais bagi menghilangkan bau hanyir dan sebagainya tetapi sekarang tidak lagi kerana aku sudah beli peti ais baru yang lebih besar serta mempunyai sistem nyah bau. Bahagian dalamnya terbahagi beberapa ruang tertutup yang memisahkan ikan dan sayur serta benda-benda lain. Peti ais yang lama aku hantar balik rumah emakku. Aku lihat peti ais itu masih digunakan tetapi getah bahagian tepi pintunya sudah keras dan tidak efisyen lagi. Aku ada sebuah lagi peti ais yang tidak digunakan, tiap kali balik kampung aku teringat hendak bawa peti ais itu tetapi sampai sekarang belum aku hantarkan. Kos menghantarnya agak mahal juga tetapi berbanding membeli peti ais 'second hand', aku tidak tergamak apabila memikirkan bimbang peti ais yang telah digunakan oleh orang yang kita tidak ketahui benda apa yang telah dimasukkan. Emakku sendiri pun tidak berapa kesah sangat kerana beliau tinggal seorang dan hanya menyimpan sedikit ikan dan sayur yang berlebihan digunakan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, aku mula bergerak untuk balik ke Kuala Lumpur. Emakku menghantar kami hingga ke laman rumah. Sudah seperti kebiasaan, aku akan meninggalkan sedikit wang untuk emakku. Jika ada anak-anak saudara yang kecil berada berdekatan, aku akan agih-agihkan beberapa keping wang kecil sambil melawak..'doakan pak cik jadi kaya!'..Doa anak kecil dikatakan sangat mustajab jika beliau mengerti dan bermaksud terhadap doa tersebut. Adikku memberitahu beliau dengan keluarganya akan pulang ke Rawang pada hari esok. Tadi masa aku memasukkan buah-buah durian dan rambutan, aku telah tinggalkan sebahagian daripadanya untuk beliau bawa pulang. Emakku berdiri dan melambai selepas aku bersalam dan mencium tangannya sambil memohon pergi dan mengucapkan salam.

Terasa keretaku agak berat membawa barang, aku bertanya kepada anak perempuanku jika beliau ada apa-apa barang yang tertinggal sebelum keretaku bergerak memasukki plaza tol dan menuju lebuhraya utara-selatan. Lebihkurang sejam dalam perjalanan, kami sudah melepasi RR Tapah. Tiba-tiba ada panggilan dari saudara sebelah emak di kampung menyampaikan berita kematian mengejut isteri sepupuku sebelah emak sebentar tadi. Isteri sepupuku yang semalam aku lihat suaminya duduk membaca Al-Quran di dalam masjid sementara menunggu sembahyang jenazah isteri seorang kawanku yang meninggal di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit kencing manis itu. Allahu Akbar!...Tuhan Maha Kuasa, Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Aku meminta nombor telefon anak lelaki arwah yang merupakan saudaraku yang sama-sama berkhatan denganku semasa aku berumur 12 tahun. Sudah lama aku tidak berjumpa dengannya. Aku diberitahu bahawa beliau menjadi seorang guru dan mengajar di sebuah sekolah di Bidor. Aku bercadang akan menelefon beliau selepas ini bagi mengucapkan takziah serta memohon maaf kerana tidak turut sama hadir di pengebumian ibunya.

Kami berhenti di RR Ulu Bernam untuk berehat sebentar. Aku juga merasa agak penat malah aku mudah mengantuk terutama memandu di lebuhraya. Lebuhraya yang lurus dan sehala serta kebetulan pula kereta tidak banyak berbanding waktu-waktu perayaan boleh menjadikan kita leka dan mengantuk. Kami minum petang sebelum pergi solat asar di situ. Tidak lama selepas itu, kami meneruskan perjalanan sampai rumah. Sepanjang perjalanan tiada hujan dan tiada sebarang kemalangan ditemui. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana perlindungan-Nya, kami selamat sampai di rumah kira-kira jam 6.15 petang. Isteri dan dua anakku yang lain ada di rumah ketika kami sampai. Pembantu rumah sedang memberi makan ikan di kolam hadapan rumah. Waktu maghrib, aku ke surau berhampiran rumah, selepas solat aku berjalan pulang bersama seorang ustaz yang juga tinggal berhampiran rumah, aku beritahu mengenai kematian berturut-turut yang berlaku di kampungku. Beliau secara lawak mengatakan..'Malaikat sekarang ni pun nak jimat, dia datang sekali pakej senang kerja'.

