Rabu, Ogos 11, 2010

Ramadhan dari sudut lain.

"Saya pemegang mohor raja-raja dengan ini ingin mengisytiharkan bahawa tarikh berpuasa bagi negeri-negeri di Malaysia adalah jatuh pada hari Rabu 11hb Ogos 2010 masehi."

Masa tu jam 8.15 malam..ketika sedang menonton berita TV3. Di hujung skrin tv tu ada tulisan kecil..ehsan TV1.

Ketika maghrib di surau tadi..tidaklah ramai ikut solat berjemaah. Budak-budak taman ada yang tanya, "Ustaz, ada ngaji ke tak malam ni?" Sebelum solat..bagi tau kata ada..tapi bila selesai solat..kensel pulak.

Dah jadi trend sekarang ni...imam sewa untuk solat sunat tarawih. Kebanyakan didatangkan dari pusat-pusat Tahfiz. Surau taman juga tidak ketinggalan. 2 orang sekali...Semalam dah dengar. Seorang baca nyaring dan seorang lagi tu mendatar saja.
Selepas azan Isyak..wow..ramainya jemaah yang hadir. Melimpah ke ruang koridor. Ruang solat berukuran 15.5 m x 15.5 m..dah tak mampu nak tampung.


Fenomenanya berulang...Pasar ramadhan dan gerai-gerai menjual pelbagai hidangan berbuka puasa tumbuh macam cendawan lepas hujan. Suasana meriah dan orang ramai membeli untuk bawa pulang macam tak cukup tangan menjinjing!. Ketika inilah kita akan ketemu pelbagai juadah termasuk kuih muih yang jarang jumpa pada bulan-bulan biasa.

Kesempatan ini akan diambil oleh penjual untuk mengaut keuntungan setahun sekali..ketika orang yang berpuasa tergoda dengan pujukan nafsu lapar membelanjakan tidak seperti hari-hari biasa. Semuanya ini berulang-ulang saban tahun cuma mungkin ianya sedikit berbeza apabila harga makanan naik agak ketara!.Kalau sedap berbaloi juga..kadang tu ayam panggang tak masak sebelah dalamnya.

Sebelah malam, ada tarawih 20 rakaat dan ada tarawih 8 rakaat. Ada imam yang baca surah-surah satu juzuk satu malam...sampai lapan rakaat..jemaah tinggal satu saf. Ada yang jemput ustaz sampaikan tazkirah ketika separuh solat tarawih..hikmahnya makmum dapat lunjur kaki atau ambil wuduk lain kerana tak tahan untuk batal. Jika imam bukan seorang hafiz..Al-Quran saiz besar diletakkan di hadapan tetapi beliau hanya mampu membaca satu mukasurat bagi satu rakaat..kalau mukasurat itu tidak dikepit betul-betul..boleh jadi kalut kalau ditiup angin kipas.

Ketika ini suasananya berwarna apabila tiba-tiba hadir jemaah yang kita tidak kenal atau bukan regular selama ini. Atas alasan apapun, kedatangan mereka telah meramaikan surau atau masjid untuk setahun sekali. Semangat untuk beribadah tampak jelas pada awal bulan Ramadhan. Waktu tengahari kerja, masjid-masjid berdekatan mengadakan kuliah atau tazkirah sebelum zohor. Waktu rehat yang tidak ada kantin yang buka, ramai mengambil kesempatan pergi iktikaf di masjid sambil mendengar ceramah atau tidur.

Surah Al-Baqarah ayat 183-184. Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan), maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."

Allah SWT hanya menyeru kepada orang-orang yang beriman sahaja untuk menjalankan ibadah puasa ini.

Allah SWT mewajibkan orang beriman berpuasa dalam bulan ini.

Allah SWT memberi kelonggaran kepada siapa yang sedang dalam perjalanan atau ada keuzuran.

Allah SWT tetap mewajibkan mengganti hari-hari puasa yang ditinggalkan jika tidak mampu juga Allah SWT mewajibkan membayar dengan fidyah.

Sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang, orang beriman dituntut mengerjakan wajib puasa serta melakukan perkara-perkara kebajikan dengan kerelaan dan ikhlas.

Allah SWT mengkhabarkan bahawa puasa itu adalah lebih baik jika orang beriman itu mengerti.

Kenapa puasa itu diwajibkan?. Kita akan bertanya jika kita tidak mengerti.

Ibadah puasa inilah yang menjadi ukuran keikhlasan orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ia tidak sama dengan ibadah solat yang boleh dilihat manusia melakukannya.
Mungkin kita melihat ramai orang yang berpuasa tetapi baginda Rasulullah SAW
telah mengingatkan kita bahawa ramai yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Dalam ayat tersebut perkara takwa ada disebut.

Takwa yang dimaksudkan di sini adalah orang yang dapat membersihkan dirinya dari perkara-perkara yang dilarang Allah SWT. Orang yang dapat menahan dirinya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Orang yang mengerjakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.

Kita harus memahatkan iltizam ingin berubah menjadi lebih baik. Kita kena memaksakan diri untuk menambah perkara-perkara kebaikan yang mendatangkan keuntungan terutama keuntungan di akhirat nanti. Apa yang kita kejar di dunia ini adalah semata-mata sebagai bekalan kita. Jika kita mencari harta dunia maka ketahuilah bahawa semua itu akan ditinggalkan tetapi jika kita melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang, InsyaAllah, kita akan melihat hasilnya di akhirat nanti dan sesungguhnya itulah sebenarnya kejayaan.

Adalah malang seseorang itu menghabiskan usianya dengan menghambakan diri mengejar kekayaan dan kejayaan dunia namun pada masa yang sama meninggalkan solat dan lain-lain perkara yang disuruh sedangkan ia tidak sedar bahawa setiap rezeki adalah datang dari ehsan Allah SWT. Paling teruk mengumpul kekayaan dengan cara bukan hak serta mengambil hak orang lain. Apalah hendak dibandingkan hidup yang sekelumit ini kerana leka dengan nafsu keseronokan yang menipu. Namun Allah SWT tidak melarang kita mencari kekayaan jika kekayaan itu boleh mendatangkan kebahagiaan. Beruntunglah seseorang yang kaya di dunia dan kaya di akhirat.

Oleh itu, marilah kita bermuhasabah diri. Lihat kembali indeks amalan kita. Timbang berat ke arah mana samada amalan kebaikan lebih berat atau amalan kejahatan lebih ringan atau sebaliknya. Dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita berlumba-lumba melakukan amal ibadat pada tiap masa yang kita mempunyai peluang. Contohnya, sambil menunggu sesuatu kita boleh berwirid. Membaca al-Quran pada masa mempunyai peluang. Banyak-banyak bersedekah terutama memberi makan orang-orang yang berpuasa.

InsyaAllah, aku menyeru kepada diriku dan kepada anak2ku, marilah kita bersikap tamak dalam mengerjakan amalan baik dalam bulan Ramadhan ini.

Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah SWT.

Mahligai Timbul

Mahligai Timbul
Oleh kerana manusia sentiasa inginkan kepuasan maka mereka akan berusaha mencari dan mendapatkan sesuatu yang mendatangkan kepuasan hatinya biar betapa sukar sekalipun.

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan

Meraih Kegembiraan Dari Kepayahan
Penulis sangat minat berkebun! Kesibukan kerja di ibu negara agak melelahkan untuk berulang alik mengusahakan beberapa bidang tanah kebun kepunyaan sendiri. Kepayahan ini akan lebih terasa apabila kita sendiri yang mengalami pekerjaan seperti petani di kampung. Bagaimana sukarnya untuk menjaga dan membesarkan tanaman dari gangguan musuh-musuh tanaman sehingga mencapai peringkat beberapa tahun dan mengeluarkan hasilnya. Namun kesabaran dan keikhlasan ketika bertani akan dianugerahkan hasil peluhnya daripada Allah SWT. Sesungguhnya kita harus bersyukur dan yakin bahawa setiap usaha yang kita lakukan hendaklah disertai dengan doa dan tawakal.

