Dalam lindung kasihMu Allah,
aku bertaubat,
ketika aku alpa dan leka,
aku hanyut.
Aku terlepas dayung ketika tanganku ingin menggapai bayang,
bidukku terus menyongsong arus.
Pada sekian waktu yang berulang, ia berulang dan terus berulang.
Ketika aku sedar tubuh membusuk hanyir, mabuk dan keliru...bunyian dan nyanyian semakin meloyakan...kelip lampu bagai membunuh malam...di situ ada seringainya.
Ya Allah,
untuk apa semua ini..
KasihMu Ya Allah,
memberi nafas yang panjang kepadaku dengan kesempatan ini...
ku tunduk merunduk sujud pada sisa-sisa umurku..
Ya Allah, kepadaMu,
aku pasrah.
Gili Trawangan, Lombok.
9 April 2014
untuk gadis cilik Ema & Efa..moga kamu jadi
anak yang baik dalam suasana kehidupan seolah dunia yang tiada akhiratnya.
16 Januari 2019...aku kembali membelek blog..sudah lebih empat tahun tiba-tiba aku teringat pulau ini...ke mana mereka semua ini. Apabila baru-baru ini, gempa yang melanda daerah Palu dalam sekala 7.9 Ritcher, aku membaca berita dari pelbagai sumber media bahawa pulau Gili Trawangan juga terkesan, penduduknya berebut untuk keluar dari pulau tersebut. Ema waktu itu berusia lingkungan 16 tahun dan adiknya Efa masih bawah 10 tahun. Mereka lahir dan membesar di pulau ini. Aku datang bercuti ke pulau itu bersama grup keluarga isteriku, anakku Azmar, Liza dan anaknya Tika termasuk iparku Kak Arah ketika mengambil kesempatan atas undangan majlis perkahwinan Aning dengan Nelly, kedua-duanya anak kepada dua Tuan Guru dari dua pesantren termasyhur di Praya. Sejak kecil mereka rapat sehingga sama-sama pulang habis belajar dari Mesir, akhirnya mereka berbesan.
Ketika itu, musim kempen pemilu untuk memilih Presiden Indonesia, suasana di jalanraya meriah dengan perarakan perwakilan pelbagai parti samada dengan menaiki kereta, menonggang motosikal atau berjalan kaki, masing-masing menjulang panji-panji dan melaungkan nyanyian semangat parti masing-masing. Kelihatan di kiri kanan terutama pokok-pokok dan dinding tembok penuh dengan poster calon parti yang pelbagai gaya dan inovatif.
TGH Syamsul Hadi memberikan sebuah van 8 seater beserta pemandunya untuk kegunaan kami hendak ke mana-mana. Subhanallah, keramahan dan sikapnya suka menolong pada sesiapapun tidak dapat dinafikan. Celoteh dan gelak ketawanya menjadikan suasana tidak sunyi dalam semua keadaan. Jika beliau berucap atau memberi tausiyah, bahasanya jelas, fasih dan mudah difahami. Wajahnya ceria sering ketawa dan mudah mesra. Secara tiba-tiba, semua orang tergumam terkejut apabila menerima berita kepergian TGH Syamsul Hadi awal tahun lepas. Almarhum tidak kelihatan mempunyai sebarang penyakit namun takdirnya beliau pergi dulu setelah mengadu sesak nafas dan dimasukkan ke rumah sakit beberapa hari itu. Sungguh airmataku menitis kesedihan apabila mendengar berita kematiannya. Oleh kerana ketika itu aku terikat dengan urusan kerja, aku tidak dapat hadir pengkebumiannya namun aku menempah satu tiket kapalterbang untuk isteri pergi menziarahi keluarganya beberapa hari selepas itu.
Perancangan asal ke pulau Gili Trawangan bukan termasuk senarai lawatan aku ke Lombok. Liza yang beria-ia hendak membawa anaknya Tika bermain pantai cuba mengatur program secara berasingan. Anakku Azmar bersamanya kerana menemani menjaga Tika sementara suami Liza tidak ikut sekali pada trip kali ini. Aku terpaksa membuat keputusan sebagai ketua grup bagi tidak terpisah-pisah grup kerana berbeza-beza program antara satu sama lain. Di Praya, kami menginap di dua buah rumah kecil yang baru dibeli oleh TGH Ariffin, ia berhampiran pesantren beliau lokasinya tepi jalan utama. Sebenarnya, cadangan membeli rumah ini datangnya dari TGH Syamsul Hadi juga. TGH Ariffin yang beria-ia mahu kami menginap di situ biar sepanjang kami berada di Lombok. Alhamdulillah dan sebagai terima kasih yang amat sangat dari kami dan penginapan itu sudah cukup selesa. Seronoknya, setiap malam ada pertandingan suara burung puyuh di lokasi berdekatan. Aku diberitahu, aktiviti pertandingan ini masih baru di kalangan penduduk tempatan bagaimanapun sambutannya sangat menggalakkan dengan kehadiran ramai orang memenuhi lokasi pertandingan. Burung puyuh dalam sangkar bersaiz kecil dan sederhana digantung berderet dalam jarak satu meter setiap satu di mana pertandingannya dengan cara mencatat berapa banyak burung tersebut berkokok dalam tempoh masa diberikan...yang paling banyak menyahut kokokan diistiharkan sebagai pemenang dan ada hadiahnya.