Tiba di rumah, aku duduk sebentar di kerusi malas hadapan tv. Semacam jadi tabiat pula, apabila aku sering membuka tv kemudian menukar-nukarkan salurannya (channel) menggunakan 'remote'. Saluran astro yang berbayar sebulan hampir RM100 kadangkala aku fikir mahal dan tidak banyak membantu dalam membentuk sahsiah dan nilai-nilai murni masyarakat kita. Segala cerita dan filem terutama dari luar negara, menyumbangkan budaya tidak senonoh, ganas, hiburan dan sebagainya. Sakit hatinya, seolah-olah pengguna seperti kita dipaksa menonton semua itu dan pakej yang ditawarkan juga tiada bebas pilihan. Aku tidak pasti samada ada agenda lain pula apabila tayangan iklan sering diserentakkan pada kebanyakan saluran popular, seolah-olah tidak membenarkan kita bertukar saluran. Tayangan filem atau cerita selalu berulang dalam tempoh yang dekat dan kerap. Kita rasa macam bodoh sahaja menonton cerita itu beberapa kali dengan membayar yuran bulanan sebanyak mana pakej yang kita ambil. Ketika aku menonton berita jam 8.00 malam untuk beberapa ketika, kelihatan keluar tulisan bergerak menandakan masuknya waktu Isyak. Berita lebih penting dari memberhentikan siaran berita sebentar bagi laluan azan. Itulah kita sebagai manusia, hanya mementingkan keseronokan hidup di mana sering meminggirkan seruan solat dan tidak mengingati kematian.

'Kita ingat boleh bertongkat langit dan mencabar usia,
segala yang berhasil kerana usaha dan kuasa sendiri,
bangga dan bermegah dengan kelebihan dan kehebatan,
sedangkan ia adalah maya dan fana,
seumpama mengejar gambaran air di padang pasir tandus,
menghabiskan sisa tenaga dan usia,
akhirnya tiada apa dan sia-sia tidak berguna'.

'Betapa kuat dan hebatnya hidup seseorang tidakkan menang menentang kematian'

Wassalam.

Selasa, September 23, 2008

Anak2ku Di Universiti

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr (Masa)..ada tiga (3) ayat sahaja.

'Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang'

1. Demi masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,
3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.


Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...kenapa Allah SWT mengingatkan kita tentang masa?

Secara fitrahnya seorang manusia sejak lahir akan melalui beberapa peringkat usia pembesarannya. Proses perubahan usia akan berlaku mengikut masa yang berjalan tiada hentinya. Perubahan tahap pemikiran dan akal seseorang itu juga fleksibel. Ia mungkin berganjak dari satu tahap tidak baik kepada baik ataupun sebaliknya. Normalnya, Allah SWT telah menganugerahkan akal ke dalam otak kita yang asalnya kosong untuk manusia memilih sendiri bagaimana menggunakan akalnya.

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...kenapa Allah SWT bersungguh dalam perkara masa?

Setelah kita bertambah usia dan berakal, kita ada pilihan samada hendak menggunakan masa dengan bijak atau kita membiarkannya berlalu tanpa sebarang menafaat atau faedah. Kebijaksanaan akal yang cemerlang akan nampak kesan dan akibatnya dari sebarang penggunaan masa yang Allah SWT peruntukkan untuk kita. Jika kita menanam kemalasan, hasilnya tiada kejayaan. Jika kita tidak belajar, kita tidak akan lulus. Malah jika kita mensia-siakan hidup ini, penghujungnya kita akan mendapat kerugian yang besar.

Anak2ku Di Universiti,

Bacalah Surah Al 'Ashr...

Allah SWT bersumpah dengan masa...ada dua (2) golongan manusia?

Manusia yang beriman dan manusia yang tidak beriman. Allah SWT hanya mengecualikan kerugian kepada manusia beriman yang sentiasa berpesan-pesan supaya taat atas kebenaran dan berpesan-pesan tetap atas kesabaran.

Taat atas kebenaran dalam memperkatakan kebenaran dan hak. Yang benar itu tetap diakui kebenarannya. Tidak akan merubah keputusan yakni berdiri teguh atas membenarkan perkara yang hak. Kukuh dan bertetap keimanan yakni tidak goyang dan tergoda dengan segala perkara yang tidak baik serta merosakkan.

