Anak2ku di universiti,
Ayah nak berkongsi cerita berlagu rakyat ini. Cerita bangau yang kurus duduk diam tepi air. Mungkin anak2ku belum pernah dengar cerita berlagu ini. Ayah pun kurang pasti bila kisah ini bermula. Ia sudah ada dalam dunia dan budaya kita mungkin sama wujudnya bangsa kita.
Anak2ku di universiti,
Bangsa kita memang hebat di dunia. Bahasa kita dipertuturkan lebih dari 300 juta manusia. Kita mempunyai seni budaya yang lembut dan halus. Ketertiban dan adab sopan adalah tata susila yang mewarnai bangsa kita. Itu gambaran umum bangsa kita.
Anak2ku di universiti,
Kalau dahulu Ayah selalu dengar perkataan 'pesan orang tua' tetapi sekarang mungkin ayat itu sudah kurang terdengar atau sudah pupus ditelan era teknologi terkini?. Bagaimanapun, seni dan budaya setiap bangsa itu ada kesesuaiannya pada ketika itu atau kekal sepanjang zaman sebagai tauladan pro dan kontranya.
Mari kita dengar cerita berlagu ini.
'Bangau oh bangau,
mengapa engkau kurus?,
macamana aku tak kurus,
ikan tidak timbul.
(Makanan asas burung bangau adalah ikan hidup. Burung ini terpaksa mencari kawasan berair untuk mendapatkan makanan kegemarannya).
Ikan oh ikan,
mengapa engkau tak timbul?
macamana aku nak timbul,
rumput panjang sangat.
(Rumput panjang yang tumbuh ditepi-tepi tasik, kolam, sawah dan sebagainya menjadi tempat ikan berlindung dan menyukarkan usaha burung ini).
Rumput oh rumput,
mengapa engkau panjang sangat?
macamana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku.
(Kerbau adalah ternakan yang sinonim dengan kawasan air cetek untuk berkubang terutama sawah bendang. Rumput adalah makanan asasinya.)
Kerbau oh kerbau,
mengapa engkau tak makan rumput?
macamana aku nak makan,
perut aku sakit.
Perut oh perut,
mengapa engkau sakit?
macamana aku tak sakit,
makan nasi mentah.
Nasi oh nasi,
mengapa engkau mentah?
macamana aku tak mentah,
kayu api basah.
(Orang dahulu menggunakan dapur kayu untuk memasak. Biasanya, kayu yang diambil dari pokok dijemur kering dan disimpan untuk tujuan memasak.)
Kayu oh kayu,
mengapa engkau basah?
macamana aku tak basah,
hujan turun timpa aku.
Hujan oh hujan,
mengapa engkau turun?
macamana aku tak turun,
katak panggil aku.
(Katak dikaitkan di sini kerana apabila hujan nak turun biasanya bunyi bising katak bersahutan. Mungkin orang dahulu berpendapat katak yang menyebabkan hujan turun.)
Katak oh katak,
mengapa engkau panggil hujan?
macamana aku tak panggil,
ular nak makan aku.
Ular oh ular,
mengapa engkau nak makan katak?
macamana aku tak makan,
memang makanan aku.'
Anak2ku di universiti,
Secara ringkasnya apa yang kita dapat dari cerita berlagu itu:
1. Bagaimana orang dahulu mengisi masa luangnya (bukan masa lapang) seumpama menanti mata terlelap sebelum tidur atau ketika berteduh di dangau sawah waktu hujan sementara menanti hujan reda.
2. Sikap orang kita yang sering menyalahkan atau mengaitkan orang lain dalam sesuatu perkara terutama dalam perkara-perkara yang terkena pada dirinya sendiri.
3. Perkara kecil tidak dapat diselesaikan dengan segera tetapi isu itu akan berpanjangan dan tamat di tempat lain.
4. Betapa santainya orang dahulu dalam menjalani hidup. Boleh tengok sahaja rumput panjang tanpa dipotong, kayu api kena hujan tanpa disimpan pada tempat yang sesuai, dll.
5. Paling pelik mengaitkan tahyul bahawa hujan yang turun ada kaitan dengan bunyi katak.
Namun,
Anak2ku di universiti,
Orang kita tetap orang kita. Bangsa kita dikatakan salah satu bangsa pernah menjadi penjelajah paling awal di bumi ini tetapi bangsa kita juga dikatakan tidak pernah menjajah dunia ini. Persoalannya, apakah ikon burung bangau yang putih mencerminkan luaran sebagai bersih pada mata kasar tetapi mempunyai daging yang hitam melambangkan sebaliknya?
Anak2ku di universiti,
Kamu semua belajar dan mengkajilah.
Perjalanan ini umpama meniti sebuah jambatan yang kita tidak pasti sejauhmana kekukuhan dan penamatnya. Ia seolah-olah semakin menapak semakin jauh penghujungnya. Perjalanan juga ibarat suatu pelayaran di laut luas yang sukar diduga geloranya. Namun egoisme atau sifat keakuan merupakan ciri utama nafsu ini yang mencabar kehidupan menentang arus yang kesudahannya lepas atau tewas.
Ahad, Februari 07, 2010
Langgan:
Catatan (Atom)