Syahid pangkat anak saudara isteriku ( beliau memanggil isteriku sebagai kakak..hehe ) mencadangkan pulau Gili Trawangan dan aku sendiri pernah diberitahu bahawa pulau ini terkenal di kalangan pelancong luar terutama yang mencari hiburan di samping keindahan matahari terbenam waktu senja. Aku mendapatkan beberapa maklumat dari Syahid sebelum bersetuju ke sana. Malam itu juga, Syahid sibuk menelefon hotel untuk penginapan kami di pulau tersebut. Takdirnya, ada penginapan kepunyaan emak saudara beliau kelas sederhana di situ. Esok pagi kami semua bergerak ke sana dengan 2 buah kereta dan sebuah van. TGH Izzi sekeluarga ikut bersama menghantar kami sehingga pengkalan bot di mana memandu kereta dari Praya ke situ memakan masa lebih sejam. Di dalam perjalanan kami singgah makan tengahari di suatu restoran seafood di mana di situ bro Husaini sudah menunggu dengan hidangan masakan ikan segar.
Kesekian tahun aku datang bersilaturahim ke Lombok, tidak pernah merasa jemu dengan suasana kekeluargaan dan keadaan rupabuminya. Aku suka dengan sajian menu yang lebih tradisi..semestinya plecing kangkung dan kedelai yang dihidang makan bersila menggunakan pinggan dan mangkuk yang banyak sekali. Semuanya mudah diperolehi di sini kerana ramai yang bersedia memberikan khidmat dan menawarkannya. Mungkin dalam komuniti yang ramai penduduk persaingan menjadi lebih menarik dan mencabar kebolehan.
Aku sudah ke Pantai An dan Pantai Pink, dua kawasan pantai yang mempunyai butir pasirnya berbeza dengan tempat lain. Keistimewaan Pantai An kerana butir-butir pasirnya yang unik berbentuk bulat-bulat kecil seperti halba. Keunikan pasirnya telah menyebabkan terdapat anak tempatan mengambil dan membotolkannya serta dijual kepada pelancong luar sebagai ole-ole kenangan. Begitu juga dengan Pantai Pink, pasirnya berwarna pink yang menyebabkan pantainya kelihatan dari jauh berwarna pink terutama ketika terkena cahaya matahari waktu petang.
Sebelum membuat keputusan ke Gili Trawangan, Liza dan Tika dicadangkan berehat di suatu pantai lokasinya berhampiran Seylong. Cadangan ini datang dari idea Galathea di mana rumahnya lebih dekat dan agak privacy. Aku belum pernah ke situ, jadi aku membayangkan agak sukar untuk mengawas keselamatan dan kemudahan mereka. Sekurang-kurangnya, Gili Trawangan lebih mempengaruhi aku untuk membuat keputusan ke sana saja.
Kami tiba di pengkalan bot pengangkutan ke pulau pada waktu selesai azan solat asar. Kelihatan agak ramai orang, kedengaran laungan dan jeritan suara penjual tiket bot ke pulau Gili Trawangan. Syahid dan Umi yang sentiasa bersama kami ke mana-mana langsung mendapatkan tiket dengan membelinya di kaunter tiket berhampiran. Hanya tiket untuk kami termasuk Syahid dan Umi saja. TGH Izzi dan keluarganya tidak ikut. Apabila aku bertanya "kenapa tidak ikut?"..beliau hanya ketawa. Kami tidak menunggu lama di situ kerana bot pengangkutan terakhir sebentar lagi akan bertolak. Tiada pengangkutan penumpang sebelah malam. Selepas beg pakaian dinaikkan ke dalam bot, giliran kami pula membuka kasut dan menyinsing kaki seluar mengharungi air untuk menaiki bot. Bot bergerak dengan lambaian pada mereka yang berada di pengkalan..angin laut dan sesekali tempias air laut menerjah penumpang di hadapan. Umi terus menyanyi disambut suara Syahid.."sengaja aku datang ke kota mu, lama kita tidak bertemu, ingin diriku mengulang kembali, berjalan-jalan bagai tahun lalu..Sepanjang jalan kenangan..." Aduh..nostalgianya apabila mengingatkan kembali saat ini.