Tetap atas kesabaran pula ada dua (2) keadaan iaitu bersabar dalam godaan yang merosakkan dan bersabar menanggung musibah.

Umpama, anak2ku yang sedang belajar, hendaklah bersabar dalam mentelaah ilmu yang kejayaannya tidaklah cepat dan semudah itu. Menggunakan masa dengan betul dan memenuhi tanggungjawab belajar adalah peluang yang masa datangnya hanyalah sekali. Harapan dan cita-cita hendaklah bertetap serta sabar dalam mengharungi kesusahan belajar. Kecewa, letih, tekanan dan seumpamanya adalah ujian yang menuntut kesabaran sehingga tiba waktunya, InsyaAllah kejayaan.

Anak2ku Di Universiti,

Belajarlah selagi ada peluang...kesinambungan ilmu pemangkin hayat keturunan berakal.

Isnin, September 15, 2008

Hafiz Jadi Imam Terawih

Kebanyakan masjid dan surau dalam kawasan perumahan di bandar-bandar mengupah imam dari pusat-pusat Tahfiz untuk mengimami solat sunat terawih di masjid atau surau tempat kediaman masing-masing. Mereka ini dibayar agak mewah juga dalam jumlah 4 angka selama sebulan menjadi imam solat ini. Ada masjid yang mengimpot imam (kebanyakan pelajar kita yang belajar) dari luarnegara terutamanya dari Mesir atau Arab Saudi khas untuk sebulan Ramadhan ini. Kemeriahan syiar ini menghidupkan malam-malam Ramadhan.

Ada masjid yang menghabiskan satu juzuk setiap malam. Solat akan selesai lebih kurang jam 10.30 malam. Mulanya, ramai dan banyak saf di belakang...tapi bila lepas 8 rakaat hanya tinggal yang jenis hardcore saja!. Jika bacaan imamnya yang lunak, makmum akan kusyuk juga walaupun tidak memahami ertinya.

Seorang yang hafaz Al-Quran sangatlah istimewa di mata masyarakat. Mereka ini dianggap seorang yang bersih dari segala segi kehidupan. Mereka sangat berhati-hati dalam menjaga halal dan haramnya makanan, memelihara mata dari memandang perkara-perkara syahwat, mengelak dari berfikir berkenaan perkara-perkara yang kotor dan sebagainya. Ayat suci yang disimpan di dalam dada sentiasa dibaca setiap hari berulang-ulang!.

Masjid atau surau yang tidak mempunyai imam yang hafaz, mereka meletakkan Al-Quran yang bersaiz besar di hadapan imam dan dibaca secara satu muka surat untuk satu rakaat solat terawih. Imam macam ini tidak perlu ada bantuan dari makmum belakang jika terlupa atau tersasul bacaan. Cuma setiap kali nak dirikan solat, helaian muka surat itu perlu dikepilkan atau disepitkan dengan sesuatu supaya tidak diselak angin kipas atau sebagainya...kalau tak gawat jadinya.!

Bagaimanapun, masjid dan surau di kampung-kampung masih mengekalkan tradisi membaca ayat-ayat lazim bermula dengan Surah At Takaatsur hingga Surah Al Lahab dengan diselangselikan Surah Al Ikhlash pada malam-malam setengah bulan pertama kemudian diselangselikan dengan Surah Al Lail pada malam-malam bakinya.

Khamis, September 11, 2008

Solat Witir vs Tahajud Malam Ramadhan

Kadang kita mendengar ada orang memberi pelbagai pendapat mengenai boleh atau tidaknya mengerjakan solat tahajud dan solat-solat sunat yang lain pada tengahmalam Ramadhan setelah kita sudah mengerjakan solat Witir semasa selesai solat sunat Tarawih pada awal malam.

Mungkin banyaknya pendapat menyebabkan kita keliru dan kabur... mana satu nak ikut. Ramai yang bercakap macam ustaz. Apa tidaknya, ada sesetengahnya tidak turut bersolat witir bersama jemaah lain ketika selesai solat sunat tarawih kerana hendakkan bangun tengah malam nanti untuk dirikan solat sunat tengah malam (Tahajud).