Nikmat Hasil Tani

Nikmat Hasil Tani
Berbudi sebiji kepada tanah, Allah SWT menggandakan tujuh tangkai buah yang mana setiap tangkai mengandungi tujuh lagi tangkai.

Raja Buah

Raja Buah
Kehebatan buah durian mengatasi buah-buahan bermusim yang lain kerana keunikannya seperti kulitnya yang berduri,rasa isinya yang pelbagai, bau yang kuat dan tidak disukai oleh segelintir pelancong barat. Kita akan melihat keceriaan orang kampung apabila musim buah durian gugur. Ketika inilah mereka boleh sedikit pendapatan hasil jualan buah tersebut. Kebiasaan musim ini berlaku tiga (3) kali dalam dua (2) tahun. Musim yang serentak mengakibatkan harga buah ini agak murah dan boleh dinikmati oleh orang ramai namun ada semacam kempen pulak apabila banyak premis terutama hotel-hotel tidak membenarkan buah ini dibawa masuk ke dalam premis mereka tanpa alasan. Kalau buah ini boleh tumbuh di negara barat sudah pasti kehebatan buah ini menjadi popular secara globalisasi. Kita masih tidak dapat menyimpan buah yang masak dengan lebih lama kerana tidak mempunyai atau masih belum mengetahui teknologi berkaitan. Buah ini juga boleh dimakan bersama pulut dan santan kelapa (pulut durian) di mana isi durian diramas dengan pulut kukus bercampur santan kelapa dan sedikit gula pasir. Ia terus segera dimakan begitu saja. Ketika musim yang banyak, buah ini dibuat 'lempuk' iaitu isi durian dimasak bersama gula di dalam kawah atau kuali besar. Ia dikacau sehingga tepu seumpama dodol. Isi durian juga boleh disimpan sebagai 'tempoyak' iaitu isinya diperam bersama garam yang akan bertukar menjadi masam-masam manis tetapi sangat enak dikeluarkan kemudian digaul dengan cabai tumbuk menjadi sambal yang enak dimakan dengan ulam-ulam seperti petai, jering dan sebagainya. Tempoyak juga boleh dimasak bersama ikan air tawar terutama ikan patin yang terkenal itu. Taburannya tumbuh sesuai di negeri-negeri Perak, Pahang dan Kelantan.

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy

erti kemerdekaan yang didatangkan dari Italy
Sambutan Kemerdekaan ke 50 - jam 10 mlm atas satu jambatan Putrajaya. Ramai anak-anak muda yang lahir setelah lebih 20 tahun merdeka apabila diajukan soalan apakah perasaan dan bagaimana kefahaman mereka menyambut ulang tahun kemerdekaan ini? Apakah erti kemerdekaan itu serupa membebaskan diri dengan bersukaria seumpama datang beramai-ramai berkumpulan atau berpasangan ke pusat-pusat bandar atau taman-taman awam yang mengadakan konsert atau sebarang pertunjukan hiburan? Atau hanya berhimpun di Dataran Merdeka dari awal malam menunggu kalau-kalau ada rempit haram?

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan

laut dan daratan sentiasa bertaut di bawah naungan awan
Keindahan ciptaan Allah tiada tandingan. Pulau ini adalah terumbu batu karang besar yang timbul di permukaan laut yang berada pada jarak lebih kurang empat puluh (40) minit dengan penerbangan pesawat keci dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Pulau yang diwartakan sebagai pulau larangan di bawah keselamatan negara namun orang awam dan pelancong masih boleh melawat dengan membuat permohonan melalui pihak keselamatan negara. Hanya satu-satunya resort yang ada di sini selain pusat research Jabatan Perikanan dan Navy Malaysia . Karangan laut yang bersaiz besar masih terdapat di sini serta menjadi pulau tempat burung layang layang bersarang dan bertelur. Kerajaan Malaysia telah mewartakan sebagai larangan kepada pelancong mengganggu burung-burung ini yang bertelur di atas pasir - Pulau Layang Layang, Sabah