Syahid memang berbakat dan sering menyanyi di majlis-majlis perjumpaan dan keramaian. Di mana saja majlis begini, beliau mengambil peluang menyanyi menghiburkan suasana. Nyanyian dan suaranya bagus, beliau tidak kekok walaupun kebetulan berduet bersama penyanyi yang ada nama di pentas. Umi juga suka bernyanyi tapi aku belum pernah melihatnya menyanyi atas pentas melainkan suka-suka ketika perjalanan dalam kenderaan.
Cuaca elok hari itu, perjalanan menaiki bot ke pulau Gili Trawangan tiada sebarang masalah ombak besar atau hujan ribut. Umi terus bernyanyi-nyanyi, ada yang berswap foto sementara aku mengambil video keletah penumpang hanya kami semua. Kira-kira setengah jam perjalanan, pulau Gili Trawangan kelihatan semakin dekat. Bot kami menghampiri pantai pulau, kelihatan beberapa orang sedang berdiri menunggu ketibaan bot kami. Bot hanya mendarat di pasir pantai, seorang demi seorang disambut tangannya untuk menjejak pasir pantai. Sekali lagi aku menyingsing kaki seluar tanpa bantuan aku terus melompat turun ke atas pasir putih pantai, kocakan ombak kecil sempat mencecah kaki seluar hingga basah hujungnya.
Aku diperkenalkan dengan Mahtar, seorang yang menguruskan pengangkutan dan penginapan kami di pulau ini. Kami menaiki kedati kuda @ kereta kuda ke tempat penginapan. Alhamdulillah, kami menginap dalam satu rumah penginapan yang sederhana kemudahannya tetapi aku suka tempat ini kerana berdekatan sebuah masjid hanya satu blok di belakang lorong penginapan. Syahid dan Umi mohon permisi pulang semula ke tanah besar pada petang itu juga dengan menaiki bot tadi. Sebelumnya aku menyangkakan mereka berdua turut bermalam di pulau bersama kami.
Setelah pendaftaran bilik selesai, berehat sekejap sambil mengeteh yang disediakan atas meja kecil di luar bilik..ketika inilah aku kenal dengan kedua gadis remaja ini..Ema dan Efa. Aku mendapatkan maklumat pulau dari Ema. Hajat untuk melihat matahari terbenam di pulau ini tertunai dengan bantuan Ema yang menunjukkan lokasinya. Kami menyewa basikal ke sana. Semua ikut ke sana sementara senja masih ada...syahdu dan indahnya ciptaan Allah SWT. Pulau Gili Trawangan menyediakan tempat melihat sunset terbaik. Ada kerusi kayu panjang dan tangga pentas dibina pada pinggir tebing pulau menghadap matahari jatuh...ketika gelap maghrib kami semua pulang.
Kami janji selepas mandi akan keluar makan malam di restoran seafood yang dicadangkan oleh Ema. Orang ramai memenuhi meja-meja makan restoran ini. Kami menunggu sebentar sebelum meja untuk kami disediakan...ketika malam, wajah sebenar pulau Gili Trawangan membuka rahsianya..baru aku perasan kenapa TGH Izzi hanya ketawa petang tadi ketika aku mengajak beliau ikut bersama ke pulau..kelihatan pelancong asing terutama orang berkulit putih lebih ramai berkeliaran di jalan dan memenuhi cafe-cafe yang menghidangkan minuman keras..kedengaran musik bingit dari premis-premis berlampu suram samada tertutup atau terbuka..pakaian lelaki dan wanita yang menjolok mata...ya Allah, kami dua hari di pulau ini.
" Ketika kita mencari kedamaian, kita ditunjuk dengan ujian,
lalu kita pasrah namun kita ada tanggungjawab,
jika hanyir yang datang, kita biduk dan menyuci,
memilih dan membersih...satu persatu, butir2nya dibilang,
sehingga kemuncaknya muncul,
Kita berada di atasnya."
Dedikasi nanda Maman
Bangi 12 Jamadil Awal 1440 Jumaat.
Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Ahad, April 27, 2014
Langgan:
Catatan (Atom)