Ada yang berpendapat buat dulu solat witir itu tetapi hanya dua (2) rakaat saja sementara bakinya akan tutup selepas bangun tengah malam dan menyelesaikan solat-solat sunat yang lain.

Tetapi, yang ironisnya kerana berpegang pendapat solat witir itu adalah penutup solat sunat maka mereka terus tinggalkan solat witir semasa selesai jemaah solat terawih dengan harapan kononnya nak bangun tengah malam tapi kesudahannya hanya terjaga hampir habis waktu sahur. Tinggal niat sajalah....!

Isnin, September 08, 2008

Senang Kira Hari Berpuasa

Tahun ini umat Islam dalam negara kita mula berpuasa pada hari Isnin 1 September 2008. Jadi mudah bagi kita untuk mengira jumlah berapa hari sudah berpuasa. Oleh kerana kita dah biasa dengan bulan masihi, kita kerap kali lupa bulan hijrah iaitu takwim Islam yang seharusnya menjadi panduan. Namun tahun ini, takdirnya kita berpuasa selari dengan bulan September 2008. Bagaimanapun, haribulan takwim Islam akan terpisah apabila tiba penghujung bulan-bulan berikutnya. Bulan pada takwim Islam tidak pernah melangkaui 31 hari seperti bulan-bulan masihi seperti Januari, Mac, Mei, Ogos, Oktober dan Disember. Seolah-olah takwim Islam lebih laju malah kita pernah dapati beberapa bulan yang berada dalam takwim Islam boleh berada dalam kalendar masihi itu sebanyak dua (2) kali. Kita pernah menyambut Hariraya Haji dua (2) kali dalam tahun masihi. Uniknya, tarikh awal Ramadhan dan Syawal ditentukan dengan menggunakan kaedah rukyah (melihat anak bulan) pada penghujung Syaban dan Ramadhan. Ketentuan ini yang mendatangkan bilangan hari pada bulan dalam takwim Islam boleh jadi berubah-ubah pada setiap tahun.

Allah SWT merahsiakan bilangan hari bagi menutup bulan hijrah. Hikmahnya, umat Islam harus bersatu dalam kesatuan sejagat untuk selari dan serentak dalam membuat sebarang keputusan berkaitan maslahat ummah. Namun pada tahun ini kita masih dapati keseragaman di dunia Islam masih berpisah-pisah dan tidak bersatu padu. Libya berpuasa awal sehari manakala Iran pula berpuasa lewat sehari dari majoriti negara Islam yang berpuasa bermula 1 September 2008.

Bagaimanapun, berbanding tahun-tahun dahulu sekitar 80-an seringkali berlaku menyambut awal puasa dan hariraya berbeza-beza di antara negara-negara Asia Tenggara malah di dalam negara kita sendiri pun. Ketika itu, makmum terasa serbasalah terutama yang baru pulang dari perantauan samada mahu ikut yang mana satu. Kelakarnya, penduduk yang tinggal berhampiran sempadan negeri terpaksa menahan sabar masih berpuasa apabila melihat jiran sebelah negerinya sudah berhariraya.

Jumaat, Ogos 22, 2008

'Aku Nak Berhenti Merokok!'

'Aku nak berhenti merokok!',

Itulah kata-kata yang biasa kita dengar dari mulut kawan-kawan yang merokok sejak dulu lagi. Sudah beberapa tahun, masa berlalu sehari ke sebulan seterusnya bertahun hingga kini...kita melihat mereka masih menghisap rokok. Ucapan yang hanya tinggal ucapan sahaja yang tidak disertai dengan tindakan. Hanya bercita-cita tetapi tidak mencuba!.

Semangat yang longgar,
Tiada kekuatan diri,
Mungkir pada janji diri sendiri,
Sukar menahan godaan ketagihan,
Berpura-pura dalam memahami kesihatan,
Kurang perasaan sensitif orang sekeliling,

Tabiat perokok yang buruk:
Membuang puntung rokok merata-rata selain tempat khas atau astray
seperti;
pasu bunga, pinggan makanan, cawan minuman, kolam hiasan dalam taman atau bangunan, terus buang dalam bakul sampah tanpa mematikan dahulu api puntung rokok, tepi jalan dan lain-lain.
Kerap meminta-minta rokok kepada kawan-kawan atau paling teruk mengambil terus dari kocek baju kawan sebelum diberikan.
Menghisap rokok dalam mana-mana tandas sambil membuang air besar!.

Tabiat perokok yang membahayakan:
Menghisap rokok ketika baring hendak tidur dalam bilik tidur,
(Pengalaman penulis hampir terbakar rumah sewa apabila tilam tempat tidur terkena api puntung rokok yang jatuh dari tangan apabila terlelap semasa menghisap rokok, Penulis terjaga setelah terasa panas api marak yang membakar hampir keseluruhan tilam. Peristiwa ini berlaku lama dulu (awal 1983).

Kesan pada alam sekeliling:
Pokok bunga boleh mati kerana sisa candu dan segala macam kandungan dalam sebatang rokok itu tidak boleh menjadi baja tetapi sebaliknya menjadi racun,
Pinggan dan cawan jenis plastik atau melamine yang biasa digunakan di restoran atau gerai makan akan nampak berbekas tanda bakar kerana tenyehan puntung rokok.
Jika merokok dalam kereta atau bilik yang tiada banyak ruang udara keluar masuk, bau pahit asap rokok akan kekal dan melekat pada pakaian dan kusyen.
Jika puntung yang masih menyala dibuang tepi jalan boleh mengakibatkan kebakaran terutama lalang dan musim kering.
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Kesan pada kesihatan diri:
Nafas terasa sesak dan perit dalam dada ketika melakukan kerja menggunakan tenaga yang banyak,
Ketika bangun waktu pagi, kerongkong terasa kering dan mengeluarkan batuk dan bunyi lelah yang mengerikan kepada orang lain yang mendengarnya,
Bibir menjadi hitam kesan terbakar,
Celahan, belakang dan hadapan gigi terdapat kesan tar berwarna coklat kehitaman yang menutup keserlahan gigi yang sihat,
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Kesan pada pandangan orang lain:
Jika perempuan muda yang menghisap rokok di tempat awam akan dipandang semacam seolah-olah dianggap sudah rosak moralnya,
Jika budak-budak yang menghisapnya akan dianggap budak nakal yang menghabiskan wang saku sekolah atau mereka ini tidak boleh diharap kejujurannya dalam sesuatu perkara yang melibatkan wang,
Dan lain-lain tidak tersenarai.

Rokok kena haram!
Negeri Selangor semasa bawah Allahyarham Mufti S.S. Dato' Ishak Baharom telah mengeluarkan fatwa iaitu merokok adalah haram!. Heboh satu negara...ada yang pro malah ramai yang menentang pengistiharan itu. Peliknya, jika mufti seorang yang dianggap boleh mengeluarkan fatwa hukum dalam kehidupan Islam tetapi ditentang serta fatwanya tidak digunapakai jadi kepada siapa lagi kita boleh harap dan dipercayai?
Lagi hairan apabila kita jumpa orang yang bergelar ustaz dan berkopiah putih (lebai) masih menghembuskan asap rokoknya di mana-mana majlis kenduri tahlil malah di beranda masjid sekalipun.
Budaya merokok di kalangan orang kita sangat sebati seolah-olah tidak dapat dipisah-pisahkan. Mungkin orang terdahulu menganggap menghisap rokok adalah perbuatan makruh yang tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan kesihatan yang besar. Namun anggapan terdahulu mungkin berbeza dengan anggapan sekarang di mana keterbatasan maklumat dan kajian terhadap kesan kerosakan yang boleh didatangkan dari tabiat merokok sekarang ini jika diambil peduli secara benar..semua orang takut untuk menghisapnya.

Ketagihan merokok yang melampau!
Seawal kanak-kanak berumur belasan tahun sudah ketagih merokok. Pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok akan memberi kesan menarik kepada kanak-kanak tadi untuk turut mencuba dan kemudian akan menjerumuskan mereka terus dalam masa tertentu sebagai perokok yang kerap.
Mungkin pada mulanya mereka hanya berkongsi sebatang rokok namun lama-lama kelamaan mereka sudah mula membeli sendiri. Apabila sampai peringkat ini, seorang kanak-kanak itu akan berada dalam zon ketagihan yang melampau. Keadaan yang terdesak untuk mendapatkan rokok sedangkan mereka tidak mempunyai pendapatan akan mendatangkan suatu lagi masalah dalam masyarakat sekeliling. Ketagihan melampau akan mendorongkan mereka membuat apasaja asalkan boleh mendatangkan duit. Alhamdulillah, jika mereka cuba mendapatkan wang dengan bekerja mencari dan mengumpul botol-botol untuk dijual, atau membantu dalam kerja-kerja restoran dan sebagainya.
Menghisap rokok selepas makan nasi tengahari atau selepas makan pedas-pedas adalah suatu kenikmatan yang amat sangat kepada perokok yang ketagihannya melampau. Ketika ini, perokok yang kehabisan rokoknya tidak akan merasa segan dan silu untuk meminta-minta rokok kepada kawan-kawan atau orang sekelilingnya.

Perokok lelaki nampak macho!
Mungkin itu adalah anggapan kanak-kanak lelaki yang terpengaruh!. Mereka merasa sudah lebih dewasa, nampak ketika merokok di mana-mana tempat terdedah dengan gaya rokok di celah jari serta menghembus asap ke atas seolah-olah...'inilah aku seorang lelaki!'.

Menahan dari mengantuk:
Mungkin..kesan nikotin.
1. Untuk memandu terutama waktu malam.
2. Untuk menulis dan membaca terutama mentelaah waktu malam.
3. Untuk mengusir nyamuk ketika berada dalam hutan atau sedang memancing dsb.

Pengalaman 20 tahun sebagai penghisap rokok!
(Pengalaman penulis ketika ke sekolah, waktu itu masih dalam tingkatan 3..membawa rokok di dalam pencil box Oxford beserta bilah-bilah mancis yang kotaknya diceraikan pada bahagian tepi untuk gores. Penulis menghisap rokok sejak berumur enam tahun (tahun 1965) iaitu sekadar sisa-sisa rokok orang tua atau abang-abang yang lain. Jenama rokok ketika itu jenis Rough Rider, Signal, 555, Gold Leaf dan lain-lain yang agak popular. Penulis mula membeli sendiri ketika darjah 3 dengan mengorbankan wang saku yang ayah beri sepuluh sen sehari. Harga rokok ketika itu lingkungan 25 sen sekotak jenis murah yang berisi sepuluh batang.

Tiada masalah jika ingin berhenti...
Penulis berhenti dari menghisap rokok pada tahun 1984. Ketika itu, hisap rokok jenama Benson & Hedges...sehari 2 kotak besar yang mengandungi 20 batang bagi setiap kotak. Harga RM 4.80 sekotak. Belanja untuk rokok setiap bulan jika simpan dah boleh beli rumah! Rokok pula kalau disambung-sambung, boleh lilit bumi beberapa kali..Dalam paru-paru, jika di x-ray..ngeri nak cakap!.

Petua nak berhenti.
Kalau nak berhenti..tak perlu bagi alasan. Terus saja berhenti. Jika ada orang pelawa selepas itu, minta maaf..kata dah tidak hisap lagi. Memang ketagihan agak mencabar. Jangan pula ganti dengan gula-gula atau benda lain sebagai mengisi ketagihan itu. Anggap macam sedang puasa saja. InsyaAllah, selepas 2 bulan..anda tidak rasa nak merokok lagi. Selepas itu..nekad dan jangan hisap lagi walaupun rokok daun (rokok daun nipah yang dibalut sendiri..biasanya dulu-dulu kebanyakan dihisap oleh orang tua-tua di kampung atau ada dalam bekas sireh yang diunjukkan pada tetamu).

Anda menjadi seorang yang lebih baik jika tidak merokok!
Anda membantu mengelakkan pencemaran udara,
Anda disenangi untuk duduk bersama kawan-kawan lain dalam zon tidak merokok ketika makan,
Anda tidak gelisah ketika berada lama dalam kapalterbang atau kenderaan lain semasa dalam perjalanan kerana tidak dibenarkan merokok,
Anda menepati menjadi seorang muslim yang tidak membazirkan wang untuk rokok,
Anda seorang yang sihat dan tiada masalah penyakit paru-paru.

Isnin, Ogos 18, 2008

MAHA2008 bernostalgia!






















Sabtu lepas 15/08/08 bawa isteri dan anak lelaki dan mak mertua pergi melawat pameran MAHA08 di tapak MARDI, Serdang.
Menarik di mana pameran buah-buahan nadir dapat mengimbau kenangan lama 30 tahun lalu pokok buah-buahan ini masih wujud lagi. Mungkin generasi kelahiran selepas 80-an tidak kenal dengan buah-buahan ini. Pokok-pokok jenis ini sudah semakin berkurangan atau kemungkinan pupus apabila ia tidak dianggap pokok buah yang bernilai.










Rabu, Julai 30, 2008

Logik Akal Perjalanan Israk Mikraj

Hari ini 30 Julai 2008 (27 Rejab 1429) ada negeri yang bercuti umum menyambut ulang tahun peristiwa Israk Mikraj. Kesempatan masa lapang ini saya mengajak anda untuk berkongsi fikiran mengenai peristiwa Israk Mikraj iaitu perjalanan Rasulullah SAW pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah. Mari kita melihat dari suatu sudut yang lain yang tidak perlu menjangkau terlalu jauh untuk membuktikan kebenaran peristiwa ini. Allah SWT menganugerahkan kepada kita akal dan kebijaksanaan untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi sebarang persoalan yang menguji akal atau minda itu sendiri.

Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa peristiwa Israk Mikraj merupakan suatu perkara berkaitan keimanan yang sangat penting untuk difikirkan. Allah SWT sengaja melontarkan peristiwa itu sebagai suatu ujian keimanan seseorang umat manusia samada menerimanya sebagai sesuatu yang logik atau sebaliknya.

Ramai yang menganggap, peristiwa Israk Mikraj seperti diceritakan sejak kita kecil lagi bahawa ia suatu perjalanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan seterusnya diangkat naik ke langit bertemu dengan Allah SWT. Kita juga digambarkan kenderaan yang dinaiki oleh Rasulullah SAW adalah suatu makhluk seakan-akan kuda berwajah manusia yang dinamakan Buraq. Perjalanan ini hanya memakan masa satu malam di mana jarak di bumi antara Mekah dan Masjidil Aqsa di Palestin sejauh melebihi seribu kilometer.

Allah SWT menguji akal kita bahawa mana mungkin seorang manusia boleh bergerak dalam masa satu malam sejauh itu hanya dengan menunggang seekor kuda atau binatang seumpamanya? Adakah Rasulullah SAW hanya bermimpi dan kemudian menceritakannya kepada orang di hari keesokannya? Kita mungkin dapat membayangkan bagaimana sukarnya Rasulullah SAW untuk menghadapi suasana orang ramai ketika menceritakan peristiwa yang dialaminya itu. Diriwayatkan bahawa sebahagian penganut yang telah beriman sebelum itu telah kembali semula kepada kepercayaan asalnya apabila mendengar khabar ini. Mereka yang menggunakan kepercayaan akal semata-mata sudah tentu sukar menerima penceritaan seperti ini.

Dimanakah logiknya? Jika kita bertanya seperti itu..mungkin soalan itu telah pun dikemukakan kepada Rasulullah SAW lebih seribu tahun lalu. Seorang kanak-kanak, jika kita kemukakan persoalan ini, dengan penuh kepercayaan menganggap bahawa memang ada kuda yang boleh terbang seperti yang mereka tonton melalui cerita-cerita Harry Porter! Penceritaan peristiwa ini kepada mereka adalah sesuatu yang hebat dan memberangsangkan! Itulah kanak-kanak, mereka menerima penceritaan ini dengan kebenaran tanpa logik akal. Sesungguhnya, seorang kanak-kanak tidak dipertanggungkan dosa ke atas mereka sehingga mereka baligh. Maha Suci Allah SWT!

Namun, adakah kita akan menganggap Saidina Abu Bakar As-Siddiq seorang yang tidak mengguna akal seperti kanak-kanak apabila mempercayai cerita ini tanpa persoalan? Beliau amat dikenali sebagai seorang yang beriman yang tiada tandingnya, seorang khalifah pertama dari kalangan empat (4) Khalifah Ar-Rasyidin yang menjalankan pemerintahannya dengan teliti dan adil.

Allah SWT telah mengaturkan perjalanan ini untuk Rasulullah SAW melalui alasan yang berlandaskan akal dan keimanan manusia samada menerima sebagai kebenaran atau sebaliknya. Bukti dan penjelasan yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW adalah pelengkap kebenaran yang disampaikan baginda. Sesungguhnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq sangatlah tepat ketika membenarkan cerita Rasulullah SAW seterusnya Allah SWT mengesahkan peristiwa ini melalui Al-Quran:

Surah Al-Israa' (Memperjalankan Di Malam Hari) Ayat 1

'Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya*) agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'

(*) Maksudnya: Al Masjidil Aqsha dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah SWT dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya. (Al-Quran dan Terjemahnya cetakan Arab Saudi ke dalam makna dan loghat Indonesia)

Allah SWT mengesahkan lagi bahawa Rasulullah telah diperlihatkan pelbagai gambaran manusia yang mendapat pembalasan dari perbuatan dan amalan mereka semasa hidup di dunia. Sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah SWT telah diperlihatkan kepada Rasulullah SAW di mana Syurga dan Neraka itu diwujudkan semata-mata untuk tempat tinggal abadi manusia pada kehidupan selepas mati. Dinyatakan dalam Al-Quran pada surat 53:

Surah An Najm (Bintang) Ayat 13-18

13. 'Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu lain.

14. (yaitu) di Sidratil Muntaha*)

15. Di dekatnya ada surga tempat tinggal

16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya

17. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya

18. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.'

(*) Sidratil Muntaha yaitu tempat yang paling tinggi di atas langit yang ke 7, yang telah dikunjungi Nabi ketika Mi'raj. (Al-Quran dan Terjemahnya cetakan Arab Saudi ke dalam makna dan loghat Indonesia)

Kita pasti sampai pada suatu tahap penerimaan logik akal, bahawa perjalanan ini tiada yang tidak benarnya kerana kekuasaan Allah SWT tiadalah terhitung luasnya. Kita sendiri berada pada zaman ini, suatu zaman yang canggih dan berteknologi angkasa lepas serta dunia siber dan IT yang kita gunakan sudahpun menjadi mainan hujung jari anak-anak kecil di rumah sahaja. Kita boleh bergerak dari benua ke benua yang lain yang jaraknya beribu kilometer dalam masa beberapa jam sahaja. Kita juga boleh melihat siaran langsung yang jelas gambarnya dari bumi sebelah sana dan sebaliknya. Kita boleh bercakap secara jelas dan sahih dengan seseorang dari seluruh pelusuk dunia ini dengan pelbagai cara malah peralatan yang hanya sebesar beberapa jari. Allah SWT mengangkat Rasulullah SAW ke langit dalam perjalanan mikrajnya lebih seribu tahun lalu adalah sebagai memberi petunjuk kepada umat manusia supaya wajib beriman dan pasti akan mendapat pembalasan dari apa yang telah diamalkan samada yang baik atau sebaliknya.

Rabu, Julai 02, 2008

Keindahan Bunga Dan Pokok Hiasan Yang Ada Di Sekeliling Rumah Kita

Mungkin ramai daripada kita tidak sedar bahawa di sekeliling rumah sendiri mempunyai banyak keindahan. Allah SWT menciptakan pelbagai tumbuhan hiasan serta mengeluarkan bunga bukan semata-mata untuk dilihat kecantikannya tetapi ia juga mempunyai pelbagai manfaat untuk makhluk-Nya. Keindahan yang boleh dinikmati oleh manusia seolah-olah memberikan suatu ketenangan, kedamaian dan terapi pada kesihatan. Apabila kita bangun awal pagi dan selepas selesai menunaikan kewajipan solat, cuba anda keluar ke halaman rumah sendiri ketika samar-samar pagi sehingga matahari meninggi waktu dhuha. Anda boleh melakukan senaman ringkas sambil menghirup udara segar waktu pagi. Walaupun rumah anda berada di tengah kota atau pinggir kota atau di mana-mana sahaja tempatnya, keadaan selepas subuh adalah suatu masa yang sangat menenangkan. Allah SWT telah menganugerahkan waktu ini sebagai penawar pada kesihatan umat manusia. Kesegaran dan kedinginan waktu pagi menjadi suatu terapi kesihatan yang baik serta membentuk minda agar berfikir dengan tenang dan sabar. Kita harus menghargai ruang sekeliling kediaman kerana kesegaran yang terhasil dari tumbuhan tersebut menyumbangkan oksigen atau udara segar untuk kita bernafas. InsyaAllah!.































